PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, November 18, 2010

Kembara Rabitah Eratkan Ukhuwah

ABBASIAH, 14 November – Bagi menyahut dan menjayakan salah satu pembawakan yang telah ditekankan oleh Unit Biah Solehah PMRAM iaitu Tautan Ukhuwah, HEWI KPT di bawah Unit Dakwah telah menganjurkan satu program bagi mengeratkan hubungan silaturrahim ahli iaitu ‘Kembara Rabitah’. Program ini bertujuan untuk membawa ahli yang berada di Kompleks Darul Iman untuk menziarahi ahli yang berada di rumah sewa sekitar Kaherah. Antara objektif program adalah untuk mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan ahli serta memupuk biah solehah dalam diri mereka. Rumah pertama yang berjaya dijejaki oleh rombongan Kembara Rabitah ialah ke rumah ahli perubatan Universiti Ain Syams yang tinggal di sekitar Abbasiah. Rombongan tersebut disertai oleh 16 orang ahli telah bertolak ke sana pada jam 1.15 petang. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit itu selamat tiba jam 2.00 petang dan disambut baik oleh ahli perubatan yang berada di sana. Mereka telah berkumpul di sebuah rumah ahli untuk mengadakan perjumpaan dan menjayakan objektif program ini. Majlis yang dipengerusikan oleh tuan rumah tersebut, Doktor Nurul Farhana Ismail itu dimulakan dengan sesi taa’ruf ahli KPT bagi memperkenalkan ahli KPT. Naib Pengerusi HEWI, Ustazah Tengku Fathimah binti Tengku Hashim juga tidak ketinggalan memperkenalkan saf kepimpinan HEWI KPT sesi 2010/2011 serta menerangkan serba sedikit bidang tugas setiap unit HEWI. Seterusnya, majlis telah membuka peluang kepada ahli untuk mengutarakan sebarang cadangan atau permasalahan yang dihadapi. Sebelum majlis berakhir, Naib Pengerusi HEWI KPT telah menyampaikan sedikit cenderahati kenang-kenangan daripada saf kepimpinan HEWI KPT kepada tuan rumah di atas sambutan baik terhadap kunjungan rombongan tersebut. Majlis berakhir jam 4.00 petang dengan sedikit jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Pihak HEWI KPT merakamkan jutaan penghargaan di atas segala komitmen yang diberikan.