PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Showing posts with label HEWI 11/12. Show all posts
Showing posts with label HEWI 11/12. Show all posts

Tuesday, September 4, 2012

ORGANISASI UNIT AKADEMIK HEWI KPT MESIR


Saturday, August 11, 2012

KEMBARA RABITHAH ABBASIAH- IFTOR JAMA’IE PENGERAT UKHWAH



ABBASIAH, 8 Ogos 2012-  Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir di bawah seliaan Unit Dakwah telah menziarahi pelajar perubatan Terengganu yang menetap di Abbasiah. 

Rombongan diketuai oleh Saudari Nuraini binti Abdullah; Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir dan empat orang pimpinan HEWI lain. Turut menyertai rombongan ialah Penasihat HEWI KPT Mesir; Saudari Tengku Fathimah Tengku Hashim. 

Program “Kembara Rabithah” ini bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhwah yang terbina dalam kalangan pimpinan dan para ahli.

Ketika waktu menginjak 6.30 petang, rombongan mula menjejak kediaman mereka. Kedatangan disambut mesra oleh tuan rumah. Sambil menanti azan, rombongan dan tuan rumah saling bertukar juadah iftor dan bertanya khabar.

Walaupun hanya  empat orang ahli perubatan berbaki di Abbasiah, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mengharungi bulan Ramadan di bumi anbiya’.

Setelah menunaikan solat Maghrib, masing- masing mula menikmati juadah yang tersedia.

Masjid an-Nur


Usai solat Isyak, rombongan mula bertolak pulang. Semoga ziarah ini akan merapatkan lagi ukhwah yang terjalin selama ini. Jutaan terima kasih diucapkan atas kesudian menerima kunjungan.

Friday, August 10, 2012

CARTA ORGANISASI UNIT DAKWAH HEWI KPT


Thursday, August 2, 2012

AHLI JAWATANKUASA UNIT EKONOMI HAL EHWAL WANITA ISLAM KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU


Tuesday, July 31, 2012

SECANGKIR TINTA: MENGHAYATI KEBERADAAN RAMADAN

Setahun berlalu, kini Ramadan menjelma lagi. Kedatangan bulan yang penuh keberkatan disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam. Setiap insan mula menambahkan amal kebaikan; bersedekah, mengedarkan makanan untuk berbuka dan pelbagai lagi amalan demi meraih ganjaran yang Allah janjikan kepada hambaNya. 

(كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به)

“Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukku, dan Akulah yang akan menilainya”

Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya. Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada hari akhirat kelak. Ibadat puasa juga mentarbiah diri dengan sifat ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri manusia disisi Allah. 



Jika disoroti catatan sirah, pelbagai peristiwa agung berlaku di bulan ini. Penurunan al Quran, peristiwa Badar dan Fathu Makkah semuanya menjurus ke arah  hikmat Ramadan yang tinggi nilainya kepada seluruh alam. Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga membuahkan taqwa dan mendahulukan  perintah Allah mengatasi kepentingan diri. Begitulah makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana Allah dengan ikhlas.

Allah menawarkan ganjaran khusus bagi orang yang berpuasa dengan sempurna melalui sabda nabi Muhammad S.A.W:

للصائم فرحتان فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه) )

“Ada dua kegembiraan yang dikurniakan untuk orang yang berpuasa; Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya

Tidaklah manusia beribadat melainkan untuk mendapat keredhaan Allah. Lantas, tawaran yang diberikan menguatkan lagi keazaman untuk taqarrub padaNya. 

Di bulan ini juga terdapatnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, tidak akan dapat dicari pada bulan selainnya. Tatkala Ramadan bakal melabuhkan tirainya, maka Allah menghadirkan tawaran ini agar detik yang kian berakhir menjadi saat berharga buat pendamba cintaNya. Firman Allah Taala:

((ليلة القدر خير من ألف شهر))

“Malam Qadar; malam  yang lebih baik dari seribu bulan”- Al Qadr; 3

Setiap yang hadir pasti akan pergi. Justeru, biarlah hadirnya Ramadan dimanfaatkan sebaiknya agar tidak ditangisi tatkala kita tidak berpeluang bertemu Ramadan seterusnya. Berlalunya Ramadan dengan seribu kesyukuran atas nikmat bersua dengannya, bukan dengan penuh penyesalan.

"تنوير المتقين بتكميل الصائمين"

Disediakan oleh:

Siti Aminah Ismail,
Unit Informasi dan Penerbitan,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.



