PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, March 29, 2009

Khas Untuk Wanita


Aurat wanita — Dari Firman Allah SWT dan hadis-hadis Nabi SAW


1. Bulu kening — Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) —"Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." An-Nur: 31. Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian — "Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada — "Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. "An-Nur : 31

5. Gigi — "Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya. "Riwayat At-Thabrani, "Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah". Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher — "Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu." Keterangan: Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan — "Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan — "Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya". Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata – "Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya." An Nur : 31. Sabda Nabi SAW, “Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - "Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik." Al Ahzab: 32. Sabda SAW, "Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. " An Nur : 31.

"Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." Riwayat Al Bazzar. "Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian — "Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan: wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu."Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." Al Ahzab : 59.

13. Rambut — "Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." Riwayat Bukhari dan Muslim.


Wednesday, March 11, 2009

PROGRAM INTERAKSI HARMONIS '09'


klik pada iklan untuk melihat lebih jelas.

Sunday, March 1, 2009

Bulan Rabiulawal

TANGGAL 12 Rabiulawal pada tahun Gajah, tarikh kelahiran Nabi Muhammad sollahu a’laihi wassalam yang disambut dengan tasbih dan tahmid memuji kebesaran Allah Subhanahu wataala oleh seisi alam semesta sebagai tanda gembira.

Dalam memperingati hari kelahiran Baginda sollahu a’laihi wassalam, umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira warna kulit dan bangsa turut menyatakan kesyukuran dengan melahirkan kegembiraan tatkala meraikan bulan kelahiran Rasulullah ini.

Di samping meraikan Rabiulawal sebagai bulan kelahiran Rasulullah sollahu a’laihi wassalam, terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku di sepanjang bulan kelahiran Rasulullah sollahu a’laihi wassalam.Peristiwa-peristiwa ini mempunyai nilai lahir kepada umat Islam dalam mengenang sirah perjuangan Nabi Muhammad memancarkan sinar Islam kepada umat manusia. Umat Islam juga dianjurkan melakukan amalan-amalan sunat pada bulan ini.

Terdapat dua pendapat tentang kelahiran Nabi Muhammad. Ulama-ulama Syiah berpandangan bahawa tarikh kelahiran Rasulullah ialah pada 17 Rabiulawal dan sebahagian ulama (Sunnah) menyatakan pada hari Isnin 12 Rabiulawal.

Hari kelahiran Nabi Muhammad adalah hari paling agung kepada umat Islam. Perbezaan pendapat ini bagaimanapun tidak wajar dijadikan pertikaian kerana apa yang lebih penting ialah kelahiran Nabi s.a.w adalah dalam bulan Rabiulawal. Al-Syeikh dalam kitab al-Misbah berpendapat, Rasulullah lahir ketika terbit fajar pada hari Jumaat bulan Rabiulawal dalam tahun Gajah.

Dalam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad sollahu a’laihi wassalam atau lebih dikenali sebagai ‘Maulid Nabi' ini, umat Islam digalakkan berpuasa sunat, berziarah ke makam Baginda dan mengerjakan amalan-amalan mulia serta memperbanyakkan tasbih, tahmid dan selawat.

Peristiwa Rasulullah sollahu a’laihi wassalam dikepung oleh para pengikut Abu Jahal yang merancang untuk membunuh Baginda berlaku pada hari pertama Rabiulawal. Abu Jahal merancang untuk membunuh Rasulullah ekoran tidak bersetuju dengan amalan Islam yang menghalang penyembahan berhala, sebaliknya hanya kepada Allah subhanahu wataala.

Ketika itu, Saidina Ali bin Abi Talib rela berkorban mempertahankan Rasulullah daripada rancangan jahat puak kafir tersebut dengan menawarkan dirinya untuk berada di tempat tidur Baginda demi keselamatannya.

Tindakan Saidina Ali itu menggambarkan betapa luhurnya rasa kecintaan seorang sahabat Rasulullah terhadap Baginda sehingga sanggup berkorban untuknya.

Justeru, umat Islam disunatkan untuk berpuasa sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, Rasulullah dan Saidina Ali selamat daripada rancangan jahat puak musyrikin Quraisy.

Mengikut sesetengah pendapat, umat Islam digalakkan menziarahi makam Baginda sollahu a’lihi wassalam, memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah.

Amalan bersedekah pula merupakan amalan yang paling digalakkan di dalam Islam. Ia tidak ditetapkan waktu sebaliknya ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Rasulullah sollahu a’laihi wassalam bernikah dengan Siti Khadijah binti Khuwailid pada hari ke sepuluh bulan ini. Dan pada bulan yang sama pada tahun Gajah, bapa saudara Rasulullah iaitu Abdul Mutalib meninggal dunia.

Setelah Rasulullah keluar daripada Jabal Thur, Baginda menuju Madinah setelah mendapat perintah Allah subhanahu wataala untuk melakukan hijrah yang pertama.

Ahli sejarah Islam berpendapat, Baginda tiba di Quba pada 12 Rabiulawal sebelum menetap di sana selama empat hari. Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah pada 16 Rabiulawal dan singgah di Wadi Ranuna' atau Wadi Slim.

Di sinilah Rasulullah sollahu a’laihi wassalam menunaikan solat Jumaat pertama di Madinah bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu. Oleh demikian, sebuah masjid bernama Masjid Al-Jumaah telah dibina bersempena dengan peristiwa tersebut.

Hasbi Ash Shiddiqi dalam pengantar Tafsir Al-Bayan menyatakan, ayat Nubuwwah yang menyatakan Nabi Muhammad di angkat sebagai Nabi turun pada bulan Rabiulawal. Di dalam kitab ini dinyatakan bahawa wahyu Allah yang pertama ialah surah Al-Alaq dan diikuti surah al-Mudattsir.

Sementara itu, Jabir dan Ibnu Abbas berpendapat, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad sollahu a’laihi wassalam berlaku pada hari Isnin 12 Rabiulawal, tiga tahun sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Sesungguhnya, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rabiulawal mengandungi nilai yang amat tinggi dalam perkembangan Islam. Perjuangan Rasulullah sollahu a’alihi wassalam menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelosok alam tidak berlaku dalam masa yang singkat.

Sebagaimana sabda Rasullulah sollahu a’laihi wassalam : Barang siapa yang berselawat keatasku satu selawat, maka Allah akan berselawat keatasnya 10 selawat..( Riwayat Ahmad , ibnu Habban dan Hakim )

Jadi marilah kita sentiasa berselawat ke atas Rasullulah sollahu a’laihi wassalam..