PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, March 10, 2013

Indahnya Tawakkal PadaMu



         Bil : 03                                                                                                                                               Januari 2013      

 Indahnya Tawakkal PadaMu


Tawakkal adalah kesungguhan hati bersandarkan kepada Allah Ta’ala untuk mendapatkan keredhaanNya dan pengharapan terakhir setelah kita berusaha mahupun dalam urusan dunia dan akhirat. Tawakkal jika didefinisikan dari segi bahasa, ianya merupakan satu perkataan yang berasal dari kata dasar wakalah atau tawakul yang membawa maksud mewakilkan atau menyerahkan. Dari segi istilah pula, tawakkal itu lebih membawa maksud kepada menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dalam menghadapi sesuatu atau menunggu hasil daripada akibat sesuatu pekerjaan.
Apabila kita menampakkan dan mengakui kelemahan diri serta menyandarkan diri hanya kepada Allah semata–mata, maka kita boleh dikatakan sedang bertawakkal kepadaNya atas alasan kita berjaya menepis dan membuang ego yang bersarang dalam diri dengan mengakui diri kita sebagai hamba yang lemah dan tidak memiliki kesempurnaan. Rasulullah S.A.W pernah bersabda  bahawa  perkara yang menakjubkan dalam hidup seseorang mukmin adalah apabila dia mendapat nikmat dia bersyukur, bila ditimpa musibah juga dia bersyukur (redha). Alangkah indahnya! Siapa yang mahu menolak kehidupan sebegini yang tenteram dan tenang dengan hanya bertawakkal.
Menurut Ibnu Qayyim r.a, “Tawakkal merupakan faktor utama yang boleh mempertahankan seseorang ketika tidak memiliki kekuatan dari serangan makhluk lainnya yang menindas dan memusuhinya. Tawakkal adalah sarang  yang paling ampuh untuk menghadapi keadaan seperti itu, kerana ia telah menjadikan Allah sebagai pelindungnya atau yang memberinya kecukupan, maka musuhnya itu tidak akan boleh mendatangkan bahaya padanya. Tawakkal adalah perisai kepada seseorang mukmin itu apabila dia berhadapan dengan medan atau keadaan yang getir”. Sebagai contoh, keadaan kita sekarang iaitu kita berada di medan ilmu. Jika kita serahkan hasil kepada Allah, kita akan sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang Dia berikan. Dalam kitab Hadith karangan Imam  al-Bukhari iaitu Sahih Bukhari, berkata Ibnu Abbas r.a bahawa ketika Nabi Ibrahim r.a dicampakkan ke tengah api yang sedang membara, baginda menyebut firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 173; Yang bermaksud : “Cukuplah Allah yang menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik–baik pelindung”.                            
Situasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim ini merupakan satu contoh peristiwa yang menunjukkan betapa hebatnya kesan tawakkal kepada Allah. PadaNya pengharapan yang baik, namun jika hasilnya tidak memuaskan hati, redha sebagai tanda tingginya tawakkal seseorang kepada Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Sungguh, seandainya kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar–benarnya, nescaya kalian akan diberi rezeki seperti burung. Mereka berangkat pagi- pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada petang hari dalam keadaan kenyang”. Keadaan ini menggambarkan betapa perlunya kita sebagai makhluk Allah yang diberi akal yang sempurna untuk tunduk dan patuh pada perintahNya melebihi binatang seperti burung yang tidak diberikan akal yang sempurna. Namun apa yang mengecewakan sekarang, kita lebih cenderung untuk melanggar fitrah yang Allah tetapkan berbanding menurut apa yang telah ditetapkan untuk kita.  

Dan begitu pula Dr Yusof Qardawi yang mengatakan bahawa tawakkal adalah ibadah hati. Apabila kita ada keyakinan dalam hati (penyerahan sepenuhnya kepada Allah), kita akan berusaha. Usaha adalah menuju hasil yang baik. Jadi jika kita benar – benar yakin dengan keputusan sama ada baik atau buruk adalah hak Allah, usaha kita itu tidak bertentangan dengan tawakkal kepada Allah SWT. Tanpa usaha, tiada gunanya tawakkal dan tanpa tawakkal juga usaha itu akan sia-sia. Contoh individu yang terdekat yang boleh kita rasakan impak tingginya tawakkal dirinya pada Allah S.W.T ada pada Rasulullah S.A.W itu sendiri. Menceritakan perihal keadaan Nabi Muhammad S.A.W yang pada suatu hari berada di masjid. Baginda sedang melihat  keadaan persekitaran masjid, dan tiba–tiba baginda terpandang seseorang yang sedang duduk termenung di dalam masjid. Apabila baginda melihat secara dekat , baginda mengetahui bahawa orang itu adalah Abu Umamah. Nabi bertanya kepada Abu Umamah tentang keberadaan dia di masjid tatkala baginda membenarkan semua orang bertebaran setelah selesai solat berjemaah.
Jawab Abu Umamah, “ Wahai Nabi, sungguh terlalu banyak masalah yang meresahkan saya. Hutang yang melilit. Jadi untuk menghilangkan semuanya , saya bertafakur , agar Allah tunjukkan jalan keluar untuk saya. Lalu baginda menjawab seraya berkata, “Wahai Abu Umamah, mahukah  kamu jika aku bacakan satu doa, yang bila engkau baca doa ini siang dan malam, maka keresahanmu akan hilang. Doa tersebut adalah:                                                                                                                                                                                  
Maksudnya : Ya Allah , aku berlindung kepada-Mu dari rasa gelisah dan sedih, dari kelemahan dan kemalasan dan dari sifat pengecut dan bakhil, dan dari tekanan hutang dan penindasan orang.
Sedangkan Nabi yang sangat dikasihi oleh Allah, yang dijamin pengakhirannya adalah tempat yang terbaik, tetap juga bertawakkal kepadanya, inikan pula manusia yang kerdil. Tambahan pula kita sering mengaku bahawa kita kasihkan Allah, maka mengapa kita tidak mahu menyandarkan diri hanya kepadaNya?

  Disediakan Oleh :-
UNIT RISALAH
UNIT DAKWAH
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2012/2013