JADILAH SEPERTI
IMAM SYAFIE DALAM MENUNTUT ILMU
Pada
zaman kegemilangan tamadun islam, sebuah elemen penting dalam mempercepatkan
pertumbuhan kekuatan islam adalah apabila dahaganya seorang muslim terhadap
ilmu pengetahuan. Umat islam pada saat itu sangat teruja dalam mencari ilmu
pengetahuan dari berbagai sumber yang ada. Mereka mengadaptasi elemen-elemen
ilmu pengetahuan yang bermanfaat dari peradaban Yunani, India, China, Parsi dan
peradaban-beradaban yang lain. Jadi proses islamisasi ilmu pengetahuan ini
telah berjaya di terapkan oleh umat islam berabad-abad yang lalu. Perlu
diketahui bahawa salah satu aspek penting yang menjadi penyebab kemunduran umat
islam pada masa kini adalah kerana mereka telah kehilangan rasa dahaga akan
ilmu pengetahuan. Kebodohan dan
kejahilan telah tersebar luas ditengah-tengah masyarakat. Maka, para tolibul ilmi harus memiliki rasa tanggungjawab untuk
meletakkan semua usaha-usaha mereka dan pengorbanan mereka menjadi sebuah
tambahan ilmu pengetahuan untuk disampaikan kepada masyarakat kelak.
Selaku
seorang yang mengaku penuntut agama Allah, mari sama-sama kita mengenali dengan
lebih mendalam peribadi seorang yang hebat ilmunya, tinggi akhlaknya dan
terpelihara adabnya. Kehadirannya juga diberi petanda awal apabila ibunya bermimpi melihat sebutir bintang
keluar dari perutnya terus naik ke langit. Lalu bintang itu pecah dan jatuh
bertaburan ke bumi. Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh
muka bumi. Hikmah disebalik mimpi itu
sungguh jelas kerana sehingga kini ilmunya masih menerangi umat manusia walaupun
susuk tubuhnya telah tiada.
Insan istimewa yang
diberikan kelebihan oleh Allah untuk menghafaz al-quran ketika berusia 9 tahun,
diberi keizinan untuk mengeluarkan fatwa sendiri ketika berusia 15 tahun
sewaktu mengajar di Masjidil Haram. Bidang ilmu yang dikuasai oleh beliau
terlalu meluas dan mendalam sehinggakan gurunya Imam Malik pernah berkata: “Tidak ada lagi keturunan
Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”. Kata-kata ini cukup bagi
membuktikan kebijaksanaan dan kepandaian beliau dalam menuntut ilmu. Suatu masa dahulu, Imam Syafie mampu
menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail
selama 3 bulan ketika berguru dengan seorang penyair terkenal iaitu Mas’ab bin Zubair. Beliau juga menjadi seorang
pakar dalam ilmu hadith ketika berguru bersama Imam Sufian Ainiah dan diberi
kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar sewaktu ketiadaannya.
Selepas itu Imam
Syafie masih berkelana dalam permusafiran ilmu dengan berguru bersama Imam
Muslim al-Zanji dalam bidang Fiqh.Kepantasannya dalam
menguasai sesuatu ilmu dengan cekap diakui
oleh gurunya dan dia dibenarkan mengajar
serta memberikan fatwa dalam bidang fiqh. Namun Imam Syafie masih merasakan
kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’
yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas. Ilmu peperangan dan bermain senjata
juga turut dipelajari oleh Imam Syafie bersama gurunya Amiruddin yang merupakan
seorang bekas tentera sehingga menjadikan Imam Syafie antara barisan pemanah
yang handal. Imam Syafie juga pernah
mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta
sambil mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali dalam perjalanan semata-mata
untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan
Mufti Kota Madinah. Inilah sebuah permusafiran ilmu yang hebat yang perlu
diambil sebagai panduan bagi mereka yang bergelar tolibul ilmi.
Tanggal 28 Rejab tahun 204 Hijrah, bumi menyaksikan
perginya seorang yang bergelar ‘matahari bagi dunia’ menyahut seruan Ilahi.
Perjuangan ilmu selama 54tahun tidak sia-sia apabila nama beliau menjadi sebutan
dan ilmunya menjadi panduan sehingga ke hari ini. Bertepatan dengan hadith
Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah
segala amalannya kecuali tiga perkara
iaitu sedekah jariah, ilmu yang bemanfaat serta doa anak-anak yang soleh”.
Beliau sudah mempunyai hujah untuk dijawab dihadapan Allah kelak tentang
umurnya yang dihabiskan untuk menuntut ilmu. Bagaimana dengan kita? Sudah
bersedia untuk berhadapan hukuman yang dahsyat atas kelalaian kita dalam memikul amanah selaku penuntut ilmu Allah di
bumi ini, tepuk dada tanya iman.
Kisah ini bukan dicoret semata-mata untuk
memperlihatkan kehebatan orang yang disanjung tinggi oleh dunia dan islam, akan
tetapi ingin membuka mata dan hati tolibul
ilmi akan kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu, kezuhudan beliau dalam berkata dan kesopanan dalam beradab. Kemana hilangnya pewaris Imam Syafie pada abad
ini, sedangkan dunia memerlukan orang seperti mereka. Tidakkah menjadi satu
keaiban bagi seorang penuntut ilmu apabila dia tidak melaksanakan tugasnya
selaku penuntut ilmu kerana dia sedang memakai pakaian
tolibul ilmi yang bukan miliknya.
Bersempena
kedatangan tahun baru hijrah 1434, marilah sama-sama untuk kita memperbaharui
azam,meningkatkan usaha dan merealisasikan cita-cita untuk terus gigih dalam
menggali sebanyak mungkin ilmu Allah s.w.t. Segala-galanya bermula dengan ilmu. Akhirnya dibawakan pesanan Imam Syafie buat
semua tolibul ilmi, katanya : “Sesiapa
yang mempelajari Quran, besar harga dirinya. Siapa yang mempelajari hadis,
tinggi martabatnya.Siapa yang mempelajari bahasa,lembut hatinya.Siapa yang
mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara
dirinya, tidak bererti ilmunya”.
Unit Akademik,
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) Mesir
Sesi 2012/2013