PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, August 29, 2011

MANIFESTASI SELEPAS SYAHR TARBAWIY KPT MESIR

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita telah berjaya melalui bulan Ramadan pada tahun ini. Semoga setiap amalan kita diterima oleh Allah S.W.T. Kita panjatkan doa supaya tidak tergolong dalam golongan yang rugi kerana tidak diampunkan dosa walaupun telah melalui bulan Ramadan sebagaimana yang telah diungkapkan dalam hadis Baginda Nabi sallallahu `alaihi wasallam:-

خاب وخسر من أدرك رمضان ولم يغفر له

Maksudnya : “Rugi dan celakalah sesiapa yang berkesempatan melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya”.


Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa pada tahun 1432H pada kali ini, pihak KPT Mesir telah menjadikan bulan Ramadan sebagai Syahr Tarbawiy iaitu sebagai bulan pentarbiyahan. Ini adalah manifestasi daripada usul yang telah dipersetujui dalam MAT KPT Mesir kali ke-46 yang lalu iaitu untuk mempertingkatkan tarbiyah dalam kalangan mahasiswa Terengganu Mesir.


Dalam fatrah sebulan Ramadan pada kali ini, pihak AJK Pelaksana telah melaksanakan beberapa program dan aktiviti bersesuaian untuk meningkatkan tarbiyah dalam kalangan mahasiswa Terengganu Mesir khususnya.


Oleh yang demikian, kami mengharapkan segala aktiviti yang telah dilaksanakan itu dapat meningkatkan lagi tarbiyah dan taqwa kita kepada Allah selepas kita keluar daripada madrasah Ramadan pada kali ini.


Ramadan meninggalkan kita tanpa ada jaminan adakah kita akan bertemu Ramadan pada tahun hadapan. Para salafus soleh menangisi pemergian Ramadan dan selalu memperbanyakkan doa supaya dipertemukan semula dengan Ramadan pada tahun yang seterusnya.


Syahr Tarbawiy Melahirkan Insan Rabbaniy Bukan Ramadaniy

Apa yang ingin dilahirkan melalui madrasah Ramadan juga adalah insan-insan yang mempunyai jiwa rabbaniy dan bukan sekadar memiliki semangat Ramadaniy. Apa yang diinginkan adalah hamba yang melakukan amal kebaikan dalam tujuan mencari redha Allah dan bukan sekadar mengejar ganjaran pahala.


Syahr Tarbawiy ini juga akan melahirkan insan yang menjadikan Ramadan sebagai batu loncatan dan pembakar semangat untuk terus meningkatkan amal dan bukan sekadar menjadikannya satu-satunya bulan untuk berbuat kebaikan. Segalanya kembali kepada niat kita di awal Ramadan dahulu. Jika niat itu bersih semata-mata mengharapkan redha Ilahi, insya-Allah rasa taqwa itu akan berterusan walaupun Ramadan sudah berlalu meninggalkan kita.


Pada kesempatan ini juga, saya selaku Pengarah Sambutan Syahr Tarbawiy peringkat KPT Mesir 1432H ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua AJK pelaksana dan juga kepada mereka yang telah menjayakan program ini.


Sekian wassalam.


“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”


AHMAD ULWAN BIN HASSIM
Pengarah Sambutan Syahr Tarbawiy 1432H,
(Merangkap Naib Setiausaha),
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011


Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.