PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Showing posts with label Unit Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Unit Dakwah. Show all posts

Saturday, August 11, 2012

KEMBARA RABITHAH ABBASIAH- IFTOR JAMA’IE PENGERAT UKHWAH



ABBASIAH, 8 Ogos 2012-  Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir di bawah seliaan Unit Dakwah telah menziarahi pelajar perubatan Terengganu yang menetap di Abbasiah. 

Rombongan diketuai oleh Saudari Nuraini binti Abdullah; Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir dan empat orang pimpinan HEWI lain. Turut menyertai rombongan ialah Penasihat HEWI KPT Mesir; Saudari Tengku Fathimah Tengku Hashim. 

Program “Kembara Rabithah” ini bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhwah yang terbina dalam kalangan pimpinan dan para ahli.

Ketika waktu menginjak 6.30 petang, rombongan mula menjejak kediaman mereka. Kedatangan disambut mesra oleh tuan rumah. Sambil menanti azan, rombongan dan tuan rumah saling bertukar juadah iftor dan bertanya khabar.

Walaupun hanya  empat orang ahli perubatan berbaki di Abbasiah, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mengharungi bulan Ramadan di bumi anbiya’.

Setelah menunaikan solat Maghrib, masing- masing mula menikmati juadah yang tersedia.

Masjid an-Nur


Usai solat Isyak, rombongan mula bertolak pulang. Semoga ziarah ini akan merapatkan lagi ukhwah yang terjalin selama ini. Jutaan terima kasih diucapkan atas kesudian menerima kunjungan.

Friday, August 10, 2012

CARTA ORGANISASI UNIT DAKWAH HEWI KPT


Saturday, July 21, 2012

رمضان في قلوبنا


20 JULAI, KAHERAH- Pihak Hal Ehwal Wanita Islam di bawah seliaan Unit Dakwah telah mengadakan Kuliah Sayyidul Ayyam. Bersempena kedatangan bulan mulia, kuliah berkisar mengenai cara untuk menghayati kehadiran Ramadan dan diserapkan dalam kehidupan seharian.



Bertempat di Dewan Darul Iman, para hadirin dihidangkan dengan penerangan mengenai adab-adab dalam berpuasa oleh saudari Nur Hamizah binti Puteh. Antara adab-adab yang ditekankan ialah;
  
            1)Menjaga penglihatan dari melihat maksiat
       2) Menjaga lidah dari mengumpat dan menyebut perkara keji 
           3)Menjaga telinga dari mendengar sebarang umpatan dan cacian
      4) Menjaga segala anggota badan seperti kaki dan tangan
      5) Tidak makan berlebihan semasa berbuka kerana tujuan berpuasa ialah menahan nafsu      
      6)Perlu ada rasa takut selepas berpuasa sama ada puasa itu diterima atau ditolak dan berharap agar Allah menerimanya

Semoga dengan pengisian yang diberikan dapat dijadikan bekalan dalam menelusuri bulan tarbiah ini.

Monday, March 26, 2012

Kuliah Sayyidul Ayyam SIRI III : بين يدي الفتيات

KAHERAH, 23 MAC – Unit Dakwah Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu (KPT) Mesir  telah berjaya mengadakan Kuliah Sayyidul Ayyam Siri 3. Bertempat di Dewan Darul Iman, kuliah kali ini telah disampaikan oleh Puan Dayang Siti Noraini binti Awang Damit Yahya.

Memulakan kalam, Puan Dayang Siti Noraini yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ani mengupas tafsiran ayat 13 surah al-Kahfi  yang berkisar mengenai pemuda pemudi yang beriman kepada Allah. Beliau selanjutnya menyeru kepada semua supaya mengambil ibrah dari kisah para pejuang yang majoritinya merupakan golongan syabab dan fatayat.

Selain menyentuh tajuk kuliah, beliau turut menekankan keterlibatan ahli HEWI KPT dalam usaha memastikan agenda dakwah berjaya digerakkan oleh semua peringkat. Keseimbangan antara persatuan dan ilmu merupakan aspek yang perlu dihadam sepenuhnya.

Fikrah yang jelas dan kefahaman yang jitu masih belum cukup untuk seorang pejuang, bahkan individu tersebut mestilah sedia ditarbiah dan diprogramkan ,” katanya.


