PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, March 15, 2012

SECANGKIR TINTA : THAQAFAH PEMANGKIN GENERASI BERTAQWA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah, rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga kita panjatkan kepadaNya yang telah memberikan kita nafas dan membolehkan kita hidup ditambah dengan kehidupan berlandaskan Iman dan Islam. Selawat dan salam bagi junjungan besar; Muhammad sollallohu ‘alaihi wasallam yang begitu komited mengerjakan usaha-usaha dakwah serta bersusah-payah mengeluarkan umat dari kegelapan kepada sinar cahaya.

Menelusuri sirah Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam, bagaimana beliau bersungguh-sungguh dengan kudrat yang ada, menegakkan Islam walau di sana terdapat pelbagai ancaman dan kekangan, tidak kurang siksaan dan kesakitan yang dilakukan pihak musuh. Namun, dengan kesedaran dan semangat yang tinggi yang ada dalam diri, baginda tidak berputus asa untuk meneruskan kerja-kerja Islam dalam menyampaikan risalah Islam. Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam seorang yang cekal dan tabah, maka wajarlah kita menjadikan baginda sebagai qudwah.


Apa pula tugas kita? Sekadar berpeluk tubuh, dan melihat pada suatu waktu akan datang, Islam itu tertegak di muka bumi ini dengan sendiri? Tidak, kita seharusnya menyambung perjuangan suci baginda Rasulullah sollallohu ‘alaihi wasallam ini! Kita harus berperanan dalam menyampaikan Islam, di posisi mana pun kita berada.

Cari ilmu sebanyak mana yang kita mampu. Tambahlah thaqafah tanpa mengira waktu. Kerana apa yang kita ada, akan menjadi nilai tambah dalam kita menyampai dan menyebar Islam kepada masyarakat. Hak milik kita adalah : apa yang kita miliki untuk berbagi, bukan yang disimpan untuk diri sendiri.


Bersempena dengan pembukaan fasa kedua pembelajaran, marilah kita memanfaatkan waktu yang ada dengan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Tidak terhad kepada kelas-kelas di universiti sahaja, malah kelas-kelas tambahan di luar juga perlu bagi meningkatkan mutu dan kualiti ilmu.
Ingat kembali amanah dan tanggungjawab kita di Mesir ini sebagai mahasiswa. Berlumba-lumbalah menghadiri kuliah, menadah curahan ilmu dari guru-guru, dan di dalam pembelajaran itu terdapat banyak keberkatan.

Selagi mampu berdiri, selagi mampu berlari, burulah cita-cita, genggam erat dan sematkan di dada. Semoga kitalah pewaris perjuangan nabi.

قال الله تعالى : { يَرْفَعِ اللهُ الذِّينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ وَالذِّينَ أُوتُواْ العِلْمَ دَرَجَاتٍ }
 [المجادلة، 58 : 11]

Beruntunglah penuntut ilmu kerana Allah meninggikan mereka beberapa darjat. Maka, ruang dan peluang yang ada tidak sepatutnya disia-siakan. Teruskanlah menerima, supaya kita punya sesuatu untuk memberi dan berbagi kepada masyarakat yang sangat berharap dan percaya dengan kelebihan ilmu yang kita ada.

Salam Mujahadah dan Istiqamah buat seluruh warga Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir. Semoga Allah memberkati usaha dan kesungguhan dalam menuntut ilmuNya.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

“BERILMU DAN BERAMAL”

Disediakan Oleh :-

NAUFAL BINTI KAMARUDDIN
Setiausaha,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.