PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, August 14, 2012

WANITA DAN IKTIKAF

 
 Firman Allah SWT :

مَنْ عَمِلَ صَـلِحاً مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَوةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh samada lelaki mahupun perempuandalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri alasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” Surah an-Nahl ayat 97.

Menjejaki sunnah Rasulullah SAW, merebut peluang keemasan di akhir sepuluh Ramadhan yang berbaki adalah pahala dan keberkatan yang di limpahkan oleh ar-Rahman kepada hamba-Nya yang masih menanti malam al-Qadr. Ibadat Iktikaf seolah-olah satu kewajipan walaupun ia satu keharusan yang sunat dilakukan. Walaupun penerangan tentang ibadah Iktikaf telah dijelaskan sebelum ini, tetapi penghkususan ibadah Iktikaf  bagi wanita perlu diperincikan lagi rentetan daripada kemusykilan yang timbul tentang wanita dan Iktikaf.

HUKUM WANITA BERIKTIKAF DI MASJID

Pendapat pertama:

Jumhur Ulama’ : Sunat.
Wanita di sunatkan beriKtikaf di masjid.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.A, Nabi SAW bersabda :

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ اْلأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ الله تَعَالَى، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِه

“Sesungguhnya Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam telah melakukan i’tikaf di sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan hingga AllaH mewafatkan beliau, kemudian isteri-isteri beliau pun melakukan iktikaf sepeninggal beliau” (Hadis Sohih Bukhari 2026)

Hadis yang diriwayatkan oleh Yahya bin Sa’id bin Amrah, dari ‘Aisyah r.a. Nabi SAW bersabda :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَادَ أَنْ يَعْتَكِفَ فَلَمَّا انْصَرَفَ إِلَى الْمَكَانِ الَّذِي أَرَادَ أَنْ يَعْتَكِفَ إِذَا أَخْبِيَةٌ خِبَاءُ عَائِشَةَ وَخِبَاءُ حَفْصَةَ وَخِبَاءُ زَيْنَبَ

“Bahwasanya Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam hendak beriktikaf. Maka ketika beliau beranjak ke tempat yang hendak dijadikan beri’tikaf, di sana sudah ada beberapa khemah, iaitu khemah Aisyah, khemah Hafshah, dan khemah Zainab.” Al Bukhari (2033) dan Muslim (1173)

Pendapat kedua:
Mazhab Hanbali : Makruh
Makruh bagi wanita beriktikaf di masjid

Berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a, Nabi S.A.W bersabda :

لَوْ أَدْرَكَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِى إِسْرَائِيلَ

“Seandainya Rasulullah SAW mengetahui keadaan wanita saat ini tentu beliau akan melarang mereka (untuk keluar menuju masjid) sebagaimana Allah telah melarang wanita Bani Israil.” )hadis sohih Muslim 445 dan sohih Bukhari 869)

Pendapat di atas telah di sokong oleh Mazhab Hanafi yang mengatakan wanita lebih baik berkitikaf di rumahnya. Mereka berpandangan tempat iktikaf bagi wanita adalah tempat yang mereka sukai dan tempat mereka lakukan solat fardhu seharian.

Abu Hanifah dan Ats Tsauri ada menyatakan bahawa seorang perempuan boleh melakukan iktikaf di rumah. Ini lebih baik bagi mereka kerana solat mereka di rumah lebih baik daripada di masjid.

Pendapat yang membolehkan wanita beriktikaf di rumah juga mengatakan bahawa ruang solat di rumah adalah tempat terbaik bagi wanita menunaikan solat. Maka ruang solat di rumah  mereka iktikaf adalah umpama masjid seperti kaum lelaki dimana  mereka beriktikaf.

