PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Showing posts with label HEWI PMRAM. Show all posts
Showing posts with label HEWI PMRAM. Show all posts

Saturday, September 7, 2013

HEWI PMRAM BERSAMA MAHASISWI BARU TERENGGANU

Kepimpinan HEWI PMRAM terus komited dalam menjayakan agenda kebajikan yang merupakan denyut nadi bersama seluruh ahli PMRAM Cawangan. Pada kali ini, barisan kepimpinan berpeluang untuk beramah mesra dengan mahasiswi baru PMRAM Cawangan Terengganu seramai 8 orang yang bertempat di Kompleks Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu, Hayyu Asyir, Kaherah. Mereka selamat tiba di Mesir tanggal 14 Ogos 2013 di mana ketika itu berlaku pergolakan menolak rampasan kuasa di Mesir.

Ziarah sulung ini disambut baik oleh AJK HEWI KPT MESIR bersama mahasiswi-mahasiswa baru Terengganu pada jam 4.30 petang. Pertemuan ini dimulakan dengan sedikit suai kenal dan diteruskan dengan pelbagai lontaran pertanyaaan dari tunas harapan mahasiswi baru. Tidak ketinggalan juga barisan kepimpinan HEWI turut berkongsi pengalaman sebagai motivasi dan pembakar semangat untuk terus tekun meneruskan cita-cita menuntut ilmu di Ardhil Kinanah ini.

Mengakhiri ziarah pada kali ini, sedikit kalam taujihat telah disampaikan oleh Saudari Siti Sarah bt Bushari, Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM 2013. Beliau menasihati agar mahasiswi-mahasiswi ini sentiasa optimis dengan segala perancangan Allah SWT dan terus thabat mengharungi segala ranjau dan onak berduri sepanjang menuntut ilmu di bumi Mesir ini.

Semoga kunjungan mahabbah ini menjadi titik permulaan ke arah mengukuhkan kesatuan bersama dan juga perintis untuk melahirkan genarasi terulung dalam mewarisi kesinambungan mahasiswi baru di sini.

"JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN"

Sunday, September 1, 2013

Identiti Muslimah Kehormatan Wanita Sebenar

Mengimbau kembali sejarah, tidak dinafikan wanita telah sekian lama dilabelkan sebagai kaum yang lemah dan tidak mempunyai kepentingan dalam masyarakat. Sehinggalah Islam datang menjernihkan semula martabat wanita dan membawa ke peringkat tinggi seiring syariat yang muliakan di sisi Allah SWT
 
Nabi Muhammad SAW menjadi contoh ikutan kita semua. Nabi SAW menyeru agar kaum wanita menutup aurat bukanlah bagi mengurangkan hak wanita untuk menayangkan keindahan ciptaannya tetapi meninggikan martabat wanita beriman itu menjadi seumpama mutiara yang tidak ternilai. Daripada Anas ra, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
 
Kata Syeikh Sayyid Qutub, tokoh ulama terkemuka Mesir mengenai wanita: “Islam memberikan hak kepada wanita sebagaimana besarnya kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Pendapat kaum wanita dihargai serta kelemahannya pula akan dilindungi”. Untuk meneguhkan kedudukan wanita yang tinggi, tercantumlah  kewajipan, taggungjawab dan peranan wanita dalam satu surah yang panjang dalam Al-Quran iaitu surah An Nisaa (Wanita). Surah ini khusus membahas segala hal serta aspek terkait dengan kaum wanita. 
 
Sebilangan wanita kini tidak segan silu menggayakan pakaian bagaikan pengantin baru apabila setiap kali keluar daripada kediaman. Mereka mengenakan pemakaian mengikut fesyen terkini yang menjolok mata dan menyalahi syariat. Ada yang memakai baju  terlalu nipis hingga terbayang bentuk ukuran badan, berpakaian separuh telanjang, menyimpan kuku panjang, terikut dengan budaya hidup yang bebas dan sebagainya. Cara yang demikian itu adalah meniru orang yang buta akan hal-hal terlarang.
 
Hakikatnya, sebagai insan yang bergelar wanita, mereka mempunyai kewajipan untuk memperkuatkan hubungannya dengan Allah dan menyucikan fikirannya serta wataknya dari sisa-sisa pengaruh barat. Wanita harus bijak agar tidak terpengaruh oleh sikap dan perilaku wanita non-Muslim dan fahaman-fahaman dari Barat. Golongan ini tidak terikat pada perkara halal dan haram, baik dan buruk  sebagaimana garis panduan yang Islam tetapkan kepada wanita.
 