Di samping itu,  Kak Ani turut menaqalkan lima perkara yang membawa kepada kecemerlangan insan sebagaimana yang disebutkan oleh Syed Hawwa;

1)    1)  Akhlak
2)    2)Tsaqafah
3)    3)  Tanzim
4)    4)Takhtit (Perancangan)
5)    5)  Tanfiz (Pelaksanaan)

Kuliah yang padat dengan sorotan sirah dan fikrah juga kupasan isu semasa serta diselang selikan dengan lawak bersahaja tersebut mampu  menarik minat hadirin untuk terus mengikuti kuliah hingga ke penghujungnya.

Pihak KPT mengharapkan agar semua ahli dapat mengutip segala mutiara ilmu yang disampaikan dan diaplikasikan dalam menelusuri episod kehidupan ini.

Saturday, March 3, 2012

“Meniti Sirah Rabiul Akhir”


2 Mac 2012,  KAHERAH – Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir sesi 2011/2012 di bawah seliaan Unit Dakwah  Hal Ehwal Wanita Islam telah mengadakan ‘Kuliah Sayyidul Ayyam’ bertempat di Surau Darul Iman, Hayyu ‘Asyir.
Bertemakan “Meniti Sirah Rabiul Akhir”, kuliah disampaikan oleh Norhashima binti Majid; Unit Kebajikan & Kemanusiaan HEWI PMRAM  2011.

Beliau menyentuh terlebih dahulu peristiwa- peristiwa yang terkandung di dalam bulan Rabiul Awal yang menjadi kesinambungan terhadap lakaran sejarah di bulan Rabiul Akhir.
Kelahiran Rasulullah S.A.W. , hijrah baginda dari Mekah ke Madinah, serta kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. merupakan antara peristiwa terbesar yang terpahat di dada sejarah Islam. 
 “Usah sibuk mencari idola mana yang patut dicontohi, sedangkan di dalam sejarah Islam sendiri sudah ada tokoh yang amat hebat, ” kata beliau sewaktu menceritakan kecekalan Asma’ binti Abu Bakar yang sanggup mendaki ke Gua Thur untuk memberi makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar.

Seterusnya, turut diceritakan kisah yang berlaku di bulan Rabiul Akhir. Antaranya ialah Perang Hittin yang membolehkan Solahuddin al-Ayyubi menakluk Palestin pada tanggal 1187 M. Selain itu, terjadinya Perang Bani Nadhir yang berpunca dari rasa tidak puas hati di kalangan mereka.
Beliau menyeru kepada hadirin agar sama- sama mengkaji dan menyelusuri sejarah kerana ia dapat dijadikan panduan untuk kita menghadapi hari mendatang.

Wednesday, December 28, 2011

KEMBARA RABITHAH SIRI 1: MENJEJAKI AHLI DI ARMA


KAHERAH, 28 DIS – Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir terus konsisten menjalankan agenda dakwah dengan meneruskan lagi  misi menziarah ahli. Kali ini, wakil HEWI turun padang mengunjungi ahli yang menetap di luar Kompleks Darul Iman. Program gemilang ini dinamakan “Kembara Rabithah” berobjektifkan dakwah dan ukhwah disamping menerapkan rasa ‘KPT milik semua’.

Kembara sulung ini memilih lokasi Asrama Rumah Melayu Abbasiyah (ARMA) sebagai Kembara Rabithah Siri 1. Kediaman yang dituju adalah kediaman Mandubah KPT di sana; saudari Syifa’ Hanani Mohd Shukri.
Rombongan ini diketuai Raisah KPT Mesir;  saudari Nuraini Abdullah, Ketua Unit Dakwah; saudari Mardhiah Nordin dan Ketua Unit Perumahan merangkap HEWI Angkat ARMA; saudari Siti Ruqayyah Ahmad.

Monday, December 26, 2011

Majlis Pelancaran KSA & Tautan Raudhah: Jalin Ukhwah, Tambah Thaqafah

KAHERAH, 23 Dis – Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI ) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir  sentiasa optimis dalam memastikan kredibiliti mahasiswi Islam dipertingkatkan. Justeru, satu Majlis Pelancaran Kuliah Sayyidul Ayyam dan Tautan Raudhah telah berjaya diadakan sempena Muzakarah Berkelompok Gabungan minggu ini.

