PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, March 27, 2013

SEPETANG DI BUMI ZAGAZIG MELAKAR CORETAN INDAH



ZAGAZIG, 23 Mac 2013- Mahasisiwi Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir telah berpeluang menziarahi saudara seperantauan di Zagazig. Perjalanan yang mengharungi kesibukan jalanraya mengambil masa dua jam lebih untuk tiba di destinasi. Ketibaan rombongan disambut ceria oleh mahasiswi perubatan Zagazig. Usai solat Asar,  rombongan terus ke Dewan Sukan Universiti Zagazig untuk  perlawanan futsal gabungan antara mahasiswi perubatan Zagazig dan mahasiswi pengajian Islam serta pergigian Kaherah. Perlawanan tersebut melahirkan rasa kebersamaan antara pemain sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara mereka. Kesungguhan setiap kumpulan dapat dilihat sepanjang perlawanan berlangsung dan diungguli oleh kumpulan dua. 

Selepas menunaikan solat di sana, rombongan meneruskan perjalanan menuju ke Dewan Perwakilan Zagazig. Majlis dimulakan dengan sesi taaruf saf kepimpinan Perubatan Cawangan Zagazig dan seterusnya saf kepimpinan HEWI KPT Mesir sesi 2012/2013. Antara perkongsian sepanjang sesi tersebut ialah mengenai tempat menarik di Zagazig, isu keselamatan  dan pemergian Saudara Faiz Izzudin.
 
Modul ukhuwah; “Seerat Simpulan Seintim Ukhuwah” menceriakan lagi malam itu sekaligus dapat mengeratkan lagi antara dua pihak terbabit. Rasa janggal berlalu pergi dan kasih sesama saudara terus mekar di bumi crepe

Selepas itu, penggambaran ringkas diadakan untuk merakamkan detik manis sepetang di bumi Zagazig. Seterusnya mereka menjamu selera beramai-ramai sambil saling bertukar-tukar cerita. Sebelum pulang, peserta rombongan sempat menikmati keenakan crepe di sana.

Malam yang dingin menghantar kepulangan kami ke Kota Kaherah. Pihak rombongan mengucapkan jutaan terima kasih kepada saf kepimpinan dan mahasiswi Zagazig kerana memberi layanan yang sangat baik. Semoga pertemuan ini tidak ternoktah disini sahaja bahkan akan bersua lagi pada masa akan datang.