Muslimah yang dikasihi,
 
“Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah”
 
Bersempena Sambutan Hari Wanita 2013 peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 25 Ogos di PWTC yang lalu, HEWI PMRAM mewakili mahasiswi sama ada pengajian Islam dan sains kesihatan menyeru agar seluruh ahli di pelbagai peringkat tidak mengira bangsa agar menyedari peri pentingnya menjaga kehormatan diri sebagaimana diterapkan di dalam agama Islam. Wanita akan dihormati sekiranya mereka memelihara diri mereka sendiri. Para Mujahidin di Syria, Mesir dan negara arab yang lain memiliki jiwa yang besar dan semangat juang yang tinggi kerana mereka dididik oleh wanita yang memiliki kehormatan dan maruah. Jadi, wanita perlu memelihara diri dengan sebaiknya kerana mereka akan mendidik generasi yang akan menghiasi arena perjuangan akan datang. Di sebalik kejayaan seorang lelaki itu, terselit di sana semangat seorang wanita yang berjiwa besar. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.
 
"JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN"
 
Siti Sarah Bt Bushari
Timbalan Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013

Saturday, August 4, 2012

PERANAN DAIE DALAM MEMBAWA HALA TUJU UMMAH


Firman Allah SWT :

ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون

“Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru manusia kearah kebaikan, menguatkuasakan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan”.

Surah Ali-Imran, ayat : 104

Tutur bicaranya yang sopan dan berhikmah tinggi mampu tersentuh pada setiap yang mendengarnya dan akhlaknya yang sangat terpuji pasti terpesona mata yang melihat. Itulah dia pemimpin umat akhir zaman, MUHAMMAD RASULULLAH, contoh terulung sepanjang zaman.


Hidupnya penuh ranjau berduri dalam membawa amanah Allah di muka bumi ini. Dirinya dihina, dikeji dan dicerca namun tidak pernah melunturkan sedikit pun usahanya dalam menyebarkan dakwah. Tugasnya membawa umat menuju keredaan Allah Taala.


Hari berganti hari, bumi terus dimamah usia. Usah leka duhai pemegang amanah Allah. Sesaat terlena umpama bertahun lamanya. Sejarah menyaksikan bagaimana junjungan mulia Muhammad Rasulullah SAW membentuk peribadi muslim di awal penyebaran dakwahnya. Begitulah kita hari ini, tanggungjawab yang sangt besar perlu digalas sebagai penyambung mata rantai dakwah ini. Ia adalah amanah Allah buat makhluknya yang bergelar manusia.


Imam Syahid Hassan al-Banna ada menyebutkan tentang 10 sifat yang perlu ada bagi setiap individu muslim yang unggul adalah :

1. Aqidah yang sejahtera
2. Ibadah yang sahih
3. Akhlak yang mantap
4. Mampu bekerja
5. Berpengetahuan luas
6. Tubuh yang cergas
7. Mampu melawan nafsu
8. Teratur urusannya
9. Sangat menghargai masa
10. Bermanfaat kepada orang lain

Friday, July 20, 2012

REALITI SEMASA MENUJU MATLAMAT


Modenisasi ini kita melihat masyarakat dirundum penularan masalah berkaitan aqidah syakhsiah budaya norma dan moral. Keruntuhan ini melambangkan bahawasanya masyarakat hari ini sudah berjaya dijajah oleh golongan orientalis.

Kejahatan golongan orientalis dalam meneliti agama Islam adalah bertujuan melemahkan Islam secara dasarnya berpandukan perencanaan pelan tindakan mereka yang akhirnya meruntuhkan keperibadian syakhsiah umat Islam.


Dalam mendepani ragam masyarakat yang terdedah kepada anasir Yahudi, (Freemansonry Orientalisme dan Kristianisasi) maka menjadi kewajipan dan tanggungjawab ke atas seluruh masyarakat Islam mengatur langkah serta strategi membasmi wabak ini.

