PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Showing posts with label unit sambutan dan rehlah. Show all posts
Showing posts with label unit sambutan dan rehlah. Show all posts

Wednesday, October 31, 2012

Jaulah Tanta Patri Ukhwah


TANTA, 30 Oktober 2012 - Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir di bawah seliaan Unit Sambutan & Rehlah telah mengadakan Jaulah ke Tanta sempena Sambutan Aidiladha PMRAM (ADHA’12).

       Jaulah ini disertai seramai 20 orang mahasiswi. Rombongan mula bertolak dari Kaherah tepat jam 8.30 pagi. Tiga jam perjalanan, para peserta tiba di rumah Saudari Siti Anisah dan Saudara  Mohd Faizol. Walaupun  ziarah mahabbah hanya berlangsung sekitar 30 minit, namun detik ini amat bermakna dan akan kekal tersemat di sanubari.

        Seterusnya, rombongan bergerak ke destinasi utama iaitu Dewan Pelajar Tanta yang merupakan tempat berlangsungnya ADHA’12. Tanta menjadi tuan rumah bagi program mega PMRAM kali ini sekaligus menjayakan  resolusi Konvensyen DPM’12  iaitu menghidupkan suasana di DPM.
Kehadiran para tetamu yang begitu ramai mempamerkan kesungguhan ahli menjayakan program di samping mengikat ukhwah dalam kalangan mereka.

Sebelum pulang ke Kaherah,peserta sempat menziarahi maqam para auliya’ di masjid Sidi Badawi.
Semoga program seperti ini dapat meningkatkan ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswi KPT.


Friday, July 6, 2012

HEWI’S CHAMPIONSHIP BERLANGSUNG MERIAH



5 JULAI, KAHERAH- Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu Mesir di bawah seliaan Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan  telah  menganjurkan Kejohanan Bola  Jaring Piala HEWI 2012. Kejohanan ini telah disertai oleh tiga kumpulan.

Seawal jam 8.00 pagi, para peserta dan penyokong telah bertolak ke Musallas. Program dimulakan dengan ucapan pengarah program; saudari Siti Ruqayyah binti Ahmad dan dirasmikan oleh Naib Pengerusi HEWI; saudari Nuraini binti Abdullah.

Seterusnya, berlangsung perlawanan yang menyaksikan tiga kumpulan saling berentap untuk mengutip mata tertinggi. Suasana bertambah meriah dengan teriakan suara penyokong kumpulan masing- masing. Pelbagai aksi menarik yang dipamerkan pemain.



3 jam berlalu, akhirnya kumpulan C berjaya membuktikan kehebatan mereka apabila menggondol  juara bagi kejohanan ini.

Pihak HEWI KPT mengharapkan agar objektif penganjuran program; untuk mengeratkan lagi ukhwah dalam kalangan ahli KPT tercapai di samping merehatkan diri ahli setelah berjuang menghadapi peperiksaan baru-baru ini.

Sekalung ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan kejohanan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Sunday, December 18, 2011

ZIARAH MAQAM SEKITAR KAHERAH; MENYELUSURI KEMULIAAN AULIYA’


KAHERAH, 16 DISEMBER – Unit Sambutan dan Rehlah dengan kerjasama Unit Dakwah Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah berjaya menganjurkan ziarah maqam sekitar Kaherah.



Seramai 51 ahli melibatkan diri bagi bersama-sama menyelami dan mengenali dengan lebih dekat para ulama’ yang banyak memberi sumbangan besar terhadap dakwah Islam di pelusuk bumi Mesir. Bertolak jam 8 pagi, ziarah maqam kali ini berjaya menjejak 22 maqam wali-wali Allah.



Di samping itu, ahli turut diberi penerangan oleh Ketua Musyrif; Ustaz Abdul Mannan Jusoh berkisar mengenai maqam yang dilawati.