Friday, July 6, 2012

HEWI’S CHAMPIONSHIP BERLANGSUNG MERIAH



5 JULAI, KAHERAH- Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu Mesir di bawah seliaan Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan  telah  menganjurkan Kejohanan Bola  Jaring Piala HEWI 2012. Kejohanan ini telah disertai oleh tiga kumpulan.

Seawal jam 8.00 pagi, para peserta dan penyokong telah bertolak ke Musallas. Program dimulakan dengan ucapan pengarah program; saudari Siti Ruqayyah binti Ahmad dan dirasmikan oleh Naib Pengerusi HEWI; saudari Nuraini binti Abdullah.

Seterusnya, berlangsung perlawanan yang menyaksikan tiga kumpulan saling berentap untuk mengutip mata tertinggi. Suasana bertambah meriah dengan teriakan suara penyokong kumpulan masing- masing. Pelbagai aksi menarik yang dipamerkan pemain.



3 jam berlalu, akhirnya kumpulan C berjaya membuktikan kehebatan mereka apabila menggondol  juara bagi kejohanan ini.

Pihak HEWI KPT mengharapkan agar objektif penganjuran program; untuk mengeratkan lagi ukhwah dalam kalangan ahli KPT tercapai di samping merehatkan diri ahli setelah berjuang menghadapi peperiksaan baru-baru ini.

Sekalung ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan kejohanan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Monday, July 2, 2012

JAULAH SEKITAR KAHERAH


30 JUN, KAHERAH - Unit Sambutan & Rehlah, Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI), Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah berjaya menganjurkan jaulah; melawat tempat-tempat menarik di sekitar Kaherah ini. Jaulah ini telah disertai 26 ahli.

Seawal 7.30 pagi, peserta rombongan mula bergerak menuju destinasi. Tempat pertama adalah Kubu Salahuddin. Tapak pertahanan yang hebat ini menyimpan seribu satu kenangan yang menjadi sejarah ulung kota Mesir. Binaan kubu kukuh di puncak Muqattam, memuatkan Masjid Sultan Nasir Muhammad, National Military Museum,  dan Masjid Muhammad Ali Basha; iras Masjid Biru di Turki. 

Masjid Sultan Muhammad Ali Pasha

Sunday, June 3, 2012

Kawal Suhu Badan di Musim Panas




Musim panas kini kembali menemui sahabat-sahabat khususnya yang berada di Perlembahan Nil ini. Imtihan fasa dua juga mula rancak membuka tirainya.Ramai dikalangan sahabat-sahabat dilanda sakit seperti : demam, batuk, selesema dan lain-lain apabila tibanya musim ini. Berikut merupakan cara bagaimana mengawal dan menyejukkan suhu badan dimusim panas :-

1. Air sebagai senjata

Minum banyak air merupakan cara terbaik untuk menyejukkan badan dimusim panas. Malahan pakar pemakanan dan kesihatan menyarankan agar air diminum sebelum anda mula rasa dahaga. Oleh itu sebaiknya dimusim panas begini anda membawa sebotol air sebagai bekalan setiap kali keluar rumah. Jika dirumah pula, sediakan sebotol air dan letak ditempat yang mudah dilihat agar mudah untuk anda ingat dan minum setiap kali perlu.

2. Ambil buah-buahan dan sayuran yang mengandungi banyak air

Antara buah-buahan yang mengandungi banyak air ialah tembikai cina yang mengandungi 90% air, tembikai susu (honeydew), betik (mengandungi 91% air) dan nenas (84% air).  Kesemua buah-buahan ini adalah buah-buahan tropika yang memang mudah untuk kita dapatkan dan beli dimana-mana.

Bagi sayur-sayuran pula, timun, tomato dan lobak adalah baik untuk menyejukkan badan kerana ia mengandungi lebih dari 90% kandungan air. Anda juga digalakkan mengambil salad sebagai menu dihari panas bagi tujuan menyejukkan badan. Dan yang tidak kurang penting juga sayur-sayuran ini sememangnya bagus untuk diet yang sihat.


3. Minum jus buah-buahan

Bukanlah jus buah-buahan yang sudah ditambah gula/susu tetapi jus buah-buahan asli. Sebaiknya elakkan dari mengambil minuman bergas, beralkohol dan mengandungi gula yang tinggi.

4. Makan yogurt

Selain dari kaya dengan kalsium dan probiotik (untuk usus dan sistem penghadaman) yogurt juga sebenarnya boleh membantu menyejukkan badan anda.

Dan jangan lupa cuaca panas juga boleh menyebabkan anda sakit kepala. Bagi mereka yang ada migrain pula,amat mudah untuk anda terkena serangan di musim ini. Beware!