Gerakan ini tidak menular melalui peperangan mahupun kekerasan namun sebaliknya mereka menyerang melalui pemikiran. Begitu licik gerak langkah mereka yang akhirnya mampu menidurkan umat Islam di sepanjang kehidupan.


Propaganda golongan ini tidak akan terhenti selagi mana Islam secara keseluruhannya tidak berada dalam genggaman mereka. Mereka mula meracuni pemikiran golongan intelektual serta ulama agar mengikut tunjuk ajar mereka. Semangat serta kesungguhan mereka bekerja dengan meresapkan pelbagai dakyah serta menebar-luaskan objektif utama sehingga sanggup bersengkang mata.


Oleh yang demikian, yang demikian benteng perrmasalahan ini mampu dirungkai serta diruntuhkan dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Kesyumulan isi kandungan al-Quran yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Saidina Jibril a.s. telah membongkar pelbagai rahsia kezaliman golongan Yahudi dan Nasrani sebagai pengajaran dan teladan.


Selain itu pegangan akidah yang mantap, keimanan yang kukuh serta kefahaman Islam yang baik menjadi perisai utama membanteras agenda berbahaya ini. Umat Islam harus memiliki pengetahuan ilmu yang cukup serta pengetahuan keagamaan yang mantap agar tidak sewenang-wenangnya ditipu.

Persediaan keilmuan merupakan asas dalam berhadapan dengan masyarakat hari ini yang menghadapi pelbagai kemusykilan agama dan kerapuhan aqidah. Penekanan kepada asas-asas Islam dan prinsip Islam harus diketengahkan dalam lapangan masyarakat untuk menanamkan rasa ketelusan beragama serta membebaskan dari kejahatan taghut serta idealisme-idealisme kotor.


Bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam al-Quran al-Karim:


“Dan barangsiapa mencari agama selain Islam dia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi”. (Al-Imran : 85)


Nikmat Islam yang diterima hari ini haruslah dipasakkan dengan akidah yang sejahtera serta disulami dengan kefahaman ilmu yang kukuh. Justeru, mahasiswa Islam haruslah memanfaatkan detik waktu usia serta kelapangan masa ini sebagai bekalan mendatang. Sesungguhnya Allah SWT telah bersumpah dengan masa dalam al-Quran bahkan kalam hukama ada menyebut:


“Masa diibaratkan sebilah pedang. Sekiranya kamu tidak memotongnya maka ia akan memotong kamu”

“Antara sifat seorang muslim adalah memiliki penyusunan masa yang sistematik. Maka menjadi kewajipan serta tuntutan semua mahasiswa Islam meneliti serta mempunyai perancangan dalam organisasi masa. Kelapangan masa sejurus menghadapi peperiksaan peringkat universiti seharusnya dimanfaatkan dengan bijaksana.

Justeru, pimpinan HEWI PMRAM sesi 2012 begitu optimis menyeru mahasiswa agar sama-sama melakukan transformasi ke arah pembentukan mahasiswa bersyakhsiah dan berthaqafah” ujar Ketua Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa HEWI PMRAM Sesi 2012.

"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"


Mardhiah binti Nordin
Ketua Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM 2012

Saturday, July 14, 2012

HEWI PMRAM : “Memperanankan Mahasiswi Berkredibiliti”


Wanita muslimah pada hari ini merupakan satu elemen terpenting dalam masyarakat. Arus modenanisasi telah menyaksikan bahawa kebanyakan wanita hari ini mampu untuk tampil kehadapan serta menyahut cabaran arus globalisasi.

Walaupun keupayaan dan fitrah semulajadi mereka yang lemah lembut, sekiranya dimanfaatkan semaksima mungkin mengikut acuan Islam, sudah pasti mereka mampu mengegarkan dunia moden.

Sesungguhnya wanita muslimah memiliki martabat yang tinggi dalam Islam. Peranan wanita muslimah memberi suatu impak yang besar kepada kehidupan muslim. Sejarah Islam, banyak mencatat tentang pencapaian wanita dalam berbagai aspek kehidupan.

Antaranya Sayyidah Khadijah binti Khuwaylid yang mempunyai kemahiran dalam menguruskan perniagaannya yang setanding dengan orang-orang lelaki di Makkah sebelum dan selepas Islam.

