PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Showing posts with label secangkir tinta. Show all posts
Showing posts with label secangkir tinta. Show all posts

Tuesday, July 31, 2012

SECANGKIR TINTA: MENGHAYATI KEBERADAAN RAMADAN

Setahun berlalu, kini Ramadan menjelma lagi. Kedatangan bulan yang penuh keberkatan disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam. Setiap insan mula menambahkan amal kebaikan; bersedekah, mengedarkan makanan untuk berbuka dan pelbagai lagi amalan demi meraih ganjaran yang Allah janjikan kepada hambaNya. 

(كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به)

“Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukku, dan Akulah yang akan menilainya”

Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya. Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada hari akhirat kelak. Ibadat puasa juga mentarbiah diri dengan sifat ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri manusia disisi Allah. 



Jika disoroti catatan sirah, pelbagai peristiwa agung berlaku di bulan ini. Penurunan al Quran, peristiwa Badar dan Fathu Makkah semuanya menjurus ke arah  hikmat Ramadan yang tinggi nilainya kepada seluruh alam. Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga membuahkan taqwa dan mendahulukan  perintah Allah mengatasi kepentingan diri. Begitulah makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana Allah dengan ikhlas.

Allah menawarkan ganjaran khusus bagi orang yang berpuasa dengan sempurna melalui sabda nabi Muhammad S.A.W:

للصائم فرحتان فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه) )

“Ada dua kegembiraan yang dikurniakan untuk orang yang berpuasa; Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya

Tidaklah manusia beribadat melainkan untuk mendapat keredhaan Allah. Lantas, tawaran yang diberikan menguatkan lagi keazaman untuk taqarrub padaNya. 

Di bulan ini juga terdapatnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, tidak akan dapat dicari pada bulan selainnya. Tatkala Ramadan bakal melabuhkan tirainya, maka Allah menghadirkan tawaran ini agar detik yang kian berakhir menjadi saat berharga buat pendamba cintaNya. Firman Allah Taala:

((ليلة القدر خير من ألف شهر))

“Malam Qadar; malam  yang lebih baik dari seribu bulan”- Al Qadr; 3

Setiap yang hadir pasti akan pergi. Justeru, biarlah hadirnya Ramadan dimanfaatkan sebaiknya agar tidak ditangisi tatkala kita tidak berpeluang bertemu Ramadan seterusnya. Berlalunya Ramadan dengan seribu kesyukuran atas nikmat bersua dengannya, bukan dengan penuh penyesalan.

"تنوير المتقين بتكميل الصائمين"

Disediakan oleh:

Siti Aminah Ismail,
Unit Informasi dan Penerbitan,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.



Tuesday, May 22, 2012

SECANGKIR TINTA: BAHAGIA BERSAMA REJAB



Menggapai darjat tertinggi adalah matlamat seseorang yang bergelar hamba. Allah SWT telah memerintah seluruh hambanya melaksanakan kewajipan yang telah termaktub dalam al-Quran samaada ibadah umum mahupun ibadah khusus.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Rejab adalah bulan Allah. Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku.”

Untaian kalam Baginda SAW mengatakan Rejab adalah bulan Allah bermaksud Rejab merupakan bulan kemuliaan dan kebesaran bulan tersebut. Ini kerana pelbagai peristiwa telah tercatit sebagai sirah Islam antaranya pengharaman peperangan hijrah pertama ke Habsyah (Ethiopia) Ghazwah Tabuk kelahiran Imam Syafie RA dan pembebasan al-Quds.

Bahagia bersama Rejab bukan dilihat pada kesungguhan kita meneliti fadhilat serta keistimewaan Rejab sahaja malah kebahagiaan yang dituntut adalah dengan mengisi kebahagiaan itu dengan ibadah-ibadah serta melaksanakan aktiviti-aktiviti dalam ruangan mendekatkan diri kepada Rabbul ‘Izzati.

Umat Islam modenisasi ini perlu memperingati bulan mulia ini bersempena peristiwa agung iaitu Isra’ Mikraj. Perjalanan unik Nabi SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT untuk mengambil kewajipan Solat Fardhu lima waktu. 

Monday, April 16, 2012

SECANGKIR TINTA : IMTIHAN MENYINGSING KEMBALI

Bismillahirrahmanirrahim, segala puji bagi Allah, pencipta alam semesta yang layak disembah, yang memberikan kita nafas dalam nikmat terbesar iaitu iman dan Islam. Selawat dan salam dihamparkan ke atas nabi Muhammad s.a.w junjungan tercinta , agar syafaatnya diperolehi dan mengiringi kita di hari akhirat kelak insyaAllah, buat keluarga baginda serta sahabat yang setia mendokongi risalah nabawiah.

Sekelip masa berlalu, sedar tak sedar kita sudah tiba ke fasa  yang mendebarkan bagi kita selaku penuntut ilmu di bumi anbiaya’ ini. Fasa  imtihan kembali lagi.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran,” (Surah Al-Asr:1-3)

Ayatnya pendek dan mudah dihafal namun sukar dipraktikkan oleh kita selaku hamba-Nya. Jika tersilap langkah maka akan binasalah kita. Sebagai mahasiswa Islam kita perlu bijak dalam pengurusan masa agar dapat menyeimbangkan tanggungjawab sebagai hamba Allah Ta`ala dan tanggungjawab sesama manusia agar  tidak terabai.