Akhir kata, jaga kesihatan, jaga keselamatan, pelihara iman.





Disediakan oleh :-
UNIT KEBAJIKAN
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012

Sunday, May 27, 2012

RAHSIA DI SEBALIK DEMAM





Hakikat Demam

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda :


"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air."
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kitab Umdah al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.

Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.

Thursday, April 19, 2012

AURA IMTIHAN



[MONOLOG] Ya Allah, tersentak jantung tatkala mendengar perkhabaran doktor mengatakan imtihan akan diadakan 28.4.2012 ni. Ya Allah, kenapa awal sangat? Kuliah malas nak jejak, buku ada lagi yang tak beli, tutorial pula? Hurm, lagilah! Argh, tension! Rasa seperti nak menangis pun ada. Rasanya semacam ada tong gas jatuh atas kepala. 8 subjek untuk kali ini. Ujian Lisan? Al-Quran belum habis hafaz lagi. Kemudian ujian ulangan untuk subjek yang gagal tahun lepas pula. Aduh, bercabang otak memikirkan solusi masalah ini. Melihat pada cara masalah ini seperti tiada solusi.

Sahabat-sahabat sekalian, adakah anda mengalami suasana seperti sahabat kita di atas? Pasti ramai yang cuak dengan tarikh peperiksaan diawalkan. Tapi adakah tarikh peperiksaan yang harus dipersalahkan? Universiti al-Azhar? pilihanraya? inilah sifat semulajadi manusia suka menyalahkan orang lain. Cuba kita tanya pada diri kita, sebelum ini kemanakah kita menghilangkan diri tatkala kuliah rancak berlangsung? Mari soroti tip di bawah ini :-


TIP-TIP SEBULAN SEBELUM MENGHADAPI PEPERIKSAAN
1)  Bertenang dan jangan cemas.

 Anda perlu bertenang dan jangan cemas. Tiada faedah yang akan diperolehi sekiranya anda cemas keterlaluan. Selepas bertenang, buat penilaian apa tindakan yang akan diambil seterusnya. Rancang tindakan yang akan diambil dan disiplinkan diri untuk mengikut perancangan yang dibuat.

 2) Beri tumpuan lebih terhadap pembelajaran.

Letakkan seluruh tumpuan fikiran anda kepada proses pembelajaran yang anda lakukan. Jangan terlalu memikirkan bahawa anda kesuntukan masa. Hafal perkara yang sepatutnya dihafal seperti biasa dan jangan melengah-lengahkan masa belajar.


Meskipun anda cuba mengenepikan ketakutan dan kegelisahan yang anda alami itu, tetapi lama-kelamaan perasaan itu akan datang semula. Sekiranya hal ini berlaku, cuba alihkan diri anda dari tempat belajar untuk melakukan senaman ringan seperti berdiri sambil menarik dan melepaskan nafas panjang-panjang secara perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian duduk semula dan cuba teruskan pembelajaran anda. Cara ini sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan perasaan anda yang tidak tenteram itu.

Sentiasa melazimi kuliah disaat akhir sebelum imtihan kerana “akhir muhadoroh miftahul imtihan” dan mengambil nota-nota tambahan doktorah serta muqorror dari kawan-kawan arab. Di samping itu juga, mengetahui teknik menjawab soalan yang dikehendaki oleh doktorah juga merupakan perkara penting ketika hendak menjawab soalan peperiksaan.

3) Yakin terhadap kebolehan diri.

Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa “saya boleh” dan tulis besar-besar dan terang dan letakkan di hadapan anda (di tempat anda belajar). Tiap-tiap kali anda melihat kad itu anda yakin bahawa anda boleh berjaya.  Sekiranya anda dapat menanamkan dalam diri anda bahawa anda berkeyakinan penuh boleh melakukan, maka secara spontan anda berusaha bersungguh-sungguh dan mental anda dapat berfikir ke arah kejayaan dan apa-apa yang anda cita-citakan selama ini akan membuahkan kejayaan yang membanggakan.

4) Masa rehat perlu secukupnya.
Semasa belajar anda berasa cepat letih, sama ada dari segi fizikal atau mentalAmbil masa untuk otak anda berehat sepenuhnya.  Anda juga digalakkan bangun dan cuba berjalan-jalan sebentar dan setelah merasakan kelegaan barulah anda menyambung semula pembelajaran anda.

5) Hapuskan tabiat suka tidur.