Begitu juga Sayyidah Aisyah binti Abu Bakar telah membuka era baru pencapaian wanita dalam bidang ilmu pengetahuan. Kepakaran dalam keilmuan telah meletakan beliau setaraf dengan ulama terbilang di zaman awal Islam. Ini adalah fakta sejarah yang amat dikagumi dan membuktikan bahawa wanita mampu untuk kehadapan.

Oleh yang demikian, menyedari hakikat peranan wanita muslimah pada hari ini begitu penting, HEWI PMRAM telah menyusun beberapa platform kepada mahasiswi muslimah bagi menjayakan usul HEWI PMRAM yang telah disepakati bersama dalam Muktamar HEWI PMRAM kali ke 25 iaitu “Memperanankan Mahasiswi Berkredibiliti” dengan meletakan beberapa fokus utama :

1) Melahirkan tenaga pengisi di kalangan mahasiswi

2) Memperkasakan medium penerangan

3) Memperkasakan tenaga pengajar dari kalangan mahasiswi

4) Memperkasakan aktiviti kemasyarakatan

5) Menjana mahasiswi berkemahiran


Justeru itu, mahasiswi muslimah seharusnya menyedari tentang peranan dan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Platform yang disediakan di peringkat PMRAM adalah untuk melatih mahasiswi yang berkredibiliti dari segenap aspek agar seiring dengan era modenisasi pada hari ini.

Oleh itu, kerjasama dan peranan di setiap peringkat PMRAM cawangan adalah penting khususnya mahasiswi muslimah bagi melaksanakan usul sekaligus dapat menjayakan usul HEWI PMRAM pada sesi ini.

"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"


Disediakan Oleh,

Atiyqah Binti Yusoff
Naib Pengerusi Hewi I (Unit Perancang Dan Panitia)
Persekutuan Melayu Repulik Arab Mesir 2012

Sunday, July 1, 2012

NILAIAN ILMU SULUHAN KEHIDUPAN


Manusia dan Ilmu merupakan dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Antaranya, saling berkaitan. Tingginya nilaian manusia diukur dari sudut ilmu dan ketakwaan, nilaian ilmu pula akan semakin bertambah kualitinya apabila, ia sering dikaji dan diperbahaskan sama ada dari sudut teori mahupun praktikal. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Allah mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang menuntut ilmu dengan beberapa darjat “.


Sejarah telah membuktikan besarnya peranan ilmu terhadap sebuah masyarakat dan negara. Eropah pada suatu ketika dahulu telah melalui zaman kegelapan di bawah cengkaman kuasa gereja yang pada ketika itu, langsung tidak menerima sebarang perkembangan ilmu. Malah, sesiapa di kalangan mereka yang mendatangkan sesuatu ilmu yang baru, akan dihukum bunuh bilamana ianya bersalahan dengan ajaran gereja. Sepertimana yang telah berlaku terhadap ahli falsafah Galileo Galilei, apabila beliau mengeluarkan kenyataan hasil dari kajian mengenai bumi yang bersalahan dengan ajaran gereja.


Era kegelapan yang menyelubungi Eropah pada ketika itu, akhirnya menemui sinar apabila berlaku kebangkitan melawan kuasa gereja seterusnya, menuju kepada era ketamadunan. Rangsangan kesedaran terhadap kepentingan ilmu telah membawa Eropah menemui kemajuan dan kejayaan yang dikecapi sehingga kini.


Begitu juga perkembangan ilmu yang berlaku di bumi Cordoba dan Andalusia ketika mana dikuasai oleh tentera Islam, mampu melahirkan sebuah negara yang dipandang tinggi dari sudut keilmuan dan ketamadunannya. Akhirnya, ilmu-ilmu dari para ilmuan Islam dicedok oleh golongan barat dan Orientalis untuk diaplikasikan, seterusnya dikembangkan di negara mereka.


Sahabat-sahabat mahasiswi yang dikasihi sekalian,


Mana mungkin siri-siri kejayaan para ilmuan yang berlaku pada zaman lampau mampu direalisasikan tanpa menempuh sekelumit luka dan jerit perih serta kesungguhan dan pengobanan yang jitu. Islam di sepanjang zaman tidak pernah melupakan jasa para pejuang dan srikandi agama yang telah merenjiskan haruman mawar dan lakaran gemilang hasil dari sumbangan mereka terhadap agama.


