PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Showing posts with label kalam YDP. Show all posts
Showing posts with label kalam YDP. Show all posts

Monday, August 27, 2012

Kenyataan Rasmi Berkenaan Kezaliman Terhadap Mahasiswa BKPJM



Kenyataan Rasmi - BKAN Johor 


http://www.infokpt.com/v3/wp-content/uploads/2012/08/YDP11-12-web1.jpg Assalamualaikum WBT.

Setinggi kesyukuran kepada Ilahi, Pencipta Teragung yang telah mengurniakan kekuatan dan kesempurnaan waktusehingga kita masih hidup sehingga saat ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, penghulu segala para rasul dan Anbiya’, Saidina Wa Habibina Muhammad Sallallahu A’laihi Wasallam. Kesejahteraan juga buat para pengikut dan juga para pewaris perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Setiap masa, waktu dan keadaan bagi mereka yang berin’tima dengan kesinambungan perjuangan Islam akan ada Ibtila’ (ujian) yang merupakan saringan Allah SWT dalam kehidupan seorang pendakwah. Firman Allah:

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.
(Surah At-Taubah : 111)

Mahasiswa Islam secara fitrahnya amat berhajat kepada kesatuan dan pergantungan antara satu sama lain bagi menyempurnakan tuntutan seorang Muslim. Sebelum ini Mahasiswa Terengganu dizalimi dengan isu Zakat dan Isu pinjaman Yayasan Terengganu. Sekarang ini pula,  sejak kedatangan dua orang pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) Johor ke Mesir pada 2011, bermulalah bibit-bibit penafian hak kesatuan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) yang sedang hangat diperkatakan oleh mahasiswa Mesir sehingga  menimbulkan perpecahan dan perasaan tidak puas hati terhadap pihak berwajib.

Hak Mahasiswa PMRAM cawangan Johor sekarang dizalimi dan telah sekian lama bersabar demi kesatuan Mahasiswa Johor. Wujudnya usaha-usaha untuk menjatuhkan persatuan yang ada dengan pelbagai cara iaitu pejabat BKPJM dihalau dari rumah negeri, penggunaan dewan yang tidak dibenarkan untuk sebarang aktiviti samada berbentuk majlis Ilmiah, program persatuan, kelas tutorial  dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa tujuan asal penghantaran pegawai tersebut untuk menjaga kebajikan dan pendidikan mahasiswa/wi Johor boleh dipertikaikan.

Saya bagi pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) merasa kesal dan kecewa dengan sikap pegawai tersebut yang sepatutnya bertindak dengan secara professional dan bijak.
KPT sekali lagi menyatakan kekesalan terhadap tindakan yang dilakukan oleh Pegawai tersebut. Oleh itu, kami warga KPT selaku persatuan yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) meminta agar pegawai yang terlibat meminta maaf secara terbuka bagi membersihkan nama individu yang terlibat.

Wallahu A’lam.

“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”
“BERILMU DAN BERAMAL”


MOHD ZAHANI BIN ABDUL GHANI
Yang Dipertua,
Keluarga penuntut-Penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.




Tuesday, May 31, 2011

IMTIHAN : SALAM MUJAHADAH

Assalamu`alaikum wa rahmatullah,

Segala puji bagi Allah Ta`ala yang mengurniakan kita kelebihan meneruskan pengajian di Bumi Anbiya’ yang penuh berkat ini. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia; Nabi Muhammad sollallahu`alaihiwasallam yang diutuskan oleh-Nya sebagai rahmat untuk sekalian alam.

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menyeru kepada seluruh mahasiswa Terengganu supaya memberi tumpuan yang sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang sedang dan bakal menjelang nanti.

Sesungguhnya imtihan adalah merupakan wasilah untuk mencapai kejayaan dan mengukur tahap pencapai akademik setiap pelajar. Namun begitu, kita tidak seharusnya lupa dengan matlamat dalam menuntut ilmu. Ilmu yang dimiliki perlulah disampaikan dan diamalkan sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

Selain itu, mahasiswa Islam perlu bijak dalam mendisiplinkan pengurusan masa agar keseimbangan tanggungjawab sebagai hamba Allah Ta`ala dan hubungan sesama manusia tidak terabai.

Kita juga harus meletakkan segala ketentuan adalah kurniaan daripada yang Maha Agung. Justeru itu, bertawakkallah kepada-Nya setelah penat berusaha.

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami dari urusan kami dengan petunjuk yang lurus

Pihak KPT Mesir sentiasa komited bagi memastikan kebajikan dan kecemerlangan mahasiswa diberi perhatian. Oleh itu, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan bagi membantu mahasiswa untuk terus berjaya sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Semoga dengan imtihan yang ditempuhi akan menghasilkan kecemerlangan dalam keputusan nanti dan yang lebih utama menjadi bekalan kita di akhirat kelak.

Selamat berimtihan!

Sekian, wassalam.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.

Sunday, January 3, 2010

PERUTUSAN YDP SEMPENA IMTIHAN


"REALISASI KEJAYAAN"

Segala puji bagi Allah Taala yang mengizinkan kita semua untuk mengecapi dua nikmat yang sangat besar. Nikmat menyambut Hari Raya Aidiladha dan Maal Hijrah. Dua peristiwa yang memberi makna yang sangat besar dalam siri perjalanan dakwah Islam.

Sebagai permulaan, Salam imtihan kami ucapkan..

Berbekalkan hembusan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail ‘Alaihimassalam serta semangat Maal Hijrah, kita menghadapi musim imtihan sebagai medan untuk menguji setakat mana ingatan dan penguasaan terhadap ilmu yang dipelajari. Allah Taala menguji para utusanNya sebagai suatu contoh teladan untuk umat mereka. Imtihan dari Allah Taala hadir supaya mereka tidak terleka dengan tujuan mereka diciptakan.

Dunia sebagai jambatan menuju akhirat. Menuntut ilmu untuk mencari redha Ilahi. Selepas bertungkus-lumus mengutip mutiara-mutiara ilmu dari tunjuk ajar para ulama’ murabbi, imtihan hadir untuk menguji setakat mana ilmu itu telah diamalkan dalam diri. Begitulah diari perjalanan seorang penuntut ilmu, perlukan pengorbanan yang sangat tinggi. Bersedia untuk menghadapi ujian yang mendatang. Tidak boleh mengalah apabila ditekan. Seorang penuntut ilmu perlu berjiwa besar, mesti punyai rancangan dan strategi untuk mencipta kegemilangan.

Sabar dan istiqamah adalah dua kunci utama kejayaan seorang pencinta ilmu. Perjalanan menuntut ilmu adalah satu perjalanan panjang yang memerlukan kesabaran. Kesabaran itulah yang melahirkan istiqamah. Ramai yang mengalah di pertengahan jalan kerana tidak mampu untuk menahan rasa perit untuk memahami sesuatu ilmu yang dipelajari. Padahal,perit itu hanya sebentar kerana kemanisan sedang menanti apabila sampai ke destinasi.

Sekali lagi, Salam imtihan diucapkan….

Masa yang berbaki perlu digunakan sebaiknya sebagai persediaan untuk menghadapi imtihan yang bakal menjelang. Umat Islam diajar supaya melakukan sesuatu dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Jauhi sikap sambil lewa sekiranya kita semua bercita-cita untuk mencipta kejayaan. Mereka yang mengimpikan kejayaan tanpa sebarang usaha umpama seseorang yang menunggu bulan jatuh ke riba. Gabungkan segala ilmu yang dipelajari dalam dewan kuliah beserta segala perbincangan bersama rakan-rakan untuk mengukuhkan lagi ingatan serta pemahaman. Jangan kedekut untuk berkongsi dan memberi, kelak menyesal di kemudian hari.

Tawakkal itu hadir selepas segala persiapan telah dilakukan. Pengakhirannya adalah milik Allah Taala yang menentukan. Hakikatnya, usaha yang dilakukan adalah ganjaran Allah Taala untuk menganugerahkan kepada kita kesabaran. Kejayaan itu di dalam kekuasaanNya. Banyakkan berdoa kepadaNya kerana Dia adalah segala-galaNya. Pergantungan kita hanya kepada Allah Taala Yang Esa. Paling penting, segala usaha yang dilakukan ikhlas keranaNya sebagai pembuka jalan untuk doa kita dimakbulkan. Kita tidak ada hak ke atasNya. Hakikat kurniaan kejayaan adalah semata-mata kerana rahmatNya.

“ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami dari urusan kami dengan petunjuk yang lurus”

Sudah pasti di sana ada kelebihan yang tersendiri sehinggakan kita semua memilih Ardhul Kinanah sebagai tempat untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu. Tidak kiralah dalam bidang pengajian Islam mahupun perubatan. Masing-masing mempunyai cita-cita tersendiri. Semoga kejayaan yang bakal diperolehi diniatkan untuk diwakafkan kepada perjuangan Islam, amin.

Salam imtihan, Selamat berjuang….

Siiru ‘ala barakatillah….

“BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR

Yang Dipertua,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu,

Sesi 2009/2010

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,

Hayyu Asyir, Kaherah.

16 Muharram 1431H / 2 Januari 2010M