PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, August 29, 2011

PERUTUSAN YDP KPT MESIR SEMPENA AIDILFITRI 1432H


Assalamualaikum wa rahmatullah,


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:-

Hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada bulan Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu”.

[Surah al-Baqarah : 185]


الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ولله الحمد

Madrasah Ramadan telah melabuhkan tirainya. Syawal pula datang bertamu dengan pensyariatan Aidilfitri sebagai manifestasi kejayaan mengharungi madrasah Ramadan selama sebulan.


Oleh sebab itulah dianjurkan kepada umat Islam apabila datangnya Aidilfitri melafazkan ucapan “minal `a-ideen wal fa-izeen” yang bermaksud semoga digolongkan dalam kalangan mereka yang kembali kepada fitrah dan golongan yang berjaya.


Demikianlah halnya yang diharapkan daripada natijah puasa selama sebulan iaitu di akhirnya kita sama-sama digolongkan dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Semoga dengan pentarbiyahan ini mampu menjadikan kita sebagai golongan yang lebih bersungguh-sungguh dalam mendekatkan diri kepada-Nya di segenap posisi kita berada; sama ada sebagai seorang individu muslim secara umumnya dan sebagai seorang mahasiswa/wi Islam khususnya.


Dalam kita bergembira merayakan Aidilfitri, tidak lupa kita panjatkan doa memohon pertolongan daripada Allah terhadap fitnah kezaliman, penindasan dan kebuluran yang menimpa saudara seakidah kita seperti di Syria, Yaman, Libya, Somalia dan sebagainya.


Semoga Aidilfitri kali ini menjadi titik tolak kemerdekaan kepada kita dan mereka daripada perhambaan terhadap makhluk kepada perhambaan sejati terhadap Khaliq bersesuaian dengan Sambutan Kemerdekaan Malaysia kali ke-54 yang jatuh pada 2 Syawal 1432H bersamaan 31 Ogos 2011M.


Untuk akhirnya, saya mewakili saf kepimpinan AJKT & HEWI KPT Mesir mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri buat seluruh mahasiswa/wi Terengganu di Perlembahan Nil ini dan mendoakan semoga Allah Ta`ala memakbulkan doa dan segala amalan soleh sepanjang pentarbiyahan di bulan Ramadan serta menggolongkan kita dalam kalangan mereka yang benar-benar kembali kepada fitrah dan orang-orang yang bertaqwa.


Sekian, wassalam.


“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”


MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011


Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.