Majlis yang penuh seri ini dirasmikan oleh Saudari Noor Akmaizan Yusof; Hewi Angkat PMRAM Cawangan Terengganu di Dewan Darul Iman, seawal jam 9 pagi.

Sunday, December 18, 2011

ZIARAH MAQAM SEKITAR KAHERAH; MENYELUSURI KEMULIAAN AULIYA’


KAHERAH, 16 DISEMBER – Unit Sambutan dan Rehlah dengan kerjasama Unit Dakwah Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah berjaya menganjurkan ziarah maqam sekitar Kaherah.



Seramai 51 ahli melibatkan diri bagi bersama-sama menyelami dan mengenali dengan lebih dekat para ulama’ yang banyak memberi sumbangan besar terhadap dakwah Islam di pelusuk bumi Mesir. Bertolak jam 8 pagi, ziarah maqam kali ini berjaya menjejak 22 maqam wali-wali Allah.



Di samping itu, ahli turut diberi penerangan oleh Ketua Musyrif; Ustaz Abdul Mannan Jusoh berkisar mengenai maqam yang dilawati.

Antara maqam yang diziarahi ialah :

1.       Syeikh Soleh Jaafari
2.       Syeikh Abu Muhammad Abdullah Jamaluddin ibnu Hisham Alkanasi
3.       Sidi Ali Khawwas
4.       Saidina Hussein
5.       Syeikh Abdul Wahhab As-Sya’rani
6.       Syeikh Syihabuddin Ar-Romli
7.       Sultan Hanafi
8.       Sidi Abdul Rahman
9.       Sayyidah Zainab
10.   Sayyidah Sukainah
11.   Sayyidah Ruqayyah
12.   Sidi Ali Al-Ja’fari
13.   Sayyidah Atiqah
14.   Sayyidah Nafisah
15.   Imam Syafie
16.   Syeikh Zakaria Al-Ansori
17.   Wali Soghir
18.   Syeikh Taqiuddin Muhammad bin Ali
19.   Ibnu Ata’illah As-Sakandari
20.   Syeikh Abdullah ibnu Hamzah
21.   Sidi Muhammad Ibnu Sayyid An-Nas
22.   Mihrab Sayyidah Nafisah


Ziarah Maqam Auliya’ berakhir sekitar jam 6.50 malam. Semoga dapat mengambil ibrah dan manfaat
dari program ziarah yang diadakan.



Saturday, October 29, 2011

PERASMIAN MUZAKARAH BERKELOMPOK 2011/2012

KAHERAH, 28 OKTOBER - Muzakarah Berkelompok Gabungan telah berlangsung dengan jayanya. Bertempat di Dewan Darul Iman, majlis turut dihadiri HEWI Angkat Terengganu; Saudari Noor Akmaizan Yusof.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau yang juga merupakan HEWI PMRAM ada menyentuh  berkenaan kepentingan usrah dan ukhwah yang menjadi tunjang kekuatan kesatuan dan persatuan.

Seterusnya diadakan forum sempena pembukaan Muzakarah Berkelompok bersama ahli panel Saudari Nurul Huda Mamat dan Saudari Fatimah Salwani Abdullah. Bertemakan “Ukhwah Dibina, Kesatuan Terjaga”, mereka mengupas berkenaan makna ukhwah itu sendiri, permasalahan yang menyebabkan sukarnya berukhwah serta penyelesaian terhadap masalah tersebut.

Berakhirnya forum, majlis diteruskan dengan pembahagian cenderahati terhadap para fasilitator sesi lepas yang telah banyak menyumbangkan tenaga bagi memacu muzakarah berkelompok ke arah yang lebih baik.
Selain itu, turut diumumkan kumpulan usrah yang baru oleh Pemangku Unit Dakwah; Saudari Naufal Kamaruddin.

Semoga muzakarah berkelompok yang dijalankan mampu melahirkan individu yang lebih berkualiti di masa hadapan. 

Saturday, July 30, 2011

LIQO' GABUNGAN MAHABBAH PENERUS MEDAN TARBIYAH

KAHERAH, 29 JULAI - Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-Penunut Terengganu (KPT) Mesir, sekali lagi telah berjaya mengadakan satu program iaitu Liqo’ Gabungan Mahabbah 2011 dibawah seliaan Unit Dakwah. Program ini diadakan bertujuan meneruskan kembali muzakarah berkelompok yang ditangguhkan sehingga berakhirnya peperiksaan fasa kedua. Antara objektif program ini diadakan adalah untuk menguatkan ukhuwwah antara ahli disamping menambah dan menjana thaqafah ahli.

