Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdulillah,
satu ungkapan dilafaz menandakan seribu kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas
limpah dan kurniaNya kerana masih lagi memberi ruang dan peluang kepada hamba-hambaNya
untuk terus hidup di muka bumi ini. Selawat dan salam dihadiahkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad
S.A.W, kekasih hati buat para daie yang
memperjuangkan kedaulatan agama Islam di dunia ini.
Meminjam
kalam Allah yang bermaksud :
“Dan
tidaklah sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa
sebahagian dari setiap golongan di antara
mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk
memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka
dapat menjaga dirinya.”
(Surah
at-Taubah ayat 122)
Islam
yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W merupakan agama yang berdiri di atas
prinsip dan dasar yang bersumberkan al-Quran dan as- Sunnah. Melalui firman
Allah di atas, dapatlah difahami bahawa Islam sangat menitikberatkan soal ilmu
pengetahuan dalam kalangan penganutnya memandangkan Islam adalah agama yang
mencakupi seluruh skop kehidupan manusia. Hakikat ini dikuatkan lagi dengan
penurunan wahyu pertama yang jelas menunjukkan peri pentingnya ilmu
pengetahuan.
Dua
item penting yang perlu diberi perhatian melalui petikan surah at-Taubah ayat
122 bagi mereka yang ingin menyambung jalan perjuangan yang diwariskan oleh
Nabi Muhammad S.A.W. Pertamanya, dapat dilihat betapa bernilainya ilmu
pengetahuan dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan sumber cahaya yang menyuluh akal dan hati bagi
mengenal Allah dan segala tuntutan-Nya. Carilah bekalan ilmu sebanyak mungkin
selaku penuntut ilmu bagi mempersiapkan diri menjadi daie dan bakal ulama yang
akan menerangi kehidupan masyarakat. Sekiranya ilmu tidak menjadi keutamaan
dalam prinsip agama, tidaklah Allah mendatangkan tawaran untuk mengangkat
darjat bagi orang yang berilmu di dalam firmanNya yang berbunyi:
..
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت..))
))
(Surah
Al-Mujaadilah: 11)
Mereka
yang mempelajari ilmu agama Allah dan memahami serta menghayati sepenuhnya
merupakan ulama yang berkelana di atas muka bumi ini. Tugas untuk memimpin masyarakat ke arah kebenaran terpundak di
atas bahu ulama memandangkan hanya mereka yang menjadi warisan tinggalan para nabi.
Inilah item kedua yang perlu diberi perhatian selaku penuntut ilmu yang bakal
mewarisi tampuk kepimpinan ulama suatu hari nanti. Langkah pertama untuk merealisasikan dakwah di jalan Allah, tidak ada
cara dan jalan yang lebih sempurna melainkan dengan menggabungkan diri dalam jamaah
Islam atau organisasi yang kemas dan teratur.
Selaku pemegang ikon azhari dan azhariah, tugas menuntut
ilmu dan menyampaikan kepada masyarakat apabila pulang kelak merupakan amanah
yang akan dipersoalkan oleh Allah. Maka persediaan rapi perlu direncana dari
sekarang bagi memastikan senjata utama dalam menggerakkan dakwah iaitu ilmu
mampu disampaikan sekaligus berhasil menjentik hati-hati masyarakat supaya
kembali ke pangkal jalan.
Sebagaimana
Allah menjaga kekasihnya, Nabi Muhammad S.A.W ketika giat menyampaikan seruan
dakwah kepada masyarakat jahiliyah, begitu juga Allah melindungi para ulama dan
daie yang berusaha semampu mungkin untuk menarik kembali manusia moden yang
kian hanyut dek kelalaian dunia. Jadi, mengapa kita masih merasa takut dan
ragu-ragu untuk berada di jalan yang pernah dilalui oleh para nabi, ulama dan
daie, dimana jalan tersebut menjanjikan seribu kebaikan di dalamnya. Sekiranya
hasil kebaikan perjuangan tidak diperoleh didunia, pasti akan diganjarkan di
akhirat kelak. Janji Allah untuk para pejuang agama adalah sesuatu yang pasti,
hanya menunggu untuk kita menyahut atau memandangnya sepi.
“MEMARTABAT
KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”
“JULANG
KEILMUAN JANA KEIZZAHAN”
SAMIHAH
BINTI ISMAIL
Unit
Akademik ,
Hal
Ehwal Wanita Islam,
Keluarga
Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi
2012/2013.