PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, March 25, 2010

Gempak Mujahidah Berlangsung Meriah

Buat julung-julung kalinya, HEWI KPT menganjurkan Gempak Mujahidah di bawah kelolaan Unit Dakwah, Unit Akademik, Unit Kebajikan dan Unit Perumahan merangkap Unit Kesenian Kebudayaan dan Kemasyarakatan yang menggabung jalin tenaga dan idea di setiap unit. Program selama 3 hari ini dirasmikan oleh Yang DiPertua Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT), Ustaz Mohd Riduan Bin Abu Bakar. Gempak Mujahidah yang diadakan pada 14,15 dan 16 Mac ini bertujuan membina mahasiswi berpengetahuan tinggi disamping menyemai semangat persaudaraan yang kukuh dikalangan ahli bersesuaian dengan tema yang dipilih "Thaqafah Dibina, Cinta Berbunga".


Pelbagai acara, kursus dan program yang diatur sepanjang Gempak Mujahidah ini bagi meraikan seluruh ahli HEWI KPT yang mempunyai pelbagai gaya hidup dan kehendak yang berbeza. Colourful of Islam mendapat sambutan tertinggi oleh ahli lantaran komitmen yang tinggi dari semua pihak menjayakan kemuncak Gempak Mujahidah di malam ketiga sebelum majlis penutup.

Selain itu, Akademi Da'ie juga turut diselitkan dalam Gempak Mujahidah ini dalam usaha melahirkan mahasiswi yang mampu mendepani masyarakat disamping memberi peringatan sesama ahli. Tidak lupa, wakil Unit Hibah dan Biah Solehah PMRAM turut turun padang menjayakan program mega HEWI kali ini. Kursus medical dan hijamah juga berjaya dimasukkan dalam susunan aturcara program.


Pihak HEWI juga turut menjemput pasangan Ustaz Razi Musa dan Ustazah Rusiah Yunus sebagai panelis untuk slot forum bertajuk "Muslimah dan Masyarakat". Slot SOAL HATI pula berlangsung dengan jayanya apabila semua ahli berpeluang memuhasabah antara satu sama lain, membaiki dan terus memajukan diri dalam mendepani kehidupan masa kini yang penuh cabaran.


Permainan catur, ping pong dan ceper juga tidak ketinggalan mengisi tentatif dan mendapat sambutan hebat dari ahli. BBQ pula berlangsung dengan meriah sekali bilamana semua ahli turun padang dan dapat membantu antara satu sama lain, serta merta mencapai objektif yang digariskan iaitu meribat ukhuwah dikalangan ahli.


Gempak Mujahidah berlangsung dengan gilang gemilang dek komitmen padu ahli terhadap KPT. Semoga program sebegini dapat diadakan lagi di masa akan datang supaya ukhuwah di antara kita berkekalan hingga ke akhirnya.

Pihak HEWI KPT merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli yang menjayakan program ini secara langsung dan tidak langsung, terima kasih juga kepada barisan jawatankuasa pelaksana yang bertungkus lumus membantu HEWI KPT menjayakan program. Semoga jasa baik kalian Allah balas setimpalnya. Jazakallahu khairan kathira.