Program bermula pada jam 8.00 pagi dan dirasmikan oleh Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir 2010/2011; Saudari Tengku Fathimah Tengku Hashim yang dalam ucapannya menegaskan supaya ahli sentiasa komited dengan muzakarah berkelompok dan menekankan 6 aspek dalam berdakwah iaitu dakwah ‘ammah, dakwah fardi, dakwah billisan, dakwah bi tadwin, dakwah bil hikmah, dakwah bil hal.

Program diteruskan dengan pengisian berbentuk thaqafah iaitu diskusi kitab kecil yang bertajuk “Qimatul Wakti”, yang disampaikan oleh Ketua Unit Akademik HEWI KPT Mesir 2010/2011; Saudari Mardhiah Nordin sekaligus mengisi slot Kuliah Jumaat. Menurut beliau, mahasiswi perlulah mengambil berat soal masa dan mengutamakan fiqh aulawiyat dalam melaksanakan segala gerak kerja dalam semua bidang serta bijak membahagikan masa dalam merancang jadual harian. Ahli kemudiannya dipertontonkan tayangan video serta slideshow yang disediakan.


Satu aktiviti santai turut diselitkan di dalam tentatif program tersebut yang objektifnya menguji dan mengasah minda ahli; permainan regu yang sangat mencabar dan kecekapan serta memberi kesan baik terhadap hubungan silaturrahim sesama ahli. Sebelum berakhir program, ahli dihiburkan dengan persembahan nasyid dari Kumpulan Insyirah; pasukan nasyid khas di bawah bimbingan Unit Kebudayaan, Keseniaan dan Kemasyarakatan HEWI KPT Mesir.

Program berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari dengan bacaan doa wahdah yang dipimpin oleh wakil ahli HEWI KPT; Saudari Nasuha Husna Mohd Nordin dan bacaan doa rabitah oleh wakil AJK HEWI KPT 2010/2011; Saudari Nuraini Abdullah. Sebelum bersurai peserta dihidangkan dengan jamuan ringan dan usainya, bersama beramai-ramai bergotong- royong membersihkan maktabah dan kawasan sekitarnya sebagai persediaan menyambut Ramadhan yang bakal kunjung tiba tidak beberapa lama lagi.

Wednesday, July 27, 2011

KULIAH JUMAAT : AKADEMI DAI'E MAHASISWI

KAHERAH, 22 Julai – Unit Dakwah HEWI KPT Mesir telah mengadakan satu program khusus bagi mahasiswi PMRAM cawangan Terengganu yang dinamakan Kuliah Jumaat dan insyaAllah akan berterusan setiap minggu pada hari jumaat. Kuliah yang bermula pada 7.oo pagi ini akan dibentangkan oleh barisan kepimpinan Hewi KPT Mesir secara bergilir pada setiap hari Jumaat berdasarkan kutaib yang dipilih oleh pembentang sendiri.


Program ini dilihat sebagai satu akademi dai'e bagi para mahasiswi bagi melatih dan melahirkan tenaga pengajar yang lebih ramai dari kalangan akhowat di samping memberi peluang kepada mereka menyampaikan ilmu yang telah dipelajari. Program ini juga diadakan bertujuan untuk manambahkan thaqafah ahli PMRAM cawangan Terengganu khususnya.


Kuliah Jumaat kali pertama dimulakan dengan pembentangan kutaib yang bertajuk Ukhuwah dan Berlapang Dada siri khutbah Ustaz Amru Khalid yang dibentangkan oleh Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir, Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim.


Dalam kitab tersebut menceritakan tentang ukhuwah pada zaman Nabi Muhammad Sollallahu’alaihi wasallam yang boleh dilihat pada kaum Muhajirin dan Ansar yang sanggup mengorbankan harta benda untuk saudara seislam menunjukkan ukhwah mereka yang begitu tinggi. Pada akhir pembentangan beliau mengingatkan semua ahli PMRAM cawangan Terengganu khususnya untuk menjaga dan memantapkan ukhwah sesama ahli mahupun pimpinan.

