PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, August 17, 2011

KESAN DESAKAN MEMBUAHKAN HASIL

KAHERAH, 17 Ogos – Isu seorang mahasiswi perubatan Universiti Ain Shams; Saudari Hamisah binti Hashim yang terpaksa menanggung kos pembayaran yuran pengajian ulangannya telah dapat diselesaikan oleh pihak yang terbabit.

Setelah isu ini mendapat liputan meluas dalam media, akhirnya ia telah menatijahkan hasil apabila kos yuran ulangan yang perlu ditanggung tidak perlu dijelaskan oleh beliau.

Sekaligus ia membuktikan bahawa isu ini mula mendapat perhatian apabila desakan daripada PMRAM, BKASM dan PERUBATAN agar Encik Khairi bin Jalalluddin bertindak sepertimana dalam bidang kuasanya selaku Pegawai Atase Pendidikan Education Malaysia Egypt (EME).

PMRAM mengharapkan agar Encik Khairi akan lebih peka tentang pengurusan mahasiswa sama ada di peringkat pengajian Islam mahupun perubatan agar tidak berulang lagi insiden seperti ini.

“Kebersamaan PMRAM, BKASM dan PERUBATAN dalam menangani isu ini membuktikan sensitiviti mahasiswa dalam membela hak dan maruah agar tidak mudah diperjudikan oleh mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas”, ujar Saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi; Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM ketika ditemui semalam.

“Kewujudan EME adalah bertujuan untuk memudahkan urusan mahasiswa dan menjadi pengantara yang menguruskan segala urusan yang berkaitan dengan mahasiswa, maka perlu diingat dasar dan objektif keberadaan EME di Mesir agar pengurusan dan pentadbiran yang berjalan tidak tersasar daripada matlamatnya yang asal”, tambah beliau lagi.

Sumber : Web Rasmi PMRAM