PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Showing posts with label isu mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label isu mahasiswa. Show all posts

Wednesday, June 26, 2013

KENYATAAN RASMI YDP MENGENAI ISU MAHASISWA TERENGGANU MESIR



          
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada kepada Allah SWT atas kurniaan Iman dan Islam serta peluang dalam melaksanakan tugas selaku hamba, selawat dan salam buat Junjungan Besar Baginda s.a.w. sebagai ikutan dan tauladan ummat sepanjang zaman, dan kaum kerabat serta para sahabat yang bersama-sama dalam medan perjuangan Islam yang penuh dengan cabaran serta mehnah dan tribulasi yang mendatang.

Sesungguhnya, saya selaku wakil pimpinan persatuan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) Mesir sesi 2012/2013 menafikan tuduhan terhadap mahasiswa Terengganu di Mesir dan melahirkan rasa kekesalan dengan ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad bin Said dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu kali pertama baru-baru ini.

Antara ucapan yang mengguriskan hati kami seluruh penuntut ilmu yang berada di Mesir, baik yang statusnya berwarganegara Malaysia amnya dan khusus kepada Mahasiswa/wi Terengganu dengan mengatakan bahawa sistem pembelajaran Al-Azhar adalah lemah dan juga tuduhan-tuduhan kepada Mahasiswa/wi anak Terengganu yang tidak berasas.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat enam, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Pihak KPT Mesir ingin menyatakan bahawa mahasiswa Terengganu di Mesir sedang terkehadapan dalam pelbagai bidang dan berjaya memanfaatkan ilmu yang dipelajari di Al-Azhar untuk pelbagai latar belakang masyarakat samada di Mesir mahupun di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, KPT Mesir mengharapkan agar kerajaan negeri Terengganu dapat mempertimbangkan semula penghantaran pelajar Terengganu ke Mesir samada dalam bidang pengajian Islam mahupun Perubatan. 

Selain itu, KPT Mesir yang menaungi seluruh anak-anak Terengganu di Mesir ini memohon jasa baik kerajaan negeri Terengganu dapat memberikan perhatian yang lebih baik lagi dalam aspek kebajikan dan pendidikan buat mahasiswa/wi Islam di Mesir. Walaubagaimanapun, KPT Mesir bersikap terbuka dengan apa yang dikatakan tersebut sebagai satu nasihat kasih sayang seorang ayah kepada anaknya yang inginkan kemajuan ketamadunan anak jati Terengganu itu sendiri.


“BERILMU DAN BERAMAL”

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN” 

Hormat dari saya,

MOHD ZAHANI BIN ABDUL GHANI
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.

Friday, October 5, 2012

Pelajar Asrama Johor Diarah Keluar Asrama


KAHERAH, 2 Okt 2012 -- Malang tidak berbau buat pelajar-pelajar Asrama Rumah Johor, Rabaah, setelah mana sebahagian pelajar-pelajar yang tinggal di asrama tersebut diarahkan untuk mengosongkan bilik masing-masing dalam tempoh waktu yang singkat.

Notis arahan yang mengarahkan supaya mengosongkan asrama ini dikeluarkan oleh pihak pengurusan Rumah Johor pada 30 September baru-baru ini.

Notis arahkan ini mengejutkan para pelajar yang menghuni di asrama tersebut kerana mereka diarahkan supaya berpindah dalam tempoh waktu yang singkat. 

Pada 1 Oktober sehari berikutnya, satu lagi notis arahan dikeluarkan dengan mengarahkan para pelajar keluar daripada asrama sedangkan dalam masa yang sama, pihak pengurusan tidak menyediakan penempatan sementara kepada para pelajar.

Rentetan masalah yang berlaku, Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor (BKPJM), saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir telah menghubungi Pengurus Rumah Johor, Haji Maulan bin Asmoni bagi mendapatkan penjelasan dan meminta beliau melanjutkan tempoh pemindahan tersebut.

Namun apa yang mendukacitakan, usaha tersebut tidak diendah oleh pihak bertanggngjawab dan masih belum menemui sebarang hasil tindakan.

BKPJM mengharapkan agar pihak pengurusan Rumah Johor dapat bertindak dalam menangani masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut serta dapat menemukan solusi secepat mungkin.