Sebaiknya para pelajar tidak terlalu melayan keinginan untuk tidur dari belajar. Kurangkan waktu tidur anda demi meraih satu kejayaan. Gunakan lebih banyak masa mengulangkaji pelajaran di samping melakukan latihan-latihan sendiri supaya anda berkeyakinan. Jadualkan masa tidur anda supaya anda tidak terlebih tidur. Sekiranya anda hendak tidur beberapa jam, anda pelu mengunci jam dan letakkan jam loceng berhampiran anda supaya anda terjaga pada waktu yang dikehendaki.

6) Beri tumpuan lebih kepada bab yang penting.

Dalam keadaan sebegini, anda hanya sempat mempelajari bahagian-bahagian yang penting sahaja. Jangan beri tumpuan berlebihan kepada bahagian-bahagian yang kurang penting. Cuba pilih lima atau enam isi penting daripada satu-satu bahagian dan tuliskan isi-isi penting ini di atas kertas dan cuba ingat serta hafalkan. Anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempelajari butir-butir yang kurang penting. Membuat soalan-soalan tahun lepas yang sering keluar sebagai latihan dapat membantu anda menumpukan bahagian yang patut dipelajari terlebih dahulu. Cuba pilih soalan-soalan yang mesti dijawab dan sediakan sekurang-kurangnya enam atau tujuh isi dari setiap soalan yang anda pilih.

7) Berdoa serta bertawakkal kepada Allah SWT.
        Kita sudah melakukan yang terbaik dan sehabis daya tetapi hasilnya adalah kekuasaan Allah SWT. Ingatlah sahabat, doa adalah senjata mukmin. Doa tanpa usaha itu adalah satu kebohongan dan usaha tanpa doa adalah satu kesombongan. Berdoalah selalu kerana Allah sangat merindui rintihan hamba-hambaNya.
        Untuk akhirnya, selamat menduduki peperiksaan. Sesungguhnya anda masih lagi mempunyai masa untuk mengulangkaji pelajaran selagi kaki belum melangkah ke dewan peperiksaan. Semoga kita mampu meraih kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.


Disediakan oleh:-
UNIT AKADEMIK
HAL EHWAL WANITA ISLAM
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012

Monday, April 16, 2012

PEPERANGAN MU’TAH



Jamadil Awal

JamadilAwal merupakan bulan yang kelima daripada bulan-bulan Islam.Sebagaimana bulan-bulan yang lain Jamadil Awal juga mempunyai catatan sejarahnya tersendiri.

Pada bulan Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah telah berlaku peperangan Mu’tah di sebuah tempat yang bersempadan dengan Syam (karak) .Peperangan ini berlaku disebabkan terjadinya pembunuhan terhadap utusan Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra di Syam iaitu  Al-Harith Ibn Umair Al-A’zdi. Ini menimbulkan kemarahan orang-orang Islam dan mereka telah menyiapkan 3 ribu tentera muslimin untuk menyerang Syam.

Peristiwa Peperangan

Peperangan ini tidak disertai oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu peperangan ini dinamakan sebagai Ghazwah dan kerana banyaknya bilangan anggota tentera.Sebelum tentera Muslimin bertolak ke Syam, Rasulullah s.a.w telah bersabda  yang  bermaksud:

“Amir  kamu ialah Zaid  bin  Harithah.  Jika Zaid gugur,  maka Jaa’far akan menggantikannya.  Jika Jaa’far gugur,  Abdullah  bin  Ruwahah akan menggantikannya,  jika  Abdullah  gugur maka hendaklah kamu pilih orang yang kamu suka untuk menjadi ketua kamu ”.

Rasulullah juga telah berpesan kepada tentera Muslimin, agar mereka menyeru terlebih dahulu orang Mu’tah kepada Islam. Sekiranya mereka enggan pohonlah pertolongan daripada Allah SWT dan perangilah mereka. Ketika tentera muslimin mula  bergerak dari Madinah menuju ke Syam,  pihak musuh telah mendapat tahu akan ketibaan mereka. Lalu mereka mengumpulkan bala tentera yang ramai, Hiracla telah menghantar lebih daripada 100 ribu bala tentera yang terdiri daripada orang-orang Rom. Manakala Sharhabil telah mengumpul 100 ribu tentera yang terdiri daripada Qabilah Lukhan, Jazan, Al-Qaridan Bahra. Melihat kepada bilangan tentera musuh yang melebihi 200 ribu orang ini, tentera Muslim telah berhenti di Muan (satu daerah di Syam) selama dua malam sambil memikirkan apakah perancangan yang seharusnya dilakukan untuk menghadapi seluruh tentera musuh ini.

