PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, July 22, 2011

AHLI HEWI KPT MESIR MENGEMBARA KE PALESTIN

KAHERAH, 19 JULAI - Unit Sambutan dan Rehlah HEWI KPT baru-baru ini telah menganjurkan satu program "Pengembaraan Merentasi Bumi Palestin", selepas solat zohor secara berjemaah di Musolla Darul Iman. Program ini dibuka kepada semua ahli yang berminat dan telah mendapat sambutan yang baik daripada mereka.

Program ini dimulakan dengan tayangan berkaitan dengan nasib rakyat di Palestin kemudian diikuti dengan tayangan filem "Valley Of The Wolves Palestine 2011" yang diadaptasi daripada peristiwa Marvi Marmara yang cuba menghantar bantuan makanan kepada rakyat Palestin pada tahun lalu yang begitu menyayat hati. Ahli juga diajak merentasi bumi Mesir ketika peristiwa thaurah dengan beberapa tayangan video yang dapat membangkitkan semangat para pemuda pemudi di abad ini dan memberi seribu erti.

Selepas tayangan berakhir, beberapa orang ahli yang hadir diminta untuk memberi sedikit ulasan berkenaan dengan video-video yang telah ditayangkan. Naib Pengerusi HEWI, Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim juga diminta untuk memberikan kesimpulan akhir bagi program yang telah dijalankan. "Berada di dalam persatuan atau jemaah amat penting bagi kita umat islam untuk menjamin kebangkitan serta kemenangan Islam," kata beliau di dalam ucapannya. Beliau menekankan kepada semua ahli agar sentiasa berada di atas landasan perjuangan dan jangan sekali-kali mudah futhur dengan apa jua ujian yang datang.

Beliau juga berpesan kepada semua ahli agar peka dengan isu semasa dan menjuarai isu terutamanya berkaitan dengan isu umat islam seluruh dunia. Di akhir ucapannya, beliau mendoakan agar semua ahli diberi kejayaan bersama dalam peperiksaan yang dihadapi.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Naib Pengerusi HEWI kepada 2 orang peserta yang datang awal dan beberapa orang yang telah memberi ulasan berkaitan dengan tayangan tersebut serta ucapan penutup daripada Ketua Unit Sambutan dan Rehlah (USR) HEWI KPT, Saudari Nursyazwani binti Jusoh.

"Setelah melihat mahasiswa kini semakin kendur sensitivitinya terhadap isu Palestin, maka HEWI KPT telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini. Isu Palestin bukanlah isu rakyatnya semata-mata, tetapi merupakan isu umat Islam seluruhnya", ujar beliau di akhir ucapannya.