Tanggungjawab kita selaku mahasiswa Islam bukan hanya berlegar sebagai pelajar sahaja, namun jangan kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba allah, anak, sahabat , da’ie dan sebagainya. Masalah inilah yang berlaku bila tiba sahaja musim imtihan, kita sering sahaja lupa dan mengabaikan tanggungjawab lain disebabkan terlalu ghairah dalam membuat persediaan imtihan hingga berlaku perselisihan faham antara kita dan sahabat kerana tidak melunaskan amanah sebagai ahli rumah. Contohnya tidak memasak mengikut jadual yang ditetapkan. Oleh itu, akan sia-sialah usaha kita bersengkang mata membaca buku tapi masih banyak lagi amanah lain yang kita abaikan yang boleh menyebabkan hubungan kita sesama manusia terjejas. Maka dimanakah redha Allah ketika itu?



Perlu kita sedari bahawa imtihan merupakan wasilah bagi kita untuk mencapai kejayaan dan dengan kejayaan itulah medium kita untuk menyebarkan dakwah Islam. Pastinya matlamat utama kita adalah untuk melihat agama Islam terus mekar dan seluruh penduduk bumi hidup berlandaskan syariat islam demi mencapai kejayaan di akhirat nanti. Oleh itu, adakah kejayaan tanpa redha Allah itu yang kita harapkan?. Pastinya tidak. Kejayaan yang hakiki pastinya bila mana kita dapat menyeimbangkan dunia dan akhirat tanpa mengabaikan hubungan dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-‘Imran ayat 112 yang bermaksud:

“ Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia ”.

Semoga dengan kehadiran fasa imtihan ini menjadikan kita mahasiswa Islam yang lebih matang berfikir dan dengan imtihan yang bakal ditempuhi akan menghasilkan kecemerlangan dalam keputusan nanti, dan yang lebih utama cemerlang dari sudut akhlak dan rohani supaya menjadi bekal bagi mencapai kejayaan di akhirat kelak. Amin.

Salam imtihan....


Nur Farhana Hanafi
Bendahari
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluar Penuntut-penuntut Terengganu
Sesi 2011/2012

Thursday, March 15, 2012

SECANGKIR TINTA : THAQAFAH PEMANGKIN GENERASI BERTAQWA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah, rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga kita panjatkan kepadaNya yang telah memberikan kita nafas dan membolehkan kita hidup ditambah dengan kehidupan berlandaskan Iman dan Islam. Selawat dan salam bagi junjungan besar; Muhammad sollallohu ‘alaihi wasallam yang begitu komited mengerjakan usaha-usaha dakwah serta bersusah-payah mengeluarkan umat dari kegelapan kepada sinar cahaya.

Menelusuri sirah Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam, bagaimana beliau bersungguh-sungguh dengan kudrat yang ada, menegakkan Islam walau di sana terdapat pelbagai ancaman dan kekangan, tidak kurang siksaan dan kesakitan yang dilakukan pihak musuh. Namun, dengan kesedaran dan semangat yang tinggi yang ada dalam diri, baginda tidak berputus asa untuk meneruskan kerja-kerja Islam dalam menyampaikan risalah Islam. Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam seorang yang cekal dan tabah, maka wajarlah kita menjadikan baginda sebagai qudwah.


Apa pula tugas kita? Sekadar berpeluk tubuh, dan melihat pada suatu waktu akan datang, Islam itu tertegak di muka bumi ini dengan sendiri? Tidak, kita seharusnya menyambung perjuangan suci baginda Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam ini! Kita harus berperanan dalam menyampaikan Islam, di posisi mana pun kita berada.

Cari ilmu sebanyak mana yang kita mampu. Tambahlah thaqafah tanpa mengira waktu. Kerana apa yang kita ada, akan menjadi nilai tambah dalam kita menyampai dan menyebar Islam kepada masyarakat. Hak milik kita adalah : apa yang kita miliki untuk berbagi, bukan yang disimpan untuk diri sendiri.


Bersempena dengan pembukaan fasa kedua pembelajaran, marilah kita memanfaatkan waktu yang ada dengan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Tidak terhad kepada kelas-kelas di universiti sahaja, malah kelas-kelas tambahan di luar juga perlu bagi meningkatkan mutu dan kualiti ilmu.
Ingat kembali amanah dan tanggungjawab kita di Mesir ini sebagai mahasiswa. Berlumba-lumbalah menghadiri kuliah, menadah curahan ilmu dari guru-guru, dan di dalam pembelajaran itu terdapat banyak keberkatan.

Selagi mampu berdiri, selagi mampu berlari, burulah cita-cita, genggam erat dan sematkan di dada. Semoga kitalah pewaris perjuangan nabi.

قال الله تعالى : { يَرْفَعِ اللهُ الذِّينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ وَالذِّينَ أُوتُواْ العِلْمَ دَرَجَاتٍ }
 [المجادلة، 58 : 11]

Beruntunglah penuntut ilmu kerana Allah meninggikan mereka beberapa darjat. Maka, ruang dan peluang yang ada tidak sepatutnya disia-siakan. Teruskanlah menerima, supaya kita punya sesuatu untuk memberi dan berbagi kepada masyarakat yang sangat berharap dan percaya dengan kelebihan ilmu yang kita ada.

Salam Mujahadah dan Istiqamah buat seluruh warga Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir. Semoga Allah memberkati usaha dan kesungguhan dalam menuntut ilmuNya.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

“BERILMU DAN BERAMAL”

Disediakan Oleh :-

NAUFAL BINTI KAMARUDDIN
Setiausaha,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.