PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Showing posts with label al-mauizah. Show all posts
Showing posts with label al-mauizah. Show all posts

Thursday, June 16, 2011

GERHANA BULAN TANDA KEKUASAAN ALLAH


Tanggal 15 Jun 2011, bumi Mesir yang bertuah telah dipertontonkan satu fenomena alam yang cukup mengagumkan iaitu gerhana bulan penuh. Gerhana yang bermula pada jam 8.15 malam dan berakhir lebih kurang pada jam 10.30 malam waktu tempatan merupakan fenomena yang cukup istimewa bagi warga Mesir dan negara sekitarnya kerana dikatakan bahawa gerhana bulan penuh seumpama itu sudah 40 tahun tidak kelihatan di ruang langit bumi Mesir.

Gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. Kejadian ini cuma boleh berlaku ketika bulan purnama dan apabila matahari, bumi dan bulan terjajar pada satu barisan yang sama, atau sangat-sangat hampir.

Adapun penjelasan daripada sudut Islam pula, ia telah dijelaskan oleh Baginda Rasulullah – sollaAllahu `alayhi wa sallam – melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, hadis daripada Sayyidatina `Aisyah yang berbunyi:-

إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ

فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta dirikanlah solat”.

Sebagaimana pesanan para ulama’, perbanyakkan istighfar dan taubat serta perbanyakkan mengingati hari akhirat ketika berlakunya gerhana matahari atau bulan. Maka semua manusia perlu mengambil iktibar daripada fenomena hebat yang berlaku pada matahari, bumi dan bulan tersebut sebelum tibanya fenomena yang lebih dahsyat iaitu terbitnya matahari dari arah barat yang ketika itu tiada yang paling bernilai melainkan iman dan amal soleh.

Tuesday, May 3, 2011

Hiburan Menurut Pandangan Syarak

Melihat kepada perkembangan semasa hari ini, kita melihat banyak perkembangan dari segi hiburan serta unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair mahupun secara globalnya di seluruh dunia.

Malah lebih malang lagi apabila isu ini sudah menular di sekeliling mahasiswa/wi Islam di timur tengah ini. Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini.

Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.

Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat walau dimana kita berada.

Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak. Dalil keharusan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:

"Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."

Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:

"Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana."

Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.

Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.

Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.

Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.

Kesimpulan:

Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat.

Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali.

Setelah kita melihat secara ringkas perbahasan mengenai hiburan dari sudut pandangan syarak , maka dapatlah kita menilai dan membuat perbandingan antara hiburan yang ada disekeliling kita, adakah ia bertepatan dengan pandangan hukum ataupun tidak. Artikel ini juga mampu memberi panduan kepada kita dalam memilih hiburan yang sesuai untuk kehidupan kita seharian agar tidak tersasar dari nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama kita.

Sumber : MANHAL PMRAM

Saturday, August 7, 2010

Renungan Buat Kaum Wanita

Hadis abdulah bin Umar R.A. :

Rasulullah sollallohu alaihi wasallam telah bersabda :

"Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar, iaitu memohon ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka."

Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya : "wahai Rasulullah, mengapa kami kaum wanita lebih ramai menjadi penghuni neraka?"

Rasulullah sollallohu alaihi wasallam bersabda : "maksud kekurangan akal ialah penyaksian2 orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya dan berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka iniloah dikatakan kekurangan agama."

Namun begitu, Rasulullah sollallohu alaihi wasallam juga ada bersabda :

"Seseorang wanita yang mengerjakan solat 5 waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dikehendakinya." (Riwayat Abu Nuaim)

Buat sahabat muslimahku,

Beruntungnya Allah menjadikan kita sebagai seorang wanita. Begitu mudah untuk masuk syurga. Namun, kenapa kaum kita juga yang lebih ramai di neraka?

Mari kita renungkan bersama. Semoga kita semua tidak mensia-siakan nikmat yang Allah beri kepada kita sebagai WANITA.

