PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, May 27, 2012

RAHSIA DI SEBALIK DEMAM





Hakikat Demam

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda :


"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air."
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kitab Umdah al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.

Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.

Tuesday, May 22, 2012

SECANGKIR TINTA: BAHAGIA BERSAMA REJAB



Menggapai darjat tertinggi adalah matlamat seseorang yang bergelar hamba. Allah SWT telah memerintah seluruh hambanya melaksanakan kewajipan yang telah termaktub dalam al-Quran samaada ibadah umum mahupun ibadah khusus.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Rejab adalah bulan Allah. Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku.”

Untaian kalam Baginda SAW mengatakan Rejab adalah bulan Allah bermaksud Rejab merupakan bulan kemuliaan dan kebesaran bulan tersebut. Ini kerana pelbagai peristiwa telah tercatit sebagai sirah Islam antaranya pengharaman peperangan hijrah pertama ke Habsyah (Ethiopia) Ghazwah Tabuk kelahiran Imam Syafie RA dan pembebasan al-Quds.

Bahagia bersama Rejab bukan dilihat pada kesungguhan kita meneliti fadhilat serta keistimewaan Rejab sahaja malah kebahagiaan yang dituntut adalah dengan mengisi kebahagiaan itu dengan ibadah-ibadah serta melaksanakan aktiviti-aktiviti dalam ruangan mendekatkan diri kepada Rabbul ‘Izzati.

Umat Islam modenisasi ini perlu memperingati bulan mulia ini bersempena peristiwa agung iaitu Isra’ Mikraj. Perjalanan unik Nabi SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT untuk mengambil kewajipan Solat Fardhu lima waktu. 

Thursday, May 17, 2012

PERBAHASAN MENGENAI MOGOK LAPAR BANDUAN PALESTIN



Definisi

Mogok lapar ialah tunjuk perasaan yang dilakukan dengan tidak makan dan minum selagimana tidak dipenuhi tuntutan yang dikehendaki.

Dalam isu banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar adalah disebabkan kezaliman yang mereka hadapi oleh tentera Israel dalam menahan mereka dan menindas mereka. Banduan Palestin melancarkan mogok lapar berhari-hari adalah demi menunjukkan kepada dunia mengenai keadaan yang mereka hadapi di bawah tahanan tentera Israel dan ia bertujuan agar Israel melepaskan mereka dan mendapat perhatian dunia bagi membela mereka.

Kisah Berkenaan Mogok Lapar

Imam At-Tabrani meriwayatkan, Saad bin Abi Waqas berkata :

“Aku adalah seorang lelaki yang taat dan berbuat kebajikan kepada ibuku. Maka apabila aku telah memasuki Islam, ibuku (tidak memeluk Islam) berkata kepadaku : Wahai Saad, tinggalkan agamamu (Islam) atau aku tidak akan makan serta minum sampai mati (jika kamu tidak tinggalkan Islam). Maka ketika itu orang arab akan memanggil mu ‘pembunuh ibunya’. Lalu aku menjawab dengan tegas : Wahai ibuku, janganlah kamu berbuat demikian, sesungguhnya aku tidak akan meninggalkan agamaku ini selama-lamanya. Lalu ibuku tadi tidak makan dan minum. Bahkan berhari-hari dengan keazaman yang tinggi. Melihat demikian, aku berkata lagi : Demi Allah, wahai ibuku, jika kamu mempunyai 100 nyawa sekalipun, dan satu persatu nyawa tersebut tercabut (mati), aku tidak akan tinggalkan agamaku ini. Jika kamu mahu makan, maka makanlah, maka jika kamu tidak mahu makan, maka kamu tidak perlu makan. Apabila ibuku melihat ketegasanku sebegitu, lantas dia pun makan.”