Ada di antara mereka berkata  “Eloklah kita menulis surat kepada Rasulullah s.a.w memberitahu bilangan tentera musuh yang begitu ramai ini. ”Tetapi Abdullah Ibn Ruwahah berkeras dan memberikan semangat kepada tentera muslimin supaya terus berjuang dengan berkata “Wahai orang-orang Muslim! Demi Allah SWT apakah yang ditakutkan? Untuk apa kita keluar? Tidakkah dengan tujuan syahid? Kita berperang bukan kerana berdasarkan bilangan yang ramai dan bukan dengan kekuatan, tetapi kita berperang kerana menegakkan kalimah Allah, dengan kita mendapatkan kemuliaan daripada Allah SWT. Ayuh, maju kehadapan! Satu daripada dua kejayaan sudah pastikan tercapai, menang atau syahid.”

Kemudian bertemulah tentera Muslimin dengan musuh-musuhnya yang berlipat kali ganda ramainya berhampiran karak. Zaid Ibn Harithah mengambil bendera dan terus mara kehadapan diikuti oleh semua jundi-jundi pejuang Islam.Akhirnya, beliau gugur syahid dengan tikaman musuh. Setelah gugurnya Zaid,  maka Jaa’far Ibn Abu Talib mengambil bendera dan memimpin bala tentera Islam menggantikan Zaid. Jaa’far telah menewaskan beberapa musuh hinggalah beliau sendiri gugur syahid. Padam ayat beliau terdapat lima puluh tikaman pedang.

Bendera tetap ditegakkan dengan teguhnya oleh pejuang-pejuang Islam yang kental jiwanya berjuang kerana  Allah SWT.Inilah antara sifat-sifat seorang Mukmin yang patut diterapkan dan dihidupkan dalam roh jiwa kita sebagai pejuang agama Allah untuk memastikan syiar Islam sentiasa dipuncaknya.

Setelah Jaa’far gugur, bendera diambil pula oleh Abdullah Ibn Ruwahah. Akhirnya beliau juga gugur dan syahid. Benarlah apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w tentang ketiga-tiga pemimpin tentera yang gugur ini. Maka dengan persetujuan bala tentera Muslimin, Khalid bin Al-Walid dilantik menjadi Amir dalam peperangan tersebut. Khalid terus menggempur musuh sehingga mereka menjadi kucar-kacir. Dalam keadaan kucar-kacir inilah Khalid mengambil peluang seluruhnya menyelamatkan bala tentera Islam. Oleh itu kemenangan telah berpihak kepada tentera Islam.

Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah  s.a.w  diberitahu mengenai kematian Zaid, Jaa’far dan Abdullah bin Rawahah, lalu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Zaid mengenai bendera gugurlah dia, kemudian diambil oleh Jaa’far beliau juga gugur, kemudian diambil oleh Ibn Rawahah juga turut gugur. Sambil berkata  air matanya mengalir. Kemudian diambil oleh salah seorang “ pedang Allah” iaitu Khalid bin Al-Walid, maka Allah SWT memberi kemenangan kepada mereka.



Hadith ini memberi maksud, bahawa pada akhirnya Allah SWT telah memberi kemenangan kepada tentera Islam. Mereka telah kembali ke Madinah setelah bala tentera musuh lari untuk mendapatkan perlindungan kerana gerun melihat angkatan tentera Islam. Langkah yang bijak lagi licin yang telah dilakukan oleh Khalid, telah memberi kemenangan kepada tentera Islam. Adapun kesyahidan di medan perang itu adalah tarbiah besar daripada  Allah dan mereka  yang berjuang kerana  menegakkan kalimah Allah SWT sudah pasti mendapat tempat yang terbaik disisi  Allah SWT sebagaimana yang dijanjikan olehNya.


Akhirnya, pesan saya kepada seluruh sahabat dan juga diri saya sebagai peringatan sebagaimana yang terkandung di dalam firman  Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah: Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati, (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur”.
(Surah Al-Mulk : 23)


Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan”.
(Surah Al-ghasyiyah : 21)

Jangan sesekali kedekut untuk kita luangkan otak, hati dan seluruh anggota tubuh badan untuk bersyukur kepada Allah dengan segala nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita. Bukan bersyukur hanya zikrullah kepada  Allah akan tetapi lebar luaskanlah kesyukuran kita untuk berjuang untuk mentaati dan beriman kepada Allah, amar ma’ruf nahi mungkar dan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan sebagai tanda kesyukuran kita kepada yang Maha Esa.




