Pihak Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara dan dunia seluruhnya telah melihat dan memerhatikan isu keganasan dan penindasan kerajaan Basyar Al-Asad membunuh dan menyembelih rakyatnya sendiri tanpa belas kasihan sejak lebih 10 bulan lalu seakan-akan tiada kesudahan.
Jumlah kematian sudah mencecah lebih 7,000 nyawa termasuk dari kalangan kanak-kanak, bayi yang baru lahir, wanita dan warga tua manakala lebih 10 ribu yang lain menjadi pelarian ke sempadan negara jiran, Turki dan Jordan.
Pendirian pihak kami dalam isu ini amat jelas iaitu menentang kezaliman adalah kewajipan bagi semua muslim sekalipun jika berlaku terhadap musuh.
Firman Allah dalam Surah Maidah ayat ke 8 yang bermaksud:
((Janganlah kebencian kamu terhadap satu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil, berlaku adil kerana ia amat hampir kepada taqwa))
Tegahan Allah untuk kita tidak cenderung atau memberikan apa jua sokongan terhadap kezaliman seperti firmanNya dalam Surah Hud ayat 113:
((Jangan kamu cenderung kepada kezaliman nescaya kamu akan disambar oleh api neraka))
Sudah tentu mereka yang mempunyai sifat perikemanusiaan akan tidak dapat menerima apa yang berlaku di Syria pada waktu ini.
Negara Syria yang terkenal dengan pusat penyebaran ilmu Islam sejak ratusan tahun terutama masjidnya yang bersejarah, Masjid Umawi dan Damsyik, ibu negara Syria yang pernah melalui zaman kegemilangan apabila Khilafah ketika itu, Muawiyah bin Abu Sufian r.anhu menjadikannya sebagai pusat pentadbiran khilafah ketika itu.
Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara juga memberikan amaran bahawa pembunuhan yang berterusan setiap hari ini terutama di wilayah Homs bakal mengulangi sejarah hitam yang pernah dilakukan bekas Presiden Hafiz Al-Asad sebelum ini di wilayah Hamah pada pembunuhan beramai-ramai bermula 2 Februari 1982 yang mengorbankan lebih 40 ribu umat Islam.
Wilayah Homs dikenali kerana di sana juga terdapat maqam dan masjid sahabat yang masyhur lagi gagah berani iaitu Saidina Khalid Al-Walid r.anhu.
Oleh itu, pihak Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara menegaskan:
1) Perlunya bantuan segera berupa kewangan dan ubat-ubatan bagi dihulurkan kepada rakyat Syria yang kini berada dalam kepungan tentera rejim.
2) Menyokong tindakan negara-negara Teluk yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria dengan memanggil pulang duta masing-masing termasuk Parlimen Mesir yang mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Parlimen Syria.
3) Berdiri teguh bersama-sama para ulamak yang bersama-sama dengan kebangkitan rakyat khasnya melalui Ikatan Ulamak Syria yang dipengerusikan oleh Syeikh Dr.Muhammad Ali As-Sobuni yang begitu berani dan lantang menegur pemerintah yang zalim.
4) Menyeru semua mahasiswa dan mahasiswi untuk melakukan solat hajat dan qunut nazilah hingga Allah memberikan bantuan kepada rakyat Syria.
5) Mengutuk tindakan campur tangan asing dalam hal ehwal negara Syria apatah lagi yang menyokong rejim Syria seperti yang dilakukan oleh negara China dan Russia yang menggunakan kuasa veto bagi menghalang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan usul mendesak rejim Syria segera berundur.
Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara juga melahirkan kekesalan terhadap Liga Arab dan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang gagal mengambil tindakan cepat dan berani dalam menangani krisis berdarah ini.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada rakyat dan pendukung revolusi Syria dalam menuntut keadilan dan kebebasan yang sekian lama ditekan dan ditindas.
Muhammad Abdul Malik Hj.Abdul Karim,
Ketua Sekretariat
Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara di Mesir/
Penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)