Dalam meniti arus kehidupan dan pengembaraan ilmu, muslimah tidak terkecuali dalam memperanankan posisi mereka. Penguasaan ilmu dan kemahiran merupakan elemen terpenting yang perlu dititik beratkan oleh seorang muslimah. Coretan-coretan sejarah yang disebutkan telah membuktikan kepentingan ilmu dan peranannya.
Oleh itu, aspek keilmuan tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak. Menyedari hakikat tersebut, Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI PMRAM) pada sesi ini telah membawa satu gagasan amanah yang bertemakan “Julang Keilmuan Jana Keizzahan” untuk dilaksanakan bagi merealisasikan tuntutan umah pada masa kini.


Bermatlamat untuk melahirkan mahasiswi berilmu dan berperanan sebagai daie kepada masyrakat berteraskan al-Quran dan as-Sunnah, beberapa misi dan perangkaan gerak kerja telah disusun bagi menjayakan tanggungjawab dan amanah yang telah dipundakkan diperingkat pimpinan mahupun ahli untuk dilaksanakan bersama.


Kredibiliti seorang muslimah merupakan di antara fokus yang diberi keutamaan pada sesi ini. Keizzahan yang dimiliki oleh sesebuah organisasi mahupun seseorang individu tersebut, tidak hanya dijana dari sudut luaran semata-mata, malahan sudut dalaman lebih perlu untuk diberi keutamaan.


Antara kejayaan yang telah dicapai dalam memperanankan peranan muslimah ialah, peringkat HEWI PMRAM telah mampu untuk melahirkan seramai 40 orang tenaga pengajar dan pengisi dari kalangan muslimah. Ini adalah hasil dari kesungguhan di setiap peringkat individu yang merasakan bahawa erti hidup adalah pada memberi dan keperluan untuk mengisi di setiap kelompangan yang ada. Menjadi harapan di peringkat HEWI PMRAM untuk melihat angka tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.


Justeru, perlu disedari wahai sahabat mahasiswi sekalian,

Muslimah kini menjadi penentu kepada keseimbangan perjuangan Islam. Bahkan muslimah merupakan agen utama dalam membentuk serta mendidik pelapis-pelapis pejuang agama Islam dari peringkat terawal ini sekali gus menjadikan bahawa, kehadiran muslimah ditengah-tengah kelompok masyarakat adalah amat penting.


Maka, peranan muslimah tersebut mestilah dipelihara berlandaskan ilmu dan kefahaman yang jelas mengenai Islam. Ilmu dan kefahaman menjadi penyuluh kepada gerak- geri muslimah agar tidak menjadi mereka yang melampaui batasan dan terlalu tertutup sehingga kewujudan mereka dianggap bagaikan tiada.


Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh mahasiswi di perlembhan Nil ini agar terus merancakkan usaha kita dalam mencedok sebanyak mungkin ilmu sepanjang permusafiran kita di sini. Namun, dalam masa yang sama keutamaan perlulah diberikan terhadap kualiti berbanding kuantiti. Setiap Ilmu, pengikatnya adalah amal. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Maka, teruskanlah memberi sumbangan dalam gerak kerja Islam kerana itu adalah salah satu hak ilmu yang perlu ditunaikan bersama.

“Julang Keilmuan Jana Keizzahan”


Nurul Hasanah bt Yahuza,
Timbalan Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)2012.

Monday, June 18, 2012

Sabar Menempuh Dugaan


“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan : “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi rajiuun”  [QS Al-Baqarah: 155 - 156]

Siswa siswi dirahmati Allah SWT, untuk mengatasi segala ujian dan cubaan ini, tatkala mendekati usia baligh manusia diberi dua kekuatan oleh Allah SWT. Kekuatan pertama ialah kekuatan hidayah untuk mengetahui kebenaran secara tepat. 

Manakala  kekuatan kedua adalah sabar sebagai pelengkap bagi kekuatan pertama yang akan membantu dan menampungnya untuk melawan  hawa nafsu dan godaan syaitan.  Sabar terbahagi kepada 3 bahagian: 

1. Sabar terhadap perintah, dengan jalan mentaatinya. 
Sabar dalam ketaatan merupakan sabar terhadap tugasan  yang amat berat. Seseorang yang taat dan patuh memerlukan sabar dalam tiga keadaan :

Pertama : Sabar sebelum ketaatan,  iaitu dengan mengikhlaskan niat, sepertimana yang selalu disarankan setiap kali sebelum bermulanya program oleh AJK disiplin. Juga sering kita praktikkannya sebelum mengangkat Takbiratul Ihram. Membulatkan tekad untuk terus jujur dan menepati janji ini amat berat bagi orang yang mengerti hakikat niat dan ikhlas untuk membangkitkan iman.  