Makluman Pengagihan baki Dermasiswa Zakat MAIDAM 2012

Assalamualaikum WBT.
Kepada semua penerima Dermasiswa Zakat MAIDAM 2012, anda diminta untuk menghadiri program bagi menerima baki agihan zakat MAIDAM sepertimana makluman berikut :-
Tarikh                   : 21 Mei 2012
Hari                       : Isnin
Masa                    : 9.45 pagi
Tempat               : Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Kuala Terengganu
Penerima Dermasiswa Zakat MAIDAM kali ini dibenarkan untuk menghantar wakil ke program ini. Surat makluman program ini juga tidak akan dihantar ke rumah masing-masing.
Senarai nama penerima baki Dermasiswa Zakat MAIDAM telah diumumkan melalui web KPT Mesir atau klik di sini. Untuk maklumat lanjut mengenai program tersebut, sila berhubung terus kepada pihak MAIDAM melalui Cik Hamida (Tel: +609-630 3030 Samb. 3021)
Kami memohon jasa baik seluruh mahasiswa Islam Terengganu agar sentiasa prihatin terhadap makluman yang akan diberikan dari semasa ke semasa melalui medium sebaran KPT Mesir. Diharapkan dapat disebarkan kepada yang berkenaan.
Sekian, wassalam.

“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”
“BERILMU DAN BERAMAL”

WAN MOHD KHAIRUDDIN BIN WAN ISA
Setiausaha,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2011/2012.

Tuesday, May 15, 2012

KEWAJIPAN UMAT ISLAM KE ATAS BAITUL MAQDIS


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين ، وعلى آله وصحبه أجمعين ، اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه ، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه ، وبعد .

SEKILAS BERKENAN SEJARAH PERISTIWA NAKBAH

                "Tanah Palestin ini bukannya milikku, ia adalah milik umat Islam seluruhnya. Tanah yang mereka perolehi dengan darah mereka, tidak mungkin boleh dijual walau sejengkal. Tetapi sekiranya empayarku berpecah pada suatu hari, mungkin engkau akan memilikinya secara percuma."

Itulah jawapan Sultan Abdul Hamid II kepada Theodore Herzl, sewaktu zionis cuba menggoda agar baginda menjualkan bumi Palestin kepada Yahudi, pada tahun 1901. Mereka menawarkan beberapa juta dinar emas, melangsaikan segala hutang kerajaan Usmaniyah, pembinaan universiti di Palestin di bawah nama sultan dan pelbagai  tawaran lagi. Sultan tetap bertegas dengan pendiriannya, sehinggalah baginda akhirnya digulingkan tentera pada 1908.[1]

Monday, May 14, 2012

Hindari Politik Fitnah Dan Maki Hamun


Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa isu politik yang membabitkan adegan dan peristiwa yang sungguh memalukan negara. Belum reda isu yang berkaitan dengan paparan laporan lucah di muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei yang lalu, timbul pula isu melibatkan tuduhan sebagai 'Bapa Kafir' kepada seorang tokoh agama yang tersohor di negeri Kelantan. Bahkan tohmahan tersebut ditujukan kepada seorang pemimpin yang disanjungi oleh rakyatnya.

Melihat kepada sikap kurang matang segelintir golongan cerdik pandai rakyat negara kita ini, PMRAM merasa terpanggil untuk menyatakan pendirian dan pandangan selaku gerakan mahasiswa Islam yang sentiasa memerhati perkembangan dan situasi terkini negara Malaysia. Tuduhan tersebut telah dilemparkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Setia Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'bapa kafir' menurut sumber (gambar).

Bagaimanpun Tan Sri Rahim Noor menafikan beliau membuat kenyataan sedemikian. Pemberita yang namanya tersiar sebagai salah seorang penulis berita itu, Rahmah Ghazali juga menafikan beliau menulis berita itu.
Walau daripada siapa sekalipun tuduhan ini datang, ia tidak sepatutnya terjadi bahkan ahkbar New Strait Times perlu meneliti terlebih dahulu laporan yang ingin dipaparkan agar tidak menimbulkan fitnah dan kebencian oleh rakyat. Akhbar New Strait Times telah kerap kali mengguris hati umat Islam dan kesilapan ini tidak sepatutnya berulang.
Tuduhan tersebut telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan persepsi negatif serta meningkatkan lagi api kemarahan rakyat terhadap pihak-pihak terbabit. Islam mengajar Umatnya agar sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku dalam kehidupan lebih-lebih lagi apabila di sana terdapat perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan Umat Islam. Islam tidak mengajar Umatnya bertindak diluar daripada apa yang telah digariskan oleh syarak sama ada dari segi perbuatan mahupun perkataan.

Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nisa' ayat ke-148 yang bermaksud :

" Allah tidak menyukai akan perkataan buruk (yang di ucapakan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".

Justeru, sebagai seorang muslim kita seharusnya berwaspada daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat dan boleh menyakiti hati orang lain lebih-lebih lagi kalimah yang dikeluarkan itu ditujukan kepada golongan Ulama ataupun mereka yang hampir kepada Allah SWT. Bukan itu saja, bahkan tidak salah sekiranya saya menyatakan bahawa isu mengkafirkan orang ini adalah melibatkan isu akidah dan pegangan kita terhadap agama Islam. Kita sebagai hamba Allah SWT tidak layak untuk menentukan seseorang itu adalah kafir di pandangan mata kasar kita sekalipun kita melihat mereka itu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

PMRAM mengharapkan agar seluruh ahli politik tanah air bersedia untuk berdebat dan berdialog secara matang dengan hujah dan fakta bukannya menfitnah dan memaki hamun orang lain apabila tidak sehaluan dan tidak sependapat. Islam telah meletakkan garis panduan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang membabitkan pelbagai pandangan.

Begitu juga dengan pihak media dinasihatkan jangan sesekali mengeluarkan berita tanpa diketahui asal-usulnya. Jadilah media yang adil dan matang dalam melaporkan sesuatu isu, bukan memanaskan lagi semarak kebencian rakyat dan mendatangkan fitnah yang menambah celaru.

Kami sebagai golongan anak muda mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih mesra dalam menyelesaikan sesuatu konflik dan masalah bukannya menggunakan politik maki hamun, fitnah, politik lucah dan sebagainya yang boleh mengeruhkan dan memburukkan lagi keadaaan dan suasana harmoni kehidupan rakyat Malaysia.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Friday, May 11, 2012

Trivia ARMA : Merungkai Sejarah

1. 22 Februari 1992 adalah sejarah hitam bagi PMRAM apabila pihak Kedutaan secara rasmi tidak membenarkan PMRAM menggunakan kemudahan di Asrama Rumah Melayu.


2. Pada tarikh 28 April 1992, pintu pejabat PMRAM dipalang setelah mendapat notis supaya mengosongkan pejabat di Asrama Rumah Melayu ( ARMA ).
Ekoran itu, sebahagian ahli PMRAM mengadakan himpunan bantahan yang dibenarkan oleh pihak keamanan Mesir untuk menuntut kembali hak PMRAM.

3. Bersempena 28 April 2012 pada hari ini, genaplah sudah 20 tahun hak PMRAM dinafikan.

4. 1993, berlaku gempa bumi yang menyebabkan kerosakan besar pada struktur ARMA, pejabat PMRAM terpaksa dipindahkan ke tempat baru iaitu di Masakin Othman bagi kerja baik pulih dijalankan.

5. 1994 proses pemindahan sempurna dan ARMA telah dikosongkan.

6. 1996 Walaupun proses baik pulih telah selesai namun ARMA masih belum boleh diduduki sehingga tahun 1999.

7. 1998 ARMA telah dibuka semula pada tahun ini untuk penggunaan dewan. Antara program yang telah dijalankan adalah Majlis Pengenalan dan Silaturrahim (MPS) untuk pelajar-pelajar baru anjuran PMRAM dengan kerjasama JPM yang membenarkan penggunaan semua bilik untuk penginapan peserta.

8. TIGA TUNTUTAN PMRAM :

1. Membetulkan fakta yang telah diseleweng mengenai pemberian tanah oleh kerajaan Mesir kepada kerajaan Tanah Melayu pada waktu itu.