Disediakanoleh :-
UNIT RISALAH & TAQWIM
UNIT DAKWAH
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012

SECANGKIR TINTA : IMTIHAN MENYINGSING KEMBALI

Bismillahirrahmanirrahim, segala puji bagi Allah, pencipta alam semesta yang layak disembah, yang memberikan kita nafas dalam nikmat terbesar iaitu iman dan Islam. Selawat dan salam dihamparkan ke atas nabi Muhammad s.a.w junjungan tercinta , agar syafaatnya diperolehi dan mengiringi kita di hari akhirat kelak insyaAllah, buat keluarga baginda serta sahabat yang setia mendokongi risalah nabawiah.

Sekelip masa berlalu, sedar tak sedar kita sudah tiba ke fasa  yang mendebarkan bagi kita selaku penuntut ilmu di bumi anbiaya’ ini. Fasa  imtihan kembali lagi.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran,” (Surah Al-Asr:1-3)

Ayatnya pendek dan mudah dihafal namun sukar dipraktikkan oleh kita selaku hamba-Nya. Jika tersilap langkah maka akan binasalah kita. Sebagai mahasiswa Islam kita perlu bijak dalam pengurusan masa agar dapat menyeimbangkan tanggungjawab sebagai hamba Allah Ta`ala dan tanggungjawab sesama manusia agar  tidak terabai.



Tanggungjawab kita selaku mahasiswa Islam bukan hanya berlegar sebagai pelajar sahaja, namun jangan kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba allah, anak, sahabat , da’ie dan sebagainya. Masalah inilah yang berlaku bila tiba sahaja musim imtihan, kita sering sahaja lupa dan mengabaikan tanggungjawab lain disebabkan terlalu ghairah dalam membuat persediaan imtihan hingga berlaku perselisihan faham antara kita dan sahabat kerana tidak melunaskan amanah sebagai ahli rumah. Contohnya tidak memasak mengikut jadual yang ditetapkan. Oleh itu, akan sia-sialah usaha kita bersengkang mata membaca buku tapi masih banyak lagi amanah lain yang kita abaikan yang boleh menyebabkan hubungan kita sesama manusia terjejas. Maka dimanakah redha Allah ketika itu?



Perlu kita sedari bahawa imtihan merupakan wasilah bagi kita untuk mencapai kejayaan dan dengan kejayaan itulah medium kita untuk menyebarkan dakwah Islam. Pastinya matlamat utama kita adalah untuk melihat agama Islam terus mekar dan seluruh penduduk bumi hidup berlandaskan syariat islam demi mencapai kejayaan di akhirat nanti. Oleh itu, adakah kejayaan tanpa redha Allah itu yang kita harapkan?. Pastinya tidak. Kejayaan yang hakiki pastinya bila mana kita dapat menyeimbangkan dunia dan akhirat tanpa mengabaikan hubungan dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-‘Imran ayat 112 yang bermaksud:

“ Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia ”.

Semoga dengan kehadiran fasa imtihan ini menjadikan kita mahasiswa Islam yang lebih matang berfikir dan dengan imtihan yang bakal ditempuhi akan menghasilkan kecemerlangan dalam keputusan nanti, dan yang lebih utama cemerlang dari sudut akhlak dan rohani supaya menjadi bekal bagi mencapai kejayaan di akhirat kelak. Amin.

Salam imtihan....


Nur Farhana Hanafi
Bendahari
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluar Penuntut-penuntut Terengganu
Sesi 2011/2012

Tuesday, March 27, 2012

MUSLIMAH PENERAJU UMMAH


     
     Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi diberi nafas untuk meneruskan saki baki kehidupan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana jerih payah baginda dalam mendaulatkan islam di muka bumi ini.

Seorang sarjana pernah menyatakan; “Insan perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab.” Justeru, mahasiswa atau mahasiswi islam selaku sebahagian daripada entiti penting di dalam masyarakat juga tidak boleh lari daripada mencambahbiakkan kesedaran tentang persoalan pokok ini dan seterusnya wajar bingkas bangun mengkoreksi diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.                    

     Sering diperkatakan bahawa mahasiswa merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Golongan ini jugalah yang merupakan pelapis berjiwa kental yang akan menjadi aset penting untuk kelangsungan perjuangan bangsa dan agama. Jatuh bangunnya ummah di millennium mendatang banyak bergantung kepada kemandirian komuniti teras ini. Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu tamadun. Malah, dunia globalisasi hari ini jelas menunjukkan bahawa kerana penguasaan ilmu khususnya di dalam bidang sains dan teknologilah maka negara-negara maju khususnya Barat telah menjadi pendominasi dan pelopor kepada pelbagai lapangan kehidupan.