Kedua :  Sabar ketika  melakukan, iaitu menjadikan hati  tidak lalai kepada  Allah dan tidak malas untuk menepati pelaksanaan peraturan dan hukum yang Allah perintahkan. Melakukan taat bukan untuk habuan tetapi kerana rasa cinta kepadaNya.  

Ketiga :  Selepas menunaikan taat, hati menuntut  kesabaran yang sangat tinggi  dengan tidak merasa bangga dan mendabik dada kerana  riak dan populariti, sehingga mengakibatkan hilangnya keikhlasan. 

2.  Sabar terhadap larangan dan kemungkaran dengan jalan menjauhinya.
Sentiasa sabar melawan kelemahan, kekesalan dan kepayahan  juga merupakan sabar yang amat berat. Seperti yang digambarkan dalam al-Quran berkenaan sabarnya Nabi  Yusuf AS dalam menghadapi godaan isteri al-‘Aziz itu lebih utama berbanding kesabarannya terhadap kejahatan dan tipu muslihat saudara-saudaranya yang mencampaknya ke dalam perigi.

3.  Sabar menghadapi takdir, dengan cara tidak berkeluh kesah
Seseorang tidak boleh merasa cukup dengan satu jenis kesabaran sahaja, kerena ia hidup di antara perintah-perintah yang wajib kita kerjakan dan larangan-larangan yang mesti kita tinggalkan.

Sebagaimana ia juga sentiasa berada di antara ketentuan-ketentuan takdir yang harus kita terima, serta nikmat yang wajib kita syukuri. Kita tidak pernah melepasi dari semua keadaan ini.

Maka sebagai seorang hamba, kesabaran tersebut harus sentiasa kita miliki sampai mati. Kesabaran merupakan satu keadaan  yang sukar dan perlu diusahakan dengan susah payah untuk merasai kemanisannya.

Al-Quran menggariskan  beberapa faktor  dalam  meringankan beban manusia, antaranya : 

1. Memahami erti kehidupan yang sebenar. 
Kehidupan dunia bukanlah syurga kebahagiaan atau tempat tinggal abadi, tetapi medan pelaksanaan tugas dalam menempuh ujian dan dugaan. Al Qur’an menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan dunia penuh kesulitan dan kepayahan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam susah payah.” (QS Al Balad: 4)  

Allah SWT menciptakan kehidupan dunia ini bercampur baur antara kesenangan dan kesusahan, antara kenikmatan dan penderitaan, antara  kebencian dan kecintaan. Tidak akan ada suka tanpa duka, tidak ada kesihatan tubuh tanpa penyakit, tiada istirehat  tanpa segunung lelah, atau pertemuan tanpa perpisahan, juga keamanan tanpa ketakutan. 

2. Yakin akan adanya pahala yang baik di sisi Allah kerana di dalam al-Qur’an tidak ada janji pahala dan ganjaran yang lebih besar melainkan pahala sabar. 
Firman Allah SWT: “Dan orang - orang  yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat yang tinggi dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal, (iaitu) yang sabar dan bertawakkal kepada Rabbnya.” (QS Al Ankabut: 58 - 59) 

3. Beriman kepada takdir dan sunatullah.
Apa yang menimpa diri seseorang bukanlah suatu kesalahan atau kekeliruan atau terjadi secara kebetulan. Semua yang sudah ditentukan takdirNya tidak mungkin salah atau meleset. Takdir Allah merupakan suatu kepastian, baik manusia itu rela menerimanya ataupun menzahirkan kemarahan. Menerima ketentuan, baik dengan sabar ataupun dengan resah gelisah.

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”  (QS Al Hadid: 22 - 23) 

4. Yakin adanya jalan keluar dari musibah
Yakin  bahawa akan datangnya kemenangan dari Allah bagi orang-orang beriman sebagai ganti terhadap ujian dan dugaan yang dialaminya, bakal menghilangkan kegusaran hati, menghapus jiwa putus asa, dan percaya akan hadirnya hari esok yang lebih cerah bakal menanti.

