PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, August 17, 2011

ISU MAHASISWA : KPT BERSAMA PMRAM PERTAHANKAN HAK


Bismillahirrahmanirrahim.


Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak isu yang melibatkan penindasan hak mahasiswa Islam di Mesir berlaku. Namun pihak KPT Mesir meminta agar seluruh ahli bertenang serta bertindak mengikut arahan pimpinan dan berhikmah.


Rasulullah – sallallahu `alaihi wa sallam – pernah bersabda yang bermaksud : “Tolonglah saudaramu yang menzalimi dan yang dizalimi”. Lalu seorang sahabat bertanya : “Aku akan menolong orang yang dizalimi, tapi bagaimana pula aku menolong orang yang menzalimi? Jawab Baginda : “Engkau halang dan cegah dia daripada terus menzalimi, itulah cara untuk menolongnya”.

(HR Bukhari, Ahmad dan Tarmidzi daripada Anas bin Malik)


Pihak KPT Mesir melahirkan rasa kesal dan kecewa atas tindakan pihak-pihak tertentu yang melanggar polisi dan etika sebagai penjawat awam. Bagi KPT Mesir, tindakan membuang mahasiswa daripada pusat pengajian dan apa yang berlaku kepada mahasiswa Terengganu khususnya yang mendapat surat tunjuk sebab daripada pihak Yayasan Terengganu adalah tidak wajar.


Kami memandang serius perkara ini dan telah mengatur pelbagai tindakan demi menjaga kebajikan mahasiswa Terengganu di Mesir. Setakat ini pelbagai tindakan telah dilaksanakan, antaranya perbincangan dengan pihak guaman, PMRAM, ILMAM Terengganu dan Yayasan Terengganu untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan baik dan secara profesional.


KPT Mesir memuji tindakan PMRAM, PERUBATAN dan ABIM yang memandang serius terhadap segala permasalahan yang menimpa mahasiswa Mesir sekarang. Segala usaha dan tindakan yang dilakukan oleh pihak PMRAM akan sentiasa disokong dan didukung oleh pihak KPT Mesir demi menjaga kebajikan mahasiswa Mesir.


Oleh yang demikian itu, KPT Mesir ingin menyeru seluruh mahasiswa Terengganu khususnya agar bangkit dan cakna terhadap penindasan yang berlaku ke atas mahasiswa Malaysia di Mesir sekarang ini. Bahkan ia menjadi kewajipan ke atas kita untuk mempertahankan hak yang telah dicabuli dan dipermainkan, sejajar dengan tuntutan Islam.


Firman Allah Ta`ala dalam Surah Hud, ayat 114:-

وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللّهِ مِنْ أَوْلِيَاء ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ

Maksudnya : “Jangan kalian cenderung menyokong orang yang zalim, kelak kalian akan dibakar oleh api neraka. (ketika itu) kalian tidak akan ada selain Allah sebagai penyelamat dan kalian tidak akan mendapat apa-apa pertolongan”.


KPT Mesir menggesa pihak berwajib untuk bertindak dengan lebih profesional dalam setiap tindakan terhadap mahasiswa dan tidak menggelapkan masa depan mereka kelak.


KPT Mesir juga mengharapkan agar semua ahli sentiasa berdoa semoga kesatuan ini terus mendapat bimbingan daripada Allah Ta`ala dalam setiap tindakan yang dilakukan serta dilindungi daripada anasir-anasir perpecahan hasil ancaman pihak yang tidak bertanggungjawab.


Akhir kata, saya mewakili KPT Mesir mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan dukungan ahli-ahli KPT Mesir serta semua pihak dalam menghadapi isu yang melibatkan mahasiswa Islam ini.


Sekian, wassalam.


“BERILMU DAN BERAMAL”
“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”


MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011


Pejabat KPT Mesir, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.