Monday, March 26, 2012

Malam Kesenian Islam 2012 : Ukhwah Kian Bertaut

KAHERAH,  23 MAC - Buat julung kalinya, Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah mengadakan  Malam Kesenian Islam di bawah seliaan Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan berobjektifkan ukhuwah selain memberi peluang kepada ahli menyerlahkan bakat masing-masing serta menyediakan lapangan kepada mahasiswi untuk berhibur mengikut syara’.


Program yang berlangsung di Dewan Darul Iman ini dihadiri oleh mahasiswi Pengajian Islam dan Sains Kesihatan yang berada di Kaherah. Program bermula pada jam 9.15 malam telah membuka tirai dengan persembahan nasyid dari Kumpulan Insyirah.  Malam Kesenian Islam diteruskan dengan persembahan dari kumpulan yang bertanding iaitu Kumpulan Ruhul Mahabbah dan Raudhah. Persembahan dari peserta diselangi dengan persembahan istimewa dari Unit Bait Muslim.



 Program ini dimeriahkan lagi dengan persembahan dari wakil Sains Kesihatan dalam mendeklamasikan sajak. Tidak ketinggalan, persembahan khas dari Ahli Jawatankuasa (AJK) HEWI KPT Mesir dalam menyampaikan mesej penting untuk semua ahli.

Majlis kemudian diteruskan dengan acara penyampaian sijil Skim Saham Waqaf PMRAM kepada pembeli saham melebihi 4 unit oleh saudari Nuraini Abdullah; Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir. Hadiah juga diberikan kepada pemenang tempat pertama dari kumpulan Ruhul Mahabbah dan pemenang dari tempat kedua dari kumpulan Raudhah.



Mengakhiri majlis dengan jamuan makan sekaligus menjayakan BBQ Party anjuran Biro Dakwah KPT Mesir sekitar jam 11.45 malam. Semoga berkumpulnya hati-hati kita pada malam ini, akan mengukuhkan lagi keterikatannya sampai bila-bila.

HEWI KPT Mesir dengan penuh takzim mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan secara langsung mahupun tidak. Jazakumullahu khairal jaza’.

Thursday, March 15, 2012

SECANGKIR TINTA : THAQAFAH PEMANGKIN GENERASI BERTAQWA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah, rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga kita panjatkan kepadaNya yang telah memberikan kita nafas dan membolehkan kita hidup ditambah dengan kehidupan berlandaskan Iman dan Islam. Selawat dan salam bagi junjungan besar; Muhammad sollallohu ‘alaihi wasallam yang begitu komited mengerjakan usaha-usaha dakwah serta bersusah-payah mengeluarkan umat dari kegelapan kepada sinar cahaya.

Menelusuri sirah Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam, bagaimana beliau bersungguh-sungguh dengan kudrat yang ada, menegakkan Islam walau di sana terdapat pelbagai ancaman dan kekangan, tidak kurang siksaan dan kesakitan yang dilakukan pihak musuh. Namun, dengan kesedaran dan semangat yang tinggi yang ada dalam diri, baginda tidak berputus asa untuk meneruskan kerja-kerja Islam dalam menyampaikan risalah Islam. Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam seorang yang cekal dan tabah, maka wajarlah kita menjadikan baginda sebagai qudwah.


Apa pula tugas kita? Sekadar berpeluk tubuh, dan melihat pada suatu waktu akan datang, Islam itu tertegak di muka bumi ini dengan sendiri? Tidak, kita seharusnya menyambung perjuangan suci baginda Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam ini! Kita harus berperanan dalam menyampaikan Islam, di posisi mana pun kita berada.

Cari ilmu sebanyak mana yang kita mampu. Tambahlah thaqafah tanpa mengira waktu. Kerana apa yang kita ada, akan menjadi nilai tambah dalam kita menyampai dan menyebar Islam kepada masyarakat. Hak milik kita adalah : apa yang kita miliki untuk berbagi, bukan yang disimpan untuk diri sendiri.


Bersempena dengan pembukaan fasa kedua pembelajaran, marilah kita memanfaatkan waktu yang ada dengan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Tidak terhad kepada kelas-kelas di universiti sahaja, malah kelas-kelas tambahan di luar juga perlu bagi meningkatkan mutu dan kualiti ilmu.
Ingat kembali amanah dan tanggungjawab kita di Mesir ini sebagai mahasiswa. Berlumba-lumbalah menghadiri kuliah, menadah curahan ilmu dari guru-guru, dan di dalam pembelajaran itu terdapat banyak keberkatan.