Berdasarkan dalil yang diriwayatkan oleh Ummu Humaid, beliau pernah berkata kepada Rasulullah SAW, “aku amat suka solat berimamkan engkau wahai Rasulullah SAW.” Lalu baginda berkata, “aku tahu engkau amat suka solat bersamaku.” Sesungguhnya solat di rumahmu lebih baik daripada di bilikmu, dan solat di bilikmu lebih baik daripada di ruang rumahmu. Solat di ruang rumahmu adalah lebih baik daripada di Masjid Kampungmu, dan solat di Masjid Kampungmu adalah lebih baik daripada solat di masjidku.(Hadis 1/100) (4) At-Targhib wa at-Tarhib)

Pendapat yang kuat adalah pendapat yang pertama dari  jumhur yang menyatakan bahawa beriktikaf  juga disunatkan bagi wanita berdasarkan beberapa hujjah berikut:
1.  Berbagai dalil yang diberikan di atas menunjukan bahawa  wanita boleh beriktikaf.
2.    Hadis  yang menyatakan bahwa nabi SAW memerintahkan untuk mendirikan khemah isteri-isteri baginda  ketika mereka beriktikaf bukanlah menunjukkan larangan baginda apabila wanita turut beriktikaf.
3.    Hadis di atas menerangkan bahawa wanita yang belum berkahwin dibolehkan  beriktikaf  kerana Saidatina ‘Aisyah dan Saidatina Hafshah pada waktu itu mereka masih remaja dan mendapat keizinana dariapa Rasulullah SAW.
4. Pendapat yang mengatakan makruh wanita beriktikaf di masjid adalah berdasarkan kalam Saidatina ‘Aisyah yang amat bimbang dengan keadaan dunia wanita pada hari ini yang berhadapan dengan pelbagai fitnah.

SYARAT-SYARAT WANITA YANG BERIKTIKAF
1.    Mestilah dalam keadaan aman daripada fitnah dan terjamin keselamatannya.
2.    Isteri wajib mendapat keizinan dari suami.
3. Wanita yang belum berkahwin hendaklah mendapat keizinan ibu bapa atau penjaga.
4.    Digalakkan beriktikaf di masjid yang berdekatan dengan rumahnya.
5. Mengelakkan daripada kesesakkan dengan melalui laluan kaum lelaki sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW mengenai kesesakkan laluan lelaki dan wanita di Masjid Nabawi dan mengkhususkan pintu untuk kaum wanita (4) hayatul mar’ah
6.    Mestilah menjaga adab-adab sebagai muslimah solehah, antaranya:
1.Memelihara penampilan
2.Menundukkan pandangan
3.Tidak bertabarruj dari segi pemakaian,perhiasan dan tidak berwangi-wangian

Syekh Atiyyah Soqar berpandangan: Sekiranya Wanita yang hendak beriktikaf tidak mendapat izin dan tidak berdisiplin dengan adab-adab yang disyariatkan, maka haram wanita tersebut keluar daripada rumahnya.

ANTARA IBADAH DAN MASLAHAH

Syariat telah banyak membuka ruang dan peluang bagi wanita Muslimah untuk memenuhi hak sebagai hamba kepada penciptanya.
Dalam masalah iktikaf ini terdapat persoalan yang belum dijawab dalam konteks hak Mahasiswi dan persatuan berkaitan konsep wala dan ketaatan kepada kepimpinan. Waqi’ keselamatan di bumi Mesir mendesak pihak PMRAM mengeluarkan etika HISBAH sebagai jaminan keselamatan dan ketenteraman terutamanya dikalangan mahasiswi yang berada diluar jagaan ibu bapa.

Berdasarkan pandangan as-Syahid Imam Hasan Al-Banna, apabila berlaku waqi’ (realiti) seperti ini maka mengikut fiqh keutamaan pimpinan sesebuah organisasi berhak sebagai mereka yang bertanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan dan keselamatan ahlinya. Sebarang ketetapan yang dikeluarkan oleh pimpinan persatuan adalah wajib dipatuhi selagi mana tidak melanggar syara’.

Dalam konteks hak mahasiswi dan iktikaf, pihak yang berwajib untuk memberi izin adalah pimpinan persatuan. Berdasarkan ketetapan HISBAH yang dikeluarkan oleh PMRAM: mahasiswi tidak dibenarkan bermalam di masjid kerana keselamatan tidak terjamin memandangkan keadaan politik Mesir tidak stabil dan belum terjamin .
KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, pihak MANHAL PMRAM menegaskan bahawa keharusan syaria’t menggalakkan untuk beribadah tetapi waqi’ dan masa menghalang mahasiswi untuk menjejaki kaum lelaki memenuhi syarat iktikaf sepenuhnya namun  Islam masih memberi laluan untuk kita beriktikaf pada waktu siang sebagaimana sunnah Rasulullah SAW beliau beriktikaf dalam dua keadaan iaitu selepas solat subuh (iktikaf siang) dan sebelum maghrib sehingga malam (iktikaf malam).