Antara maqam yang diziarahi ialah :

1.       Syeikh Soleh Jaafari
2.       Syeikh Abu Muhammad Abdullah Jamaluddin ibnu Hisham Alkanasi
3.       Sidi Ali Khawwas
4.       Saidina Hussein
5.       Syeikh Abdul Wahhab As-Sya’rani
6.       Syeikh Syihabuddin Ar-Romli
7.       Sultan Hanafi
8.       Sidi Abdul Rahman
9.       Sayyidah Zainab
10.   Sayyidah Sukainah
11.   Sayyidah Ruqayyah
12.   Sidi Ali Al-Ja’fari
13.   Sayyidah Atiqah
14.   Sayyidah Nafisah
15.   Imam Syafie
16.   Syeikh Zakaria Al-Ansori
17.   Wali Soghir
18.   Syeikh Taqiuddin Muhammad bin Ali
19.   Ibnu Ata’illah As-Sakandari
20.   Syeikh Abdullah ibnu Hamzah
21.   Sidi Muhammad Ibnu Sayyid An-Nas
22.   Mihrab Sayyidah Nafisah


Ziarah Maqam Auliya’ berakhir sekitar jam 6.50 malam. Semoga dapat mengambil ibrah dan manfaat
dari program ziarah yang diadakan.



Saturday, July 30, 2011

JAULAH FAYYOUM : MENGERAT UKHUWAH, MENAMBAH PENGETAHUAN

KAHERAH, 23 JULAI – HEWI KPT Mesir di bawah kelolaan Unit Sambutan dan Rehlah telah berjaya mengadakan Jaulah ke Fayoum, setelah kebanyakan ahli telah selesai menghadapi peperiksaan fasa kedua mereka dan sebelum tibanya bulan tarbiyah; Ramadhan al-Mubarak. Ahli rombongan seramai 39 orang termasuk 4 musyrif itu bertolak dari Asrama Darul Iman sekitar jam 7 pagi dengan menaiki sebuah coaster dan sebuah tremco.

Antara tempat menarik yang dibawa melawat adalah Kincir Air Nabi Yusof a.s. yang mempunyai sejarah hebatnya yang tersendiri. Ladang mangga juga turut dikunjungi, memberi peluang kepada peserta untuk merasai suasana ladang sebenar seterusnya menikmati buah-buah mangga segar dari ladang.

Destinasi pertam yang dilawati, Kincir Air Nabi Yusof a.s.


ladang mangga yang sempat disinggahi, sebelum ke Wadi ar-Rayyan.


Perjalanan panjang itu diteruskan dan sempat singgah di Tasik Qarun yang memberi banyak pengajaran dan ladang bunga matahari; ladangnya meliputi bunga-bunga matahari yang besar, banyak dan cantik. Subhanallah. Kemudian terus bergerak ke air terjun di Wadi Arrayan; merupakan satu-satunya air terjun yang terdapat di Mesir, di tengah-tengah padang pasir panas terik dan kering kontang.

Tasik Qarun yang dikatakan tiada dasar.



ladang bunga matahari yang terbentang luas di tepi-tepi jalan sepanjang menuju Wadi ar-Rayan.

aliran air terjun, Wadi ar-Rayyan; menyejuk dan menenangkan.


Peserta rombongan masih bersemangat untuk meneruskan BBQ di destinasi akhir tersebut; air terjun, walaupun terasa penat dan letih berpanas seharian mengikuti jaulah. Majlis di Wadi Arrayan berakhir dengan jayanya walaupun terdapat pelbagai masalah di awal ketika mula tiba. Namun, semangat dan kesatuan yang kuat di kalangan semua peserta akhirnya memberi hasil yang baik kepada semua dan program ini.


Peserta juga sempat mendengar ucapan penutup daripada Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir sesi 2010/2011 yang menekankan semangat berukhuwah di antara ahli tidak kira dari apa jua bidang samada pengajian Islam mahupun perubatan.

Friday, July 22, 2011

AHLI HEWI KPT MESIR MENGEMBARA KE PALESTIN

KAHERAH, 19 JULAI - Unit Sambutan dan Rehlah HEWI KPT baru-baru ini telah menganjurkan satu program "Pengembaraan Merentasi Bumi Palestin", selepas solat zohor secara berjemaah di Musolla Darul Iman. Program ini dibuka kepada semua ahli yang berminat dan telah mendapat sambutan yang baik daripada mereka.

Program ini dimulakan dengan tayangan berkaitan dengan nasib rakyat di Palestin kemudian diikuti dengan tayangan filem "Valley Of The Wolves Palestine 2011" yang diadaptasi daripada peristiwa Marvi Marmara yang cuba menghantar bantuan makanan kepada rakyat Palestin pada tahun lalu yang begitu menyayat hati. Ahli juga diajak merentasi bumi Mesir ketika peristiwa thaurah dengan beberapa tayangan video yang dapat membangkitkan semangat para pemuda pemudi di abad ini dan memberi seribu erti.