Selagi mampu berdiri, selagi mampu berlari, burulah cita-cita, genggam erat dan sematkan di dada. Semoga kitalah pewaris perjuangan nabi.

قال الله تعالى : { يَرْفَعِ اللهُ الذِّينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ وَالذِّينَ أُوتُواْ العِلْمَ دَرَجَاتٍ }
 [المجادلة، 58 : 11]

Beruntunglah penuntut ilmu kerana Allah meninggikan mereka beberapa darjat. Maka, ruang dan peluang yang ada tidak sepatutnya disia-siakan. Teruskanlah menerima, supaya kita punya sesuatu untuk memberi dan berbagi kepada masyarakat yang sangat berharap dan percaya dengan kelebihan ilmu yang kita ada.

Salam Mujahadah dan Istiqamah buat seluruh warga Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir. Semoga Allah memberkati usaha dan kesungguhan dalam menuntut ilmuNya.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

“BERILMU DAN BERAMAL”

Disediakan Oleh :-

NAUFAL BINTI KAMARUDDIN
Setiausaha,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.

Saturday, March 3, 2012

“Meniti Sirah Rabiul Akhir”


2 Mac 2012,  KAHERAH – Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir sesi 2011/2012 di bawah seliaan Unit Dakwah  Hal Ehwal Wanita Islam telah mengadakan ‘Kuliah Sayyidul Ayyam’ bertempat di Surau Darul Iman, Hayyu ‘Asyir.
Bertemakan “Meniti Sirah Rabiul Akhir”, kuliah disampaikan oleh Norhashima binti Majid; Unit Kebajikan & Kemanusiaan HEWI PMRAM  2011.

Beliau menyentuh terlebih dahulu peristiwa- peristiwa yang terkandung di dalam bulan Rabiul Awal yang menjadi kesinambungan terhadap lakaran sejarah di bulan Rabiul Akhir.
Kelahiran Rasulullah S.A.W. , hijrah baginda dari Mekah ke Madinah, serta kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. merupakan antara peristiwa terbesar yang terpahat di dada sejarah Islam. 
 “Usah sibuk mencari idola mana yang patut dicontohi, sedangkan di dalam sejarah Islam sendiri sudah ada tokoh yang amat hebat, ” kata beliau sewaktu menceritakan kecekalan Asma’ binti Abu Bakar yang sanggup mendaki ke Gua Thur untuk memberi makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar.

Seterusnya, turut diceritakan kisah yang berlaku di bulan Rabiul Akhir. Antaranya ialah Perang Hittin yang membolehkan Solahuddin al-Ayyubi menakluk Palestin pada tanggal 1187 M. Selain itu, terjadinya Perang Bani Nadhir yang berpunca dari rasa tidak puas hati di kalangan mereka.
Beliau menyeru kepada hadirin agar sama- sama mengkaji dan menyelusuri sejarah kerana ia dapat dijadikan panduan untuk kita menghadapi hari mendatang.

Monday, February 13, 2012

JAULAH DUMYAT


11 Februari 2012- Unit Sambutan dan Rehlah Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah menganjurkan jaulah ke Dumyat dan Ra’sul Bar. Bermula jam 8 pagi, rombongan yang disertai 40 orang pelajar mula bertolak ke destinasi utama; Dumyat. Perjalanan memakan masa hampir tiga jam sebelum pantai Dumyat mula kelihatan.

 
Pesisiran pantai memutih dek banyaknya kerang-kerang yang terdampar tanpa ada yang mengutipnya. Setelah menunaikan solat, para peserta terus menggunakan masa yang ada bagi mengisi sebanyak mungkin kerang ke dalam bekas dan plastik yang dibawa. Kegembiraan dan keriangan jelas terpancar di wajah masing-masing. Ada yang mencari sekadar di pesisiran, ada juga yang menyilau di balik air yang berombak.

 
Empat jam mencari, kepenatan  dan kelaparan yang dirasai mula meminta agar perut diisi dan masing- masing mula menjamu selera dengan bekalan yang dibawa. Setelah berehat beberapa ketika, rombongan berkemas untuk menuju ke destinasi yang seterusnya.
 

Perjalanan diteruskan melihat matahari terbenam di Ra’sul Bar. Di sini terdapatnya pertemuan antara Sungai Nil dan Laut Mediteranian. Keindahan senja dimeriahkan lagi dengan pemandangan nelayan sedang mencari tangkapan.

Berkumandang azan maghrib, para peserta mula menuju ke masjid terdekat bagi menunaikan solat sebelum berangkat balik. 7.30 malam, rombongan mula bertolak pulang.