Allah mengurniakan setiap insan itu akal untuk berfikir dengan dipandu oleh iman yang sejahtera dalam menelusur sebuah kehidupan yang sementara menuju Sang Pencipta.

"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Siti Hajar Aishah Binti Sakdon
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan
Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Monday, June 11, 2012

ISRA’ MIKRAJ, BAITUL MAQDIS & PERJUANGAN ISLAM




Tahun Kesedihan

Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada tahun ke-10 kenabian. Tahun tersebut dikenali sebagai tahun kesedihan ekoran kewafatan bapa saudara Nabi SAW iaitu Abu Talib dan juga kewafataan isteri baginda SAW yang kedua-duanya banyak memberikan bantuan serta pertolongan kepada Nabi SAW dalam menyebarkan dakwah Islam dan memperjuangkan Islam.

Tidak hanya dengan kesedihan kewafatan 2 tonggak besar dalam perjuangan baginda SAW, sebelum berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj, Nabi SAW disakiti apabila baginda SAW pergi ke Thaif untuk menyebarkan Islam dan dalam usaha mencari markaz baru di luar Mekah. Namun kedatangan baginda SAW ke Thaif disambut dengan batu yang dilontarkan oleh penduduk Thaif.

Ekoran cabaran yang begitu hebat diterima, satu demi satu cabaran yang menimpa baginda SAW ditambah lagi dengan halangan yang diterima di Thaif, maka ketika perjalana pulang dari Thaif, Nabi SAW mengadu kepada Allah SWT dengan satu doa yang begitu pilu :

“Ya Allah kepada-Mu jua aku mengadukan kelemahanku, kekuarangan penilaianku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkau-lah tuhan (tempat pergantungan) bagi orang yang lemah, Engkau tuhanku, kepada siapa hendak Engkau serahkan akan diriku? Kepada orang jauh yang bermuka masam denganku atau adakah musuh yang akan menguasai urusanku? Aku tidak kisah asalkan Engkau tidak murka kepadaku, sebab sungguh teramat luas pengampunan-Mu kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, agar Engkau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau murka kepadaku. Engkau-lah yang berhak menegurku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan kekuatan selain dengan-Mu.”

Justeru, tahun berlakunya peristiwa Isra’ Mikrak bukan sekadar tahun kesedihan atas kewafatan bapa saudara dan isteri baginda SAW, bahkan ditambah lagi dengan keperitan dalam perjuangan iaitu penolakan kaum Thaif dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW, dengan cara menyakiti Nabi SAW.

Friday, April 27, 2012

HABLUMMINALLAH, HABLUMMINANNAS



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada sahabat-sahabat seperjuangan sekalian.

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinnya dapat kita menikmati dua nikmat yang cukup besar iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Dengan dua nikmat ini kita dapat meneruskan kehidupan kita sebagai seorang muslim yang memakmurkan bumi ini dengan pelbagai agenda dakwah, tarbiah dan sebagainya.

Selawat dan salam kepada junjungan mulia Rasulullah S.A.W, para sahabat yang menjadi pendokong setia perjuangan baginda dan seterusnya penolong-penolong agama Allah sekalian.


Mahasiswa dan mahasiswi yang dirahmati Allah sekalin,

Pertamanya salam imtihan diucapkan kepada seluruh mahasisiwi yang bakal menduduki imtihan tidak lama lagi, semoga kita semua berjaya. Fatrah imtihan merupakan fatrah perjuangan bagi kita untuk mendapatkan kejayaan setelah bertungkus lumus menuntut ilmu sepanjang sesi pengkuliahan kemudian ilmu yang telah dipelajari itu akan diuji untuk memastikan kita benar-benar mendalami ilmu yang dipelajari atau pun sebaliknya.

Inilah tugas sebagai seorang pelajar, nak tengok sejauh manakah ilmu yang dipelajari melekat dalam diri dan juga sejauh mana kefahaman tentang ilmu itu pada diri sendiri.


'Kesihatan yang hilang boleh diperoleh dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang'.

Berdasarkan kata-kata tersebut dapatlah kita simpulkan bahawasanya masa yang berbaki ini hendaklah digunakan sebaiknya supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Usaha dan ikhtiar itu adalah penting sebelum kitah menyerahkan urusan kita kepada Allah SWT sepenuhnya.

