PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, April 16, 2012

PEPERANGAN MU’TAH



Jamadil Awal

JamadilAwal merupakan bulan yang kelima daripada bulan-bulan Islam.Sebagaimana bulan-bulan yang lain Jamadil Awal juga mempunyai catatan sejarahnya tersendiri.

Pada bulan Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah telah berlaku peperangan Mu’tah di sebuah tempat yang bersempadan dengan Syam (karak) .Peperangan ini berlaku disebabkan terjadinya pembunuhan terhadap utusan Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra di Syam iaitu  Al-Harith Ibn Umair Al-A’zdi. Ini menimbulkan kemarahan orang-orang Islam dan mereka telah menyiapkan 3 ribu tentera muslimin untuk menyerang Syam.

Peristiwa Peperangan

Peperangan ini tidak disertai oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu peperangan ini dinamakan sebagai Ghazwah dan kerana banyaknya bilangan anggota tentera.Sebelum tentera Muslimin bertolak ke Syam, Rasulullah s.a.w telah bersabda  yang  bermaksud:

“Amir  kamu ialah Zaid  bin  Harithah.  Jika Zaid gugur,  maka Jaa’far akan menggantikannya.  Jika Jaa’far gugur,  Abdullah  bin  Ruwahah akan menggantikannya,  jika  Abdullah  gugur maka hendaklah kamu pilih orang yang kamu suka untuk menjadi ketua kamu ”.

Rasulullah juga telah berpesan kepada tentera Muslimin, agar mereka menyeru terlebih dahulu orang Mu’tah kepada Islam. Sekiranya mereka enggan pohonlah pertolongan daripada Allah SWT dan perangilah mereka. Ketika tentera muslimin mula  bergerak dari Madinah menuju ke Syam,  pihak musuh telah mendapat tahu akan ketibaan mereka. Lalu mereka mengumpulkan bala tentera yang ramai, Hiracla telah menghantar lebih daripada 100 ribu bala tentera yang terdiri daripada orang-orang Rom. Manakala Sharhabil telah mengumpul 100 ribu tentera yang terdiri daripada Qabilah Lukhan, Jazan, Al-Qaridan Bahra. Melihat kepada bilangan tentera musuh yang melebihi 200 ribu orang ini, tentera Muslim telah berhenti di Muan (satu daerah di Syam) selama dua malam sambil memikirkan apakah perancangan yang seharusnya dilakukan untuk menghadapi seluruh tentera musuh ini.

Ada di antara mereka berkata  “Eloklah kita menulis surat kepada Rasulullah s.a.w memberitahu bilangan tentera musuh yang begitu ramai ini. ”Tetapi Abdullah Ibn Ruwahah berkeras dan memberikan semangat kepada tentera muslimin supaya terus berjuang dengan berkata “Wahai orang-orang Muslim! Demi Allah SWT apakah yang ditakutkan? Untuk apa kita keluar? Tidakkah dengan tujuan syahid? Kita berperang bukan kerana berdasarkan bilangan yang ramai dan bukan dengan kekuatan, tetapi kita berperang kerana menegakkan kalimah Allah, dengan kita mendapatkan kemuliaan daripada Allah SWT. Ayuh, maju kehadapan! Satu daripada dua kejayaan sudah pastikan tercapai, menang atau syahid.”

Kemudian bertemulah tentera Muslimin dengan musuh-musuhnya yang berlipat kali ganda ramainya berhampiran karak. Zaid Ibn Harithah mengambil bendera dan terus mara kehadapan diikuti oleh semua jundi-jundi pejuang Islam.Akhirnya, beliau gugur syahid dengan tikaman musuh. Setelah gugurnya Zaid,  maka Jaa’far Ibn Abu Talib mengambil bendera dan memimpin bala tentera Islam menggantikan Zaid. Jaa’far telah menewaskan beberapa musuh hinggalah beliau sendiri gugur syahid. Padam ayat beliau terdapat lima puluh tikaman pedang.

Bendera tetap ditegakkan dengan teguhnya oleh pejuang-pejuang Islam yang kental jiwanya berjuang kerana  Allah SWT.Inilah antara sifat-sifat seorang Mukmin yang patut diterapkan dan dihidupkan dalam roh jiwa kita sebagai pejuang agama Allah untuk memastikan syiar Islam sentiasa dipuncaknya.

Setelah Jaa’far gugur, bendera diambil pula oleh Abdullah Ibn Ruwahah. Akhirnya beliau juga gugur dan syahid. Benarlah apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w tentang ketiga-tiga pemimpin tentera yang gugur ini. Maka dengan persetujuan bala tentera Muslimin, Khalid bin Al-Walid dilantik menjadi Amir dalam peperangan tersebut. Khalid terus menggempur musuh sehingga mereka menjadi kucar-kacir. Dalam keadaan kucar-kacir inilah Khalid mengambil peluang seluruhnya menyelamatkan bala tentera Islam. Oleh itu kemenangan telah berpihak kepada tentera Islam.

Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah  s.a.w  diberitahu mengenai kematian Zaid, Jaa’far dan Abdullah bin Rawahah, lalu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Zaid mengenai bendera gugurlah dia, kemudian diambil oleh Jaa’far beliau juga gugur, kemudian diambil oleh Ibn Rawahah juga turut gugur. Sambil berkata  air matanya mengalir. Kemudian diambil oleh salah seorang “ pedang Allah” iaitu Khalid bin Al-Walid, maka Allah SWT memberi kemenangan kepada mereka.



Hadith ini memberi maksud, bahawa pada akhirnya Allah SWT telah memberi kemenangan kepada tentera Islam. Mereka telah kembali ke Madinah setelah bala tentera musuh lari untuk mendapatkan perlindungan kerana gerun melihat angkatan tentera Islam. Langkah yang bijak lagi licin yang telah dilakukan oleh Khalid, telah memberi kemenangan kepada tentera Islam. Adapun kesyahidan di medan perang itu adalah tarbiah besar daripada  Allah dan mereka  yang berjuang kerana  menegakkan kalimah Allah SWT sudah pasti mendapat tempat yang terbaik disisi  Allah SWT sebagaimana yang dijanjikan olehNya.


Akhirnya, pesan saya kepada seluruh sahabat dan juga diri saya sebagai peringatan sebagaimana yang terkandung di dalam firman  Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah: Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati, (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur”.
(Surah Al-Mulk : 23)


Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan”.
(Surah Al-ghasyiyah : 21)

Jangan sesekali kedekut untuk kita luangkan otak, hati dan seluruh anggota tubuh badan untuk bersyukur kepada Allah dengan segala nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita. Bukan bersyukur hanya zikrullah kepada  Allah akan tetapi lebar luaskanlah kesyukuran kita untuk berjuang untuk mentaati dan beriman kepada Allah, amar ma’ruf nahi mungkar dan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan sebagai tanda kesyukuran kita kepada yang Maha Esa.




Disediakanoleh :-
UNIT RISALAH & TAQWIM
UNIT DAKWAH
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012