PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, February 27, 2012

Penjanaan Akademik Teras Kekuatan


KAHERAH, 26 Feb - " Kecemerlangan Akademik Sebagai Senjata Utama" merupakan salah satu subtopik didalam ucapan dasar Presiden PMRAM menunjukkan kepentingan akademik adalah aspek yang ditekankan oleh PMRAM.
 
Sehubungan dengan itu, PMRAM mengharapkan kepada semua mahasiswa Islam untuk terus bersemangat menuntut ilmu agar mampu menjana generasi ilmuwan berkualiti.
 
Pengajian semester kedua bagi Universiti Al-Azhar telah bermula, teruskan berusaha untuk mencapai kejayaan dalam memartabatkan ilmu semaksima yang mungkin.
 
Aspek pendidikan adalah tunjang ketamadunan sesebuah bangsa apabila nilai pencapaian akademik cemerlang maka sudah pasti mampu melahirkan generasi intelektual dan rabbani.
 
Medium lapangan disajikan oleh PMRAM kini merangkumi segala sudut namun ianya akan terlaksana sekiranya mahasiswa Islam dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang ada.
 
Antaranya Madrasah Imam Syafie', Madrasah Saidatina Aisyah, Diskusi dan Pembentangan Kertas Kerja, Kelas Tafaqquh dan Kelas Intensif .
 
Medium ini sebagai mekanisma kepada seluruh mahasiswa Islam untuk dimanfaatkan sebaiknya sepanjang keberadaan di bumi Anbiya' ini.
 
Barisan kepimpinan PMRAM Pusat mendoakan agar kita diberikan kekuatan dalam menuntut ilmu dan istiqamah dalam setiap gerak kerja demi kebaikan Islam bukan kepentingan lain.
 
" PMRAM sentiasa menyediakan platform terbaik dalam memastikan kecemerlangan akademik dipertingkatkan dan sekaligus dapat berbakti kepada agama, masyarakat dan negara" ujar Saudara Ahmad Daniel bin Mohmad Hasan selaku Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM 2011 ketika dihubungi .