Setelah habis mengulangkaji, setelah khatam semua kitab-kitab dan setelah semua urusan kita dengan Allah dan sesama manusia telah selesai maka pada masa itu seharusnyalah kita bertawakkal kepada Allah SWT pula.

Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan dengan manusia ini menjadi kepentingan kepada kita semua kerana di dalam Al-Quran Allah ada menyebut di dalam surah Ali I'mran ayat 112 yang bermaksud:mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali(agama)Allah dan tali (perjanjian) manusia.


Dalam kita tidak sedar ada di kalangan kita secara sengaja atau tidak telah melukakan hati sahabat-sahabat kita yang lain.
Maka dengan itu, marilah kita gunakan kesempatan yang masih berbaki ini untuk memohon maaf dari mereka dan mendoakan insan-insan yang telah berkorban untuk kita ini.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : “Barangsiapa telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati apa yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdo’alah untuknya hingga engkau menganggap bahwa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya.” (Hadith Sahih Riwayat Ahmad)

Saya juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk memohon maaf dari pada sahabat-sahabat atas segala kesalahan yang pernah saya lakukan secara sedar atau tidak. Semoga Allah memberkati atas segala usaha kalian.

Kepada sahabat-sahabat, panjatkanlah doa kepada Allah SWT semoga dipemudahkan urusan semasa menjawab soalan-soalan yang tertera pada kertas soalan nanti, yang penting di sini adalah, usaha itu adalah datangnya daripada kita sendiri.


Sekian sahaja untuk kali ini.bittaufiq wan najah fil imtihan lil islam.

Norlida bt Kelima
Ketua Unit Kebajikan & Kemanusiaan
HEWI PMRAM 2012

'MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN'
'JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN'   

Saturday, March 24, 2012

Direktori Kepimpinan HEWI PMRAM 2012

 

TIMBALAN PENGERUSI HEWI
Nurul Hasanah binti Yahuza
+20111 2415652
timbalanpengerusihewi@pmram.org

NAIB PENGERUSI HEWI I
(Ketua Unit Perancang & Panitia)
Atiyqah binti Yusoff
+20111 8518925
naibpengerusihewi-I@pmram.org

NAIB PENGERUSI HEWI II
(Ketua Unit Dakwah & Pembangunan Insan)
Siti Sarah binti Bushari
+20111 2286882
naibpengerusihewi-II@pmram.org

NAIB PENGERUSI HEWI III
(Ketua Unit Muhafazah)
Norhashima binti Majid
+20111 3591811
naibpengerusihewi-III@pmram.org

SETIAUSAHA HEWI
Shazazierra binti Sharif
+20111 2871396
setiausahahewi@pmram.org

TIMBALAN SETIAUSAHA HEWI
Intan Soraya binti Hashim
+20114 8633432
tsuhewi@pmram.org

NAIB SETIAUSAHA HEWI
(Ketua Unit Pendaftaran)
Nurul Nadirah binti Aw. Mohd Nor
+20111 0889378
nsuhewi@pmram.org

BENDAHARI HEWI
Nur Hidayah binti Mohd Akhir
+20114 7740512
bendaharihewi@pmram.org

UNIT KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN
Nurlida binti Kelima
+20111 8518901
kebajikanhewi@pmram.org

UNIT PENDIDIKAN DAN KOMUNIKASI BAHASA
Mardhiah binti Nordin
+20111 7187341
pendidikanhewi@pmram.org

UNIT PENGETAHUAN DAN PENYELIDIKAN
Nurul Arifah binti Hilmi
+20111 6918937
penyelidikanhewi@pmram.org

UNIT PENERANGAN DAN PENERBITAN
Siti Hajar Aishah binti Sakdon
+20114 6797851
peneranganhewi@pmram.org

UNIT EKONOMI
Siti Mardhiah binti Abdul Malek
+20111 4581636
ekonomihewi@pmram.org

UNIT SAMBUTAN & REHLAH
Siti Nurbalqis binti Baharuddin
+20114 6807239
sambutanrehlahhewi@pmram.org

UNIT KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN KEMASYARAKATAN
Nurul Safinas binti Mohajir
+20111 6035328
kemasyarakatanhewi@pmram.org