Saidatina Aisyah pula meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah sollallohu alaihi wasallam bersabda bermaksud :

"Tidaklah seseorang wanita yang didatangi haid kecuali haidnya merupaka kafarah bagi dosa-dosanya yang telah lalu. Dan pada hari pertama haidnya, dia membaca 'Alhamdulillahi 'ala kulli haal wa astaghfirullaha min kulli zanbin', maka Allah subhanahu wata'ala menetapkan baginda bebas daripada neraka, dengan mudah melalui sirat, aman dari segala seksa, bahkan Allah subhanahu wata'ala mengangkat ke atasnya darjat 40 orang syuhada apabila dia selalu berzikir kepada Allah subhanahu wata'ala selama haidnya."

SABDA RASULULLAH SOLLALLOHU ALAIHI WASALLAM : "JAGALAH DIRIMU BAIK-BAIK, USAHAKANLAH KEMULIAANMU, KERANA ENGKAU DIPANDANG MANUSIA BUKAN KERANA RUPA, TETAPI KESEMPURNAAN BUDI DAN ADAB."

Wednesday, July 7, 2010

Isra' Mikraj - masih ingatkah kita?

Mafhum Firman Allah s.w.t. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Peristiwa Isra' dan Mikraj berlaku selapas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian dua insan yang disayangi semakin bertambah dan jika kita fikirkan dari logik akal maka dakwah Islam pasti terkubur.

Namun, kuasa Allah melebihi segala-galanya isitu selepas penolakan dakwah oleh penduduk thaif, nabi telah dihiburkan dengan Isra' Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina daulah islamiyyah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Thaif iaitu ketika penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam, malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.

Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukkit untuk menjadikan bukkit di bawah jagaannyasebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Thaif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Thaif.

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada umat Islam iaitu kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam jerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil dalam negara yang banyak tetapi ia tidak membantu dalam membentuk umat Islam yang bersatu serta menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri umatnya.

Peristiwa Isra' Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin. Malah melalui ayat 1 surah Isra' menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi Isra' dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra' iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggkan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah mlik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.


SEJARAH ISRA' MIKRAJ

Rasulullah sollallohu alaihi wasallam mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mikail. Hati baginda dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimaterikan dengan 'khatimin nubuwwah'. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan 'Isra'' itu.


SEMASA ISRA'
(Perjalanan dari Masjidil Haram ke Massjidil Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Isra') itu Rasulullah diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat yang berkenaan ialah :

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah melakukan hijrah.
ii. Bukit Thursina, iaitu tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu daripada Allah.
iii. Baitul Laham (tempat Nabi Isa dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga bagida Rasulullah sollallohu alaihi wasallam menghadapi gangguan jin 'afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Contohnya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah diberitahu oleh Jibrail : itulah kaummu yang berjihad 'fisabilillah' yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah sollallohu alaihi wasallam diberitahu oleh Jibrail: itulah bau kubur Masyitah bersama suaminya dan anak-anaknya yang dibunuh oleh fir'aun kerana tetap teguh menyatakan Allah itu tuhan mereka.

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitau Rasulullah : Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan.Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.Kata Jibrail:Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum,lelaki dan perempuan,yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.Kata Jibrail:Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.Kata Jibrail:Itulah orang yang makan riba'.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya,tapi ditambah lagi kayu yang lain.Kata Jibrail : Itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail : itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghina) orang.

10.Seekor lembu jantan yang besar dari lubang yang sempit. Tidak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail : Itulah dunia. jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat

12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah s.a.w tidak menghiraukannya. Kata Jibrail : itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail : Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamatnya.

Setibanya di Masjid Aqsa,Rasulullah turun dari Buraq.Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia' dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu.Rasulullah memilih susu lalu diminumnya.Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul.Jika arak yang dipilih,nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


SEMASA MIKRAJ
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga.Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik keatas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama,lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang yang makan riba' dan harta anak yatim dan melihat orang berzina dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga ke langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S dan Nabi Yahya A.S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala(disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, tersuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Nik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini.Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain,Nabi Ibrahim bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya,tawar airnya,dan tanamannya adalah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha illallah allahuakbar dan Wa La Haulawala Quwatta Illabillahil Azim.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul Makmur dan bersembahyang (Baitul Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8.Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sarurul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadratul-Qudus dan Hadratul Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah S.W.T : angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya dari syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih.Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat ( surah Al-Fatihah ) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikan ayat-ayat di akhir surah al- Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwaul-hamd, makaAdam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S kemudian Nabi Musa A.S yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, ( setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.