2. Menuntut Anjung ARMA (perpustakaan kini) untuk dijadikan Pejabat PMRAM

3. Meletakkan 3 orang wakil PMRAM sebagai AJK penggubalan sebarang peraturan mahupun undang-undang berkaitan Asrama Rumah Melayu

Thursday, May 3, 2012

“NABI SAW TIDAK PERNAH LAKUKAN” : HUJAH ATAU TIDAK




Antara kefahaman yang salah dalam menilai sesuatu permasalahan untuk menentukan hukum ialah menjadikan alasan bahawa Nabi SAW tidak pernah melakukan perkara tersebut sebagai hujah untuk diharamkan.

Sebagai contoh perbahasan yang lepas iaitu hukum demonstrasi, terdapat pihak yang mengharamkan secara mutlak akan demonstrasi tersebut tanpa menilai dan mengkaji semata-mata berhujahkan bahawa demonstrasi tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW. Justeru, mereka memandang bahawa demonstrasi merupakan perkara yang haram dan bid’ah. Perbahasan mengenai hukum demonstrasi boleh rujuk dalam artikel MANHAL PMRAM yang lepas di http://www.manhal.pmram.org/2012/04/hukum-demonstrasi.html

Hasil daripada kefahaman yang sebegini, apa jua perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW maka ia merupakan bid’ah yang diharamkan. Akhirnya menjadikan masyarakat umum salah dalam memahami Islam yang sebenar serta konteks Islam dalam kehidupan adalah terlalu sempit.

Berlakunya kefahaman yang silap ini adalah disebabkan penilaian dan pemahaman mereka ke atas hadis mengenai bid’ah yang difahami secara zahir tanpa merujuk kepada perbahasan para ulama dan hikmah pensyariatan di dalam Islam ke atas sesuatu hukum.

Maka adakah apa yang tidak dilakukan oleh baginda SAW merupakan bi’dah dan menjatuhkan hukum haram secara mutlak?

Perbahasan Ulama Mengenai Bid’ah

Dalam membincangkan permasalahan mengenai bid’ah, maka ia merujuk kepada sabda-sabda baginda SAW yang menerangkan berkenaan bid’ah.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ أَحْدَثَ في أَمْرِنا هذا ما لَيْسَ مِنْه فَهُوَ رَدٌّ

“Sesiapa yang melakukan sesuatu yang baharu dalam urusan kami (agama) ini maka perkara tersebut bukanlah daripada urusan agama, maka ia adalah tertolak”. – Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat lain oleh Muslim :

مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنا فَهُوَ رَدّ

“Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dan ia bukan daripada urusan kami (dalam agama), maka ia tertolak.”

Daripada ‘Irbadh bin Sariyah, Nabi SAW bersabda :

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وسُنَّةِ الخُلَفاء الراشِدِين المَهْدِيِّين عَضُّوا عَليها بالنَواجِذ وَإِيّاكُم وَمُمْحَدثات الأُمُور فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَة ضَلالَة

“Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku, dan sunnah sahabat Khulafa’ Ar-Rasyidin yang mereka ini diberikan hidayah dan gigitlah ia dengan gigi geraham (berpgang teguh dengan sunnah tersebut), maka jauhilah kami daripada pembaharuan yang yang direka-reka (dalam agama), maka sesungguhnya setiap bid’ah tersebut adalah sesat.”  - Abu Daud dan At-Tirmizi

Maka dalam menerangkan perihal bida’ah menurut syara’, terdapat dua method penerangan mereka :

1-      Imam Al-Izz bin Abdul Salam mengatakan setiap perkara baharu yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW maka ia dikira sebagai bid’ah. Namun begitu, bid’ah terbahagi kepada 5 bahagian iaitu bid’ah yang wajib, bid’ah yang haram, bid’ah yang sunat, bid’ah yang makruh dan bid’ah yang harus. Justeru, untuk menilai apakah hokum bagi sesuatu bid’ah tersebut maka ia mestilah merujuk kepada kaedah-kaedah tertentu dalam syara’. – kitab Qawaid Al-Ahkam Fi Masalih Al-Anam

Imam Nawawi juga menyatakan bahawa setiap perkara baharu yang tidak berlaku berlaku di zaman Nabi SAW merupakan bid’ah, dan ia terbahagi kepada dua samada bid’ah yang baik atau bid’ah yang buruk iaitu diharamkan. – kitab Fathul Bari.