Thursday, November 18, 2010

Kembara Rabitah Eratkan Ukhuwah

ABBASIAH, 14 November – Bagi menyahut dan menjayakan salah satu pembawakan yang telah ditekankan oleh Unit Biah Solehah PMRAM iaitu Tautan Ukhuwah, HEWI KPT di bawah Unit Dakwah telah menganjurkan satu program bagi mengeratkan hubungan silaturrahim ahli iaitu ‘Kembara Rabitah’. Program ini bertujuan untuk membawa ahli yang berada di Kompleks Darul Iman untuk menziarahi ahli yang berada di rumah sewa sekitar Kaherah. Antara objektif program adalah untuk mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan ahli serta memupuk biah solehah dalam diri mereka. Rumah pertama yang berjaya dijejaki oleh rombongan Kembara Rabitah ialah ke rumah ahli perubatan Universiti Ain Syams yang tinggal di sekitar Abbasiah. Rombongan tersebut disertai oleh 16 orang ahli telah bertolak ke sana pada jam 1.15 petang. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit itu selamat tiba jam 2.00 petang dan disambut baik oleh ahli perubatan yang berada di sana. Mereka telah berkumpul di sebuah rumah ahli untuk mengadakan perjumpaan dan menjayakan objektif program ini. Majlis yang dipengerusikan oleh tuan rumah tersebut, Doktor Nurul Farhana Ismail itu dimulakan dengan sesi taa’ruf ahli KPT bagi memperkenalkan ahli KPT. Naib Pengerusi HEWI, Ustazah Tengku Fathimah binti Tengku Hashim juga tidak ketinggalan memperkenalkan saf kepimpinan HEWI KPT sesi 2010/2011 serta menerangkan serba sedikit bidang tugas setiap unit HEWI. Seterusnya, majlis telah membuka peluang kepada ahli untuk mengutarakan sebarang cadangan atau permasalahan yang dihadapi. Sebelum majlis berakhir, Naib Pengerusi HEWI KPT telah menyampaikan sedikit cenderahati kenang-kenangan daripada saf kepimpinan HEWI KPT kepada tuan rumah di atas sambutan baik terhadap kunjungan rombongan tersebut. Majlis berakhir jam 4.00 petang dengan sedikit jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Pihak HEWI KPT merakamkan jutaan penghargaan di atas segala komitmen yang diberikan.

Monday, August 16, 2010

Iftor Mahabbah


Jawatakuasa Ihya' Ramadhan di bawah kelolaan Unit Dakwah HEWI KPT menganjurkan iftor jama'ie mengikut paras di bangunan sebelah akhawat pada tarikh-tarikh berikut seperti di iklan. Setiap rumah perlu menyediakan juadah berbuka dan membawanya bersama pada hari dan tempat berbuka yang telah ditetapkan. Semua ahli HEWI yang berkelapangan bolehlah memeriahkan lagi program iftor ini.

Friday, April 23, 2010

Liqa' Fuad Berlangsung Meriah

Unit Dakwah HEWI KPT sekali lagi berjaya menganjurkan liqa' gabungan di Hadiqah Athfal pada Jumaat, 23 April 2010. Kehadiran ahli yang memberangsangkan memeriahkan lagi acara yang telah diatur seperti akademi da'ie, perbahasan dan lain-lain.


Seawal jam 7 pagi, ahli HEWI mula berkumpul di hadapan asrama dengan barang taklifan masing-masing yang telah diamanahkan. Bertolak sekitar jam 8 pagi dan dibenarkan masuk ke kawasan taman lebih kurang jam 9.30 pagi. Sementara jawatankuasa pelaksana menyiapkan tempat, para peserta diberi masa untuk bersarapan selama 30 minit sebelum bersiap-sedia untuk acara-acara yang disusun.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, Ustazah Intan Mastura Adam. Diikuti ucapan naib pengerusi HEWI KPT, Ustazah Nadiah Remli, seterusnya Ustazah Umi Masmira Mat Ali selaku Ketua Naqibah, dan ucapan Ketua Unit Dakwah HEWI KPT, Ustazah Nursyazwani Jusoh. Majlis diteruskan dengan acara pertama, akademi da'ie yang diwakili oleh 3 orang peserta dari kumpulan yang berbeza untuk memberi tazkirah kepada sidang hadirin. Kemudian, acara perbahasan dari kumpulan liqa' yang digabung menjadi 5 kumpulan sahaja, membahaskan tentang penekanan biah solehah yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Majlis kemudian diserikan dengan sukaneka yang menggunakan konsep 3 dalam 1, iaitu menggunakan belon, bola dan kain batik. Acara seterusnya pula ialah telefon buruk, di mana para peserta dibahagikan 8 kumpulan dan menyampaikan mesej yang diberikan kepada orang pertama dengan melihat hasilnya pada orang terakhir.

