PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, February 19, 2012

Kementerian Dalam Negeri Mesir (KDN)

Khamis lalu, mahkamah Jenayah Kaherah akan mendengar hujah pembelaan terakhir dalam kes membunuh penunjuk perasaan dalam Revolusi 25 Januari 2011 dengan penghujahan dari tertuduh yang ke-11 iaitu Umar Farmawi, bekas Ketua Polis wilayah 6 Oktober. Pihak pendakwa dan wakil peguam keluarga mangsa yang terkorban akan membuat penggulungan pada Isnin, 20 Januari depan selepas 30 hari mahkamah memberikan peluang kepada peguam tertuduh seramai 11 orang dalam kes tersebut mengemukakan hujah pembelaan yang dilihat oleh penganalisis politik penuh dengan penipuan.

11 orang tertuduh dalam kes sejarah dunia itu diketuai oleh Hosni Mubarak, dua anaknya Jamal dan Ala'a, kroni mereka yang juga jutawan Mesir yang melarikan diri ke luar negara Husin Salim, bekas Menteri Dalam Negeri Habib 'Adli serta 6 orang pembantu Habib 'Adli di KDN iaitu:
1) Hasan Abdul Rahman (bekas Ketua Amnu Daulah)
2) Ahmad Ramzi (bekas Ketua Amnul Markazi)
3) Adli Fayed (bekas Ketua Jabatan Keselamatan Awam)
4) Ismail Sya'ir (bekas Ketua Polis wilayah Kaherah)
5) Usamah El-Murasi (bekas Ketua Polis wilayah Giza)
6) Umar Farmawi (bekas Ketua Polis wilayah 6 Oktober)


Selama lebih 30 hari mahkamah memberikan peluang kepada peguam 11 orang yang tertuduh tersebut untuk memberikan hujah pembelaan dan yang pertama antara mereka ialah Farid Ad-Dib, peguam yang mewakili Hosni Mubarak. Dilaporkan, beberapa hari selepas mempertahankan bermati-matian anak guamnya itu, Ad-Dib telah menutup firma guamannya di Kaherah dan melarikan diri ke luar negara, satu tindakan yang memeranjatkan dan hingga kini masih menjadi tanda tanya.

Sepanjang penghujahan tersebut, semua para peguam yang mewakili anak guaman mereka 11 orang itu berhujah bagi menafikan penglibatan mereka dalam mengarahkan pembunuhan ke atas rakyat Mesir. Semua tertuduh digambarkan sebagai seorang yang baik termasuk dan tidak pernah melakukan jenayah berat bekas Ketua Polis Amnu Daulah, Hasan Abdul Rahman.

Siapa tidak kenal dengan polis Amnu Daulah hinggakan orang asing yang datang ke Mesir ini juga direkodkan dalam rekod mereka. Tujuan Amnu Daulah ini hanya satu iaitu bagi memastikan keselamatan dan kepentingan Mubarak terpelihara. Tidak kira anasir tersebut dari dalam atau luar sekalipun terdapat percubaan untuk menggulingkan dari dalam kerajaan, maka Amnu Daulah ini akan bertindak.

Tidak hairan, bekas ketua-ketua polis Amnu Daulah sebelum ini dinaikkan pangkat oleh Mubarak ke jawatan lebih tinggi antaranya sebagai Speaker Dewan Syura (Sofwat As-Sharif) dan Habib Adli (Menteri Dalam Negeri) bagi 'menghargai' tugas dan jasa mereka mengekang kebangkitan rakyat dan berjaya menakutkan rakyat dengan penjara dan penyeksaan.

Ribuan rakyat Mesir yang menerima penyeksaan yang maha dahsyat sewaktu ditahan adalah angkara Amnu Daulah. Kerusi elektrik, tusukan objek tajam di kemaluan, tumbuk, tampar dan pelbagai seribu satu penderaan yang dilakukan oleh anasir-anasir Amnu Daulah dan rakan-rakan mereka dari pelbagai pasukan polis lain sepanjang 30 tahun Mubarak berkuasa. Tidak pelik, rakyat menyaksikan sendiri di bawah pejabat Amnu Daulah terdapat perkuburan bagi mengebumikan jasad-jasad rakyat yang mati akibat penyeksaan mereka.

Jawatankuasa Pertahanan dan Keselamatan Kebangsaan bagi Dewan Rakyat telah membincangkan masalah dan kerosakan paling teruk dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mesir. Salah satu kementerian paling bermasalah dan hingga hari ini gagal untuk dibersihkan. Salah seorang ahli jawatankuasa berkenaan Dr. Farid Ismail mendedahkan, hingga ke hari ini masih terdapat 805 orang pegawai tinggi polis yang berpangkat "Al-Liwa' atau "Jeneral" masih bertugas dalam perkhidmatan polis.


Wallahualam



Disediakan oleh :

Muhammad Abdul Malik Hj.Abdul Karim,
Penasihat PMRAM