Kesimpulannya, dalam method yang penerangan yang pertama ini, ulama menyatakan maksud bid’ah dari sudut syara’ adalah sama dari sudut bahasa iaitu perkara yang baharu namun mereka tidak menjadikan kesemua perkara yang baharu adalah haram secara mutlak. Akan tetapi mereka membahagikan samada bid’ah tersebut diharuskan atau diharamkan mengikut kaedah-kaedah tertentu.

2-      Ulama mengkhusus maksud bid’ah dari sudut syara’ ialah perkara baharu yang tercela sahaja. Maka sekiranya perkara baharu yang tidak tercela dan diharuskan dalam Islam maka ia tidaklah tergolong dalam lingkungan bid’ah. Justeru, bid’ah ialah perkara yang baharu yang diharamkan sahaja.

Imam Ibnu Rajab Al-Hambali berkata bahawa yang dimaksudkan dengan bid’ah ialah sesuatu yang baharu dan tidak mempunyai nas dalam syara’ yang mengharuskan perkara tersebut. Adapun sekiranya terdapat nas yang mengharuskan perkara tersebut maka ia bukanlah bid’ah sekalipun dari sudut makna bahasa ia merupakan bid’ah iaitu perkara baharu.

Berdasarkan kepada 2 method penerangan ulama berkenaan bid’ah dari sudut syara’ amak ulama bersepakat bahawa hakikat bid’ah yang diharamkan adalah bid’ah yang tidak mempunyai nas-nas dalam syara’ yang mengharuskan perkara tersebut. Adapun jika ia tidak tercela iaitu mempunyai nas-nas yang mengharuskan ia bukanlah menghalang untuk umat Islam melaksanakannya kerana ia tidak termasuk dalam kategori bid’ah yang sesat.

Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa bukanlah setiap perkara yang baharu adalah ditegah dan diharamkan, bahkan perkara baharu yang diharamkan ialah sekiranya ia bertentangan dengan sunnah yang telah dithabitkan. – kitab Ihya’ Ulumiddin

Perbahasan Mengenai Kaedah Asal Bagi Ibadah Dan Adat

Imam As-Syatibi meletakkan garis panduan asas yang cukup penting dalam membezakan antara perkara yang berkaitan dengan konteks ibadah dan adat atau urusan keduniaan. Di dalam kitab beliau Al-Muafakat maka dinyatakan bahawa :

-          Hukum asal bagi ibadah ialah kita mengabdikan diri tanpa melihat kepada sesuatu hikmah dan maksud. Contohnya seperti solat fardhu Zohor diwajibkan pada tempoh sekian, bilangan 4 rakaat dan dalam keadaan bacaan yang perlahan. Maka mengapa perkara tersebut diwajibkan sebegitu, tidak akan dapat dijawab melalui akal dan tidak cukup dengan hikmah yang zahir semata-mata. Apa yang pasti umat Islam wajib melaksanakan sedemikian walaupun tidak tahu apakah hikmahnya diwajibkan sedemikian melainkan hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.

-          Hukum asal bagi adat (urusan keduniaan) adalah melihat kepada tujuan dan hikmah. Contohnya, kewajipan zakat ke atas wang ringgit sedangkan di zaman Nabi SAW ia dikenakan ke atas emas dan perak. Justeru, penggunaan emas dan perak merupakan bentuk dalam urusan keduniaan disebabkan itu melihat kepada hikmah atau tujuan kewajipan zakat ke atas wang rasmi tempatan ialah memberikan hak lebihan orang kaya kepada orang fakir miskin dan golongan yang layak. Justeru, walaupun di zaman sekarang penggunaan wang sudah berubah kepada wang kertas namun tetap merealisasikan tujuan zakat ke atas wang. Hal ini demikian kerana penggunaan wang tadi merupakan dari urusan dunia dan ia berubah mengikut tujuaanya yang dikehendaki. Justeru, kewajipan tetap terjaga dengan pendekatan cara yang berbeza mengikut kesesuaian zaman yang berubah.

Justeru, hukum asal bagi sesuatu perkara yang melibatkan urusan keduniaan adalah diharuskan selagimana tidak terdapat nas-