Acara terakhir, bertukar-tukar hadiah adalah acara yang paling ditunggu-tunggu. Setiap individu mestilah saling berhubung, mengambil berat dan bertanya khabar kepada orang yang meberi dan diberi hadiahnya, dengan tujuan mengukuhkan lagi persaudaraan dan membuang sikap mementingkan diri, disamping menghidupkan biah solehah dalam kehidupan seharian.


Majlis berakhir dengan bergambar kenangan beramai-ramai dan bersurai sekitar jam 1 petang. Sekalung terima kasih Saf HEWI ucapkan kepada seluruh yang hadir menjayakan program Liqo' Fuad ini secara langsung atau tidak langsung, jawatankuasa pelaksana program, musyrif, madam, serta seluruh ahli yang turun padang. Moga program ini mencapai objektif yang digariskan.

Thursday, March 25, 2010

Gempak Mujahidah Berlangsung Meriah

Buat julung-julung kalinya, HEWI KPT menganjurkan Gempak Mujahidah di bawah kelolaan Unit Dakwah, Unit Akademik, Unit Kebajikan dan Unit Perumahan merangkap Unit Kesenian Kebudayaan dan Kemasyarakatan yang menggabung jalin tenaga dan idea di setiap unit. Program selama 3 hari ini dirasmikan oleh Yang DiPertua Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT), Ustaz Mohd Riduan Bin Abu Bakar. Gempak Mujahidah yang diadakan pada 14,15 dan 16 Mac ini bertujuan membina mahasiswi berpengetahuan tinggi disamping menyemai semangat persaudaraan yang kukuh dikalangan ahli bersesuaian dengan tema yang dipilih "Thaqafah Dibina, Cinta Berbunga".


Pelbagai acara, kursus dan program yang diatur sepanjang Gempak Mujahidah ini bagi meraikan seluruh ahli HEWI KPT yang mempunyai pelbagai gaya hidup dan kehendak yang berbeza. Colourful of Islam mendapat sambutan tertinggi oleh ahli lantaran komitmen yang tinggi dari semua pihak menjayakan kemuncak Gempak Mujahidah di malam ketiga sebelum majlis penutup.

Selain itu, Akademi Da'ie juga turut diselitkan dalam Gempak Mujahidah ini dalam usaha melahirkan mahasiswi yang mampu mendepani masyarakat disamping memberi peringatan sesama ahli. Tidak lupa, wakil Unit Hibah dan Biah Solehah PMRAM turut turun padang menjayakan program mega HEWI kali ini. Kursus medical dan hijamah juga berjaya dimasukkan dalam susunan aturcara program.


Pihak HEWI juga turut menjemput pasangan Ustaz Razi Musa dan Ustazah Rusiah Yunus sebagai panelis untuk slot forum bertajuk "Muslimah dan Masyarakat". Slot SOAL HATI pula berlangsung dengan jayanya apabila semua ahli berpeluang memuhasabah antara satu sama lain, membaiki dan terus memajukan diri dalam mendepani kehidupan masa kini yang penuh cabaran.


Permainan catur, ping pong dan ceper juga tidak ketinggalan mengisi tentatif dan mendapat sambutan hebat dari ahli. BBQ pula berlangsung dengan meriah sekali bilamana semua ahli turun padang dan dapat membantu antara satu sama lain, serta merta mencapai objektif yang digariskan iaitu meribat ukhuwah dikalangan ahli.


Gempak Mujahidah berlangsung dengan gilang gemilang dek komitmen padu ahli terhadap KPT. Semoga program sebegini dapat diadakan lagi di masa akan datang supaya ukhuwah di antara kita berkekalan hingga ke akhirnya.

Pihak HEWI KPT merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli yang menjayakan program ini secara langsung dan tidak langsung, terima kasih juga kepada barisan jawatankuasa pelaksana yang bertungkus lumus membantu HEWI KPT menjayakan program. Semoga jasa baik kalian Allah balas setimpalnya. Jazakallahu khairan kathira.