Maka soal keselamatan dan menghindari fitnah merupakan keutamaan serta kewajipan berbanding  ibadah sunah yang dikejar. Maka cadangan yang diberikan ialah mahasiswi yang ingin beriktikaf, lakukan di siang hari serta dalam keadaan menjaga adab. Manakala di malam hari mesti mematuhi etika musyrif dan HISBAH dalam had waktu yang dibenarkan dan tidak bermalam. Hal ini demikian kerana bagi menjaga keselamatan yang merupakan perkara pokok yang tergolong dalam dharuriyat al-khams (5 perkara asas). Bahkan boleh apabila di tengah malam, dalam melakukan ibadat di rumah, maka boleh mengambil pandangan daripada Imam Abu Hanifah dan Imam ath-Thauri iaitu wanita boleh niat iktikaf di rumah, hal ini bagi menggalakkan wanita untuk terus beribadat dalam masa yang sama menjaga keselamatan.

Justeru, dalam melipat gandakan amalan ibadah serta memburu fadhilat, maka jangan sampai kita tersilap langkah. Ada yang memperbanyakkan amalan sunat namun amalan fardhu tidak diperkasa seperti mengejar solat terawih namun tidak menyegerakan solat ganti. memburu lailatul qadar dengan ibadah sunat sehingga melanggar perkara yang wajib. 

Fahami konteks dalam melaksanakan ibadah dalam Islam. fahami keutamaan antara wajib dan sunat, haram dan makruh serta fardhu ain dan fardhu kifayah. Maka ini fiqh aulawiyat .

Bimbang2 terlalu tumpu ibadah sunat, ibadah wajib kurang diperkasakan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.” - Surah At-Taubah : 19

Hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Allah SWT berfirman :

وما تقرّب إليّ عبدي بشيء أحبّ إليّ مما افترضته عليه ، وما يزال عبدي يتقرّب إليّ بالنوافل حتى أُحبّه


"Dan hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan (melaksanakan) apa yang Aku wajibkan kepadanya. Dan berterusan hamba-Ku melakukan ibadah (mendekatkan diri kepada-Ku) dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku berasa kasih kepadanya" - riwayat Bukhari 

Pesanan Abu Bakar kepada Umar al-Khattab : 

إنه لا يقبل نافلة حتى تؤدي فريضة

"Sesungguh-Nya (Allah) tidak menerima amalan sunat sehingga kamu (selesaikan) melakukan amalan yang fardhu." - lihat : Dr Akram Kassab, kitab Intikhabat ahkam wa dhawabit, m/s 45 cetakan Dar as-Salam 
Wallahu a’lam

Disediakan oleh FELO MANHAL PMRAM:

1.    Muhamad Zuhaili bin Saiman  
2.    Sahilah binti Mad Isa
3.    Hanisah binti Hj. Muslim
4.    Dayang Siti Noraini bt. Awang Damit Yahya

RUJUKAN:
1.    Al-Quran Al-Karim
2.    Hadis Sohih Bukhari
3.    نظرات فى رسالة  المرأة المسلمة ( الامام الشهيد حسن البنا )
4.    مغنى المحتاج (جزء 2)
5.    العده شرح العمده
6.    سبل السلام شرح بلوغ المرام
7.    فقة المرأة المسلمة (الشيخ محمد متولى الشعراوى)
8.    فتاوى وأحكام للمرأة المسلمة (الشيخ عطية صقر)
9.    منهج الاءمام البنا- الثوابت والمتغيرات (جمعة أمين)
10. مركز المرأة في الحياة الاسلامية
11. حياة المرأة المسلمة في اطار الحدود الشرعية (الدكتور يوسف القرضاوى)
12.  Dr Akram Kassab, kitab Intikhabat ahkam wa dhawabit, cetakan Dar as-Salam