PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, February 15, 2012

Majlis Taaruf Tadhamun Capai 3 Persepakatan

KAHERAH, 15 Feb - Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara di Mesir (Tadhamun) selesai mengadakan satu Majlis Taaruf Tadhamun pada 13 Februari baru-baru ini di Wisma Nusantara.

 
Majlis tersebut adalah bagi memperkasakan hubungan jalinan kerjsama antara semua persatuan induk bagi negara-negara Asia Tenggara dan dialog bersama dengan Ketua Sekretariat, Saudara Abdul Malik Abdul Karim.
 
Majlis tersebut bermula sekitar jam 6.15 malam yang dipengerusikan oleh Saudara Ahmad Ulwan bin Hashim yang juga merupakan Setiausaha kepada Ketua Sekretariat. Majlis tersebut menggunakan sepenuhnya penggunaan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi
 
Sebanyak 6 negara yang terlibat serta dihadiri oleh pimpinan akhwat dari setiap negara masing-masing.
 
Majlis dimulakan dengan tilwah Al-Quran yang diperdengarkan oleh Saudara Muaz Mustafa, mahasiswa Thailand. Beliau juga mendapat ijazah daripada masyaikh ketika memasuki pertandingan Al-Quran peringkat dunia yang diadakan di Iran pada tahun 2011.
 
Kemudian, majlis diteruskan dengan pengenalan setiap Ketua pimpinan persatuan induk, termasuk PMRAM mewakili negara Malaysia.
 
Seusai majlis pengenalan dengan setiap ketua pimpinan, Ketua Sekretariat menyampaikan amanat emas. Amanat yang disampaikan banyak menyentuh isu ukhwah dan isu semasa berkenaan umat Islam di Syria. Beliau menyeru agar setiap negara mendoakan kesejahteraan umat Islam di Syria.
 
Majlis dialog yang diadakan dengan Ketua Sekretariat berlangsung dengan lancar dan mencapai 3 persepakatan bersama iaitu
 
1) Tuan Rumah bagi ASEAN CUP 2012 adalah Thailand.
2) Hari Jumaat merupakan hari rasmi berbahasa arab bagi setiap negara Asia Tenggara
3) Tadhamun akan bertindak dalam usaha rayuan memohon merendahkan yuran Markaz Bahasa Arab
 
Majlis tersebut diakhiri dengan pelancaran Facebook rasmi bagi Tadhamun sebagai medium perkongsian sebarang informasi. Dan Ketua Sekretariat memaklumkan bahawa bahasa rasmi bagi Facebook tersebut adalah dengan penggunaan bahasa arab.
 
Sumber : PMRAM