Selepas tayangan berakhir, beberapa orang ahli yang hadir diminta untuk memberi sedikit ulasan berkenaan dengan video-video yang telah ditayangkan. Naib Pengerusi HEWI, Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim juga diminta untuk memberikan kesimpulan akhir bagi program yang telah dijalankan. "Berada di dalam persatuan atau jemaah amat penting bagi kita umat islam untuk menjamin kebangkitan serta kemenangan Islam," kata beliau di dalam ucapannya. Beliau menekankan kepada semua ahli agar sentiasa berada di atas landasan perjuangan dan jangan sekali-kali mudah futhur dengan apa jua ujian yang datang.

Beliau juga berpesan kepada semua ahli agar peka dengan isu semasa dan menjuarai isu terutamanya berkaitan dengan isu umat islam seluruh dunia. Di akhir ucapannya, beliau mendoakan agar semua ahli diberi kejayaan bersama dalam peperiksaan yang dihadapi.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Naib Pengerusi HEWI kepada 2 orang peserta yang datang awal dan beberapa orang yang telah memberi ulasan berkaitan dengan tayangan tersebut serta ucapan penutup daripada Ketua Unit Sambutan dan Rehlah (USR) HEWI KPT, Saudari Nursyazwani binti Jusoh.

"Setelah melihat mahasiswa kini semakin kendur sensitivitinya terhadap isu Palestin, maka HEWI KPT telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini. Isu Palestin bukanlah isu rakyatnya semata-mata, tetapi merupakan isu umat Islam seluruhnya", ujar beliau di akhir ucapannya.


Monday, July 12, 2010

Jaulah Ra'sulbar

6 Julai 2010 - Bendahari HEWI KPT merangkap Unit Sambutan dan Rehlah berjaya mengadakan jaulah ke Ra'sulbar dengan bilangan peserta hampir mencecah 50 orang. Jaulah ini diadakan sempena meraikan semua ahli HEWI dan merehatkan minda stelah bertungkus lumus menghadap buku-buku pelajaran membuat persediaan bagi menempuh peperiksaan fasal dua yang telah berakhir baru-baru ini.

Rombongan bertolak seawal jam 8.00 pagi dari Kompleks Asrama Darul Iman. Sepanjang perjalanan ke tempat tujuan, sempat singgah di beberapa buah maqam ulama'-ulama' dan wali-wali. Di antaranya, Maqam Imam Mutawalli Sya'rawi salah seorang ulama' Mesir satu ketika dulu. Di sekitar maqam ini terdapat perpustakaan miliknya sendiri.


Meneruskan perjalanan, menziarahi maqam anak kepada sahabat baik Rasulullah sollallohu alaihi wasallam, Muhammad bin Abu Bakar R.A. Musyrif yang turut sekali dalam rombongan ini menerangkan serba sedikit berkaitan maqam ini dan batu besar yang terdapat di sebelahnya. Dalam perjalanan, sempat singgah di kebun peach dan anggur, merasai buah-buahan yang segar dari ladang.



Perjalanan kemudian diteruskan dan singgah di Maqam Abdullah bin Salam R.A., sahabat Rasulullah sollallou alaihi wasallam sambil berhenti rehat untuk solat dan makan setelah keletihan merentas laluan menuju destinasi. Usai solat, makan dan menziarah maqam, rombongan bersiap-siap untuk bertolak menuju destinasi tujuan, Ra'sulbar.


Rombongan tiba kira-kira jam 5.30 petang di Ra'sulbar, tempat pertemuan Sungai Nil dan Lautan Meditranean. Tempat bersejarah ini telah diceritakan di dalam Al-Quran mengenai pertemuan Nabi Musa dan Nabi Khidir.


Selesai menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan di Ra'sulbar, rombongan bersiap sedia untuk pulang. Ketua rombongan meminta peserta untuk bersolat maghrib dan isyak dahulu sebelum berangkat pulang meninggalkan tempat bersejarah ini. Konvoi 2 tremco dan 1 coaster bergerak pulang ke Kaherah semula kira-kira jam 9.00 malam.

Jaulah kali ini sungguh meriah apabila pelajar perubatan dapat turut sama mengikuti rombongan ini. Semoga program-program sebegini dapat diadakan lagi di lain waktu bagi mengukuhkan ukhuwah di antara ahli.