Bil : 02 Disember 2012
Hijrah Mengajar Nilai Pengorbanan
HIJRATURRASUL NILAI TARBIYYAH YANG TERTINGGI
Peristiwa Hijrah ar-Rasul adalah antara episod peristiwa yang cukup
tinggi nilai tarbiyyah buat ummah sepanjang
jalan, untuk mereka membina peradaban dan keagungan ummah bersama risalah
as samawi. Ia tidak
hanya dilihat dari kronologi peristiwa tetapi selayaknya turut dihayati dari
aspek matlamat dan objektif hijrah itu sendiri. Bagaimana falsafah hijrah dan
bagaimana pula Rasul mengendalikan hijrah dengan pelbagai nilai unggul
menghiasinya. Antara nilai hijrah yang
mengandungi nilai utama ialah:
Hijrah Adalah Perjuangan
Islam adalah agama yang menuntut supaya syariatnya didaulatkan dan
segala hukum-hakamnya dikuatkuasakan sebagai satu perundangan yang mengawal
kehidupan manusia di atas muka bumi. Nabi
Muhammad S.A.W dan para sahabat memperjuangkan kedaulatan Islam meskipun mereka
terpaksa meninggalkan tanah air tercinta. Sabda Rasulullah S.A.W (bermaksud), "Sesiapa yang keluar (hijrah) dari
rumahnya sebagai seorang pejuang di jalan Allah Azza wa Jalla kemudian ia
berkata (dengan tiga jarinya ibu jari, telunjuk dan jari tengah dihimpunkan),
mana-mana mereka yang berjuang lalu ia jatuh tersungkur dari kenderaannya dan
mati maka tetaplah pahalanya di sisi Allah atau ia disengat oleh binatang lalu
mati maka telah tetaplah pahalanya di sisi Allah atau mati biasa maka
sesungguhnya tetaplah pahalanya di sisi Allah Azza wa Jalla."
Tegasnya, perjuangan Rasulullah S.A.W untuk meletakkan Islam
mengatasi segala bentuk fahaman (ideologi atau berhala) dan memartabatkan
ummahnya dapat disingkap melalui peristiwa hijrah ini. Justeru itu, kalendar
baru bagi ummat Muhammad S.A.W dikira dari tarikh mula berlakunya hijrah.
Kalendar tersebut merupakan bermulanya diari baru, bagi ummat Islam muncul
sebagai ummat yang berdaulat dan menjadi kuasa baru buat ummat manusia
seluruhnya kearah meletakkan mereka sebagai ummat yang bebas dari perhambaan
sesama hamba dan sekaligus memerdekakan manusia dari belenggu fahaman dan
anutan agama ciptaan manusia serta fatamorgana dunia yang penuh tipu daya.
Hijrah Mengajar Nilai Pengorbanan
Sebuah perjuangan pastinya tidak lepas dari pengorbanan sebagai
harga perjuangan tersebut. Semakin penting perjuangan itu, semakin tinggi nilai
pengorbanan yang mesti dibayar oleh para pejuangnya. Berjuang menegakkan negara
Islam dan mendaulat syariat Ilahi adalah merupakan sepenting-penting urusan
demi meletakkan agama Allah tinggi mengatasi segalanya dan serentak itu
memartabatkan ummahnya agar tidak lagi menjadi ummat belasahan pula hina di
mata dunia.
Peristiwa Sohaib ar-Ruumi yang dihalang oleh kuffar Musyrikin dalam
perjalanan beliau hijrah ke Madinah. Sohaib terpaksa meninggalkan seluruh harta
kekayaan yang diperolehi sewaktu mengurus perniagaannya di Makkah sebagai
'passport' untuk menjayakan hijrah beliau (setelah beliau dikenakan syarat
bahawa beliau hanya dibenarkan hijrah selepaskan meninggalkan seluruh
hartanya).
Harta telah
tiada nilainya lagi bagi Sohaib berbanding kepentingan hijrah ke arah
mendaulatkan syariat Allah Taala di muka bumi ini. Demi hijrah yang bermisikan
kedaulatan Islam itu , Sohaib memilih untuk tidak bersama hartanya asal sahaja
beliau dibebaskan pergi ke Madinah melepasi halangan atau sekatan kuffar Musyrikin.Mendengar
berita pengorbanan Sohaib ar Ruumi tersebut, baginda Rasul S.A.W berkata
(maksudnya), "Beruntunglah Sohaib, beruntunglah
Sohaib." (Sahih Ibnu Hibban, Jil.15, M/S:557)
Hijrah Adalah Penyatuan Ummah
Hijraturrasul turut mencatat sejarah
bagaimana baginda mempersaudara golongan Ansar (Madinah) dengan golongan
Muhajirin (Makkah) serta berjaya menamatkan persengketaan kaum antara 'Aus dan
Khazraj yang berselisih sejak sekian lama. Hijrah membuka lembaran baru yang
menyatukan mereka sedang penyatuan itu pula menjanjikan kekuatan dan kehebatan
kepada mereka serta mereka mula digeruni oleh lawan. Malah persaudaraan erat
mereka menjadikan mereka mendapat keampunan dan kemuliaan disisi Allah Taala.
Kemuliaan dan kehebatan perpaduan mereka sebenar dicerna dari nilai
persaudaraan dan persahabatan yang tiada taranya. Saksikan bagaimana mereka
(Ansar dan Muhajirin) mempamerkan nilai ukhuwwah mereka dalam membentuk
perpaduan kental yang tentunya menjadi syarat kekuatan ummat ini.
Hijrah
Adalah Kedaulatan Dan Kemenangan
Kemuncak kejayaan hijrah ialah apabila baginda meletakkan Piagam Madinah atau Miithaaqul
Maadinah sebagai
perlembagaan negara Islam pertama justeru ia menepati sebuah perjanjian antara
kerajaan yang dibentuk dengan rakyat yang dipimpin. Asas terpenting di dalam
piagam ini ialah : "Apa
jua yang menjadi perselisihan dikalangan kamu maka tempat rujuknya ialah Allah
Azza wa Jalla dan Muhammad S.A.W."
Inilah kedaulatan Islam. Hijrah Rasul membina kedaulatan Islam dan
meletakkan ummatnya aman, harmoni, bahagia, tenang, selamat, bertamaddun, maju,
berjaya dan kuat. Islam menjadi asas dan sumber pedoman atau petunjuk,
sementara ummah pula sebagai khalifah yang mentadbir dan mengurus kehidupan di
dunia berasaskan agama. Islam tidak lagi diperlekehkan dan dipersenda melainkan
mereka terpaksa menerima tentangan sengit dan akhirnya terpaksa akur dan tewas
kepada Islam. Bermula dari peperangan Badar al Kubra hinggalah Pembukaan
Kota Makkah (Fathul Makkah), Nabi Muhammad S.A.W terus meletakkan Islam
dan ummatnya unggul di pentas antarabangsa sebagai bangsa dan agama yang
merdeka dan menang.
Disediakan Oleh :-
UNIT RISALAH
UNIT
DAKWAH
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2012/2013