PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, February 9, 2012

KESATUAN IMAN, ILMU & AMAL



Alhamdulillah, segala puji terhadap Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita dua nikmat yang terbesar iaitu iman dan islam. Selawat dan salam buat junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW yang telah memberikan keteladanan yang mulia untuk para pendakwah di sepanjang zaman yang menggeluti medan dakwah dan amal islami. Iman, ilmu dan amal merupakan elemen penting yang saling berkait antara satu sama lain. Selaku mahasisiwi islam,kita seharusnya menitik beratkan ketiga-tiga aspek ini agar dapat meningkatkan daya kefahaman yang berteraskan Islam.
Iman atau akidah yang hakiki, ilmu yang bermanfaat seperti yang didoakan oleh Nabi Muhammad SAW dan amal yang soleh adalah santapan sebenar rohani dan jasmani manusia. Dengan keimanan yang sebenar mampu mendorong manusia melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Iman selainnya, iaitu segala kepercayaan yang berlawanan dengan keenam-enam rukun iman, bukanlah santapan sebenar umat islam. Contohnya, konsep ketuhanan yang menyeleweng daripada ajaran tauhid, fahaman kebendaan (materialisme), fahaman komunisme dan marxisme, dan fahaman evolusionisme. Harus disedari bahawa aliran utama pemikiran sains masa kini adalah berteraskan fahaman materialisme. Fahaman komunisme dan marxisme mungkin semakin pudar di Eropah barat tetapi ia masih popular di Amerika Latin. Fahaman evolusionisme yang mempercayai kononnya manusia berasal daripada haiwan diterima oleh banyak pihak di Barat sebagai agama. Kesemua fahaman ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan kita akan turut sama terjebak seandainya tiada keimanan yang mantap dalam diri.
Menuntut ilmu adalah ibadah, bahkan menjadi kewajipan ke atas setiap individu Muslim,sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW “Menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim”.Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu din (ilmu agama), yang wajib dituntut oleh setiap muslim iaitu ilmu aqidah, ibadah, pengetahuan tentang halal dan haram, akhlak dan hal-hal yang berkaitan dengan apa saja yang dikerjakan di dunia ini. Ilmu inilah yang diminta oleh Rasulullah SAW dalam doanya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, dan aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat.” Ilmu yang tidak bermanfaat, contohnya ilmu kebal, ilmu hitam, ilmu awet muda yang berbahaya, ilmu senjata kemusnahan awam (weapons of mass destruction) seperti senjata nuklear dan senjata kimia serta ilmu untuk mengklon haiwan dan manusia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada diri manusia, malah akan memudharatkan diri sendiri serta orang lain.
Amal pula merupakan satu aplikasi hasil dari gabungan ilmu dan iman kerana kebenaran iman dapat dilihat melalui amal soleh seseorang. Allah SWT berfirman, "Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." (Surah Al-Asr : 1-3).“Allah tidak menerima iman tanpa amal perbuatan dan tidak pula menerima amal perbuatan tanpa iman.” Berdasarkan bukti dan dalil di atas tidak sempurna iman dan ilmu seseorang itu melainkan dengan disulami dengan amal yang dilakukan ikhlas kepada Allah SWT. Ikhlas merupakan kunci kepada penerimaan ibadah seseorang. Ibn Atha’illah berkata dalam Al-Hikam, “Sesungguhnya Allah tidak menyukai amal yang mendua(berbelah bahagi), dan tidak pula hati yang mendua. Amal yang mendua tidak diterima dan hati yang mendua juga tidak akan diterima.”
Kita seharusnya menyedari bahawa penghayatan tentang kesatuan iman, ilmu dan amal merupakan salah satu rahsia keunggulan agama Islam yang melayakkan agama yang mulia ini digelar sebagai agama tauhid yang hakiki. Sikap negatif dan buruk yang diperlihatkan oleh segolongan masyarakat Islam hari ini, kelakuan dan perbuatan mereka yang jelas bertentangan dengan syariat Islam, cara berfikir mereka yang tidak ada bezanya dengan cara berfikir golongan sekular di Barat semuanya menunjukkan bahawa pegangan agama Islam mereka longgar dan bermasalah. Jenis dan kualiti amal mencerminkan jenis dan kualiti iman dan ilmu. Kegagalan memahami perkara ini akan menyebabkan kita gagal untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dari luar negara seperti pengaruh media massa dalam mengembangkan budaya hawa nafsu “sensate culture” yang berpunca daripada dasar kebudayaan terbuka, aspek-aspek negatif ideologi dan amalan demokrasi Barat. Saintisme dan teknologisme sebagai ideologi yang memperlihat sains dan teknologi sebagai alternatif kepada agama dan juga sebagai penyelesai masalah masyarakat.
Justeru itu, marilah sama-sama kita bangkit mengatasi masalah kebuntuan pemikiran umat islam dengan menggabungkan ketiga-tiga elemen penting ini iaitu iman, ilmu dan amal dalam menjernihkan kembali pemikiran mereka serta berusaha semampu mungkin untuk mengembalikan semula khilafah islamiyyah di atas muka bumi Allah SWT. 
  
UNIT AKADEMIK
HAL EHWAL WANITA ISLAM
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012