PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, March 10, 2013

CINTA ASAS PERJUANGAN



     Bil : 04                                                                                                                         Februari 2013
 
CINTA ASAS PERJUANGAN

Manusia tidak jatuh ke dalam cinta dan tidak juga keluar dari cinta. Tetapi manusia tumbuh dan membesar dalam cinta. Lonjakan  cinta akan membawa sesuatu menjadi lebih baik dan sempurna. Ia  mengajarkan kita betapa besar kekuatan yang dihasilkannya.

Cinta mendidik  kita bagaimana cara  berlaku jujur dan berkorban, berjuang dan menerima, memberi dan mempertahankan. Islam bukan sahaja mengagungkan cinta bahkan memberi contoh mithali menerusi kehidupan insan mulia, Rasulullah s.a.w  yang tercinta.

Pagi itu, langit mulai menguning. Burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Rasulullah dengan suara tersekat-sekat memberi  wasiat, “Wahai umatku, kita semua adalah dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara kepada kalian, al-Quran dan sunnah. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintaiku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan  masuk syurga bersamaku.”

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang redup menatap sahabat baginda satu persatu.

Isyarat itu telah datang dan saatnya sudah tiba. “Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” bisik hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang  mengucapkan salam.
Malaikat maut datang menghampiri tetapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut menyertai. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

“Pintu-pintu langit telah terbuka dan para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata jibril. Tetapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega. Matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi.

“Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”

“Jangan khuwatir wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: “Kuharamkan syurga bagi siapa sahaja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik Izrail melakukan tugas semakin dekat. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik Tampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini.” Lirih Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril membuang muka. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik kerana sakit yang tidak tertahan lagi. “Ya Allah, dahsyatnya  maut ini, timpakan sahaja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibir baginda bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum, peliharalah solat dan santuni orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu, tangisan mulai bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya dan Ali kembali mendekatkan telinga ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

Ummatii, ummatii, ummatiii.” Akhirnya, insan mulia itu pergi mengadap kekasihNya. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?

                                                 *****************************************

Sebenarnya kita tidaklah semata-mata hanya memperingati dan merayakan kedatangan Rabiul Awal bulan kelahiran baginda kerana pada bulan ini juga Rasulullah diwafatkan. Namun,  apa yang lebih penting ialah iktibar daripada misi perjuangannya dalam membawa manusia berhijrah daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan taqwa kepada Allah s.w.t. 

Misi perubahan yang menjadi intipati perjuangan baginda adalah untuk menegakkan Islam. Islam yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t sesuai dengan peranan baginda sebagai  Rasul iaitu pesuruh Allah sepertimana yang ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya pada surah Ali Imran: ayat 144 yang bermaksud:

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) ..?"

Adalah penting terutamanya kepada pendokong dan daie gerakan Islam mengambil iktibar daripada peristiwa misi awal baginda pergi berdakwah ke Taif. Sambutan yang baginda terima daripada penduduk Taif sangat mengecewakan. Bukan sahaja mereka tidak ambil peduli ajakan baginda untuk membuat perubahan malah baginda dihujani dengan batu-batu hingga menyebabkan baginda luka berdarah. Melihatkan keadaan baginda yang terluka itu malaikat meminta baginda agar mengizinkannya untuk membalikkan batu-batu besar agar menghempap mereka semua ke dalam bumi.

Tapi apakah yang diminta oleh baginda ketika bermunajat kepada Allah? Baginda memohon Allah memberikan hidayah kepada mereka kerana mereka masih jahil. Sikap unggul penuh kesabaran dan ketabahan serta pemaaf ini perlu kita contohi dalam misi untuk membawa perubahan.  Baginda sesekali tidak menaruh dendam malah sentiasa memohon kepada Allah agar memberikan hidayah kepada mereka. Inilah salah satu contoh teladan yang patut kita ikuti di dalam komitmen kita berjemaah baik sesama anggota jemaah mahupun kepada sasaran dakwah kita.

Oleh itu, marilah sama-sama kita beriltizam membawa misi perubahan ke arah sebuah masyarakat yang adil dan berkebajikan untuk semua dengan mengambil contoh teladan daripada Rasulullah s.a.w.



 Disediakan Oleh :-
UNIT RISALAH
UNIT DAKWAH
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2012/2013