Allah SWT berfirman:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kalian berpuasa, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian menjadi orang yang bertaqwa”
(al-Baqarah : 183)
Ramadhan bulan mulia dan penuh barakah kini bertandang kembali. Bulan yang dijanjikan dengan seribu satu kelebihan bagi hamba Allah yang bijak merebut peluang yang ditawarkan. Bercerita mengenai kelebihanya mampu menggugah jiwa yang rindukan pengabdian kepada Allah.
Antara kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan yang mulia ini ialah disyariatkan ibadah puasa, diturunkan kitab hidayah untuk seluruh umat iaitu al-Quran al-Karim, pahala amalan kebaikan digandakan dan juga satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar.
Dalam sejarah Islam juga dicatatkan bahawa peperangan Badar al-Kubra, Fathu Makkah, pembukaan Andalus berlaku pada bulan Ramadhan. Ia menafikan dakwaan bahawa bulan Ramadhan mengurangkan produktiviti sepertimana tuduhan yang dilontarkan oleh musuh-musuh Islam.
Bertitik tolak daripada itu, pihak KPT Mesir melalui penubuhan Jawatankuasa Sambutan Syahr Tarbawiy telah merangka pelbagai aktiviti menarik sepanjang bertamunya bulan Ramadhan kali ini berorientasikan konsep tarbiyah Islamiah.
Pihak KPT Mesir juga menyeru seluruh mahasiswa agar tidak lesu dan leka untuk mempertahankan “Hak Mahasiswa dan Menentang Kezaliman” yang sedang berlaku di sepanjang bulan Ramadhan ini.
Ini kerana konsep pentarbiyahan Islam meliputi semua perkara, termasuk jihad menentang kezaliman dan penindasan.
Jadikan Ramadhan sebagai bulan kebangkitan dan kesedaran untuk terus mempertahankan kesatuan kita dan membela mangsa kezaliman pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan jangan lupa mendoakan kesejahteraan PMRAM dan keselamatan seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir.
Semoga dengan kehadiran Ramadhan kali ini akan menyemarakkan lagi ruh tarbiyah Islam yang syumul dan mengembalikan kekuatan jasmani dan rohani untuk terus memperjuangkan kedaulatan Islam yang dicintai.
AHMAD SALIKIN BIN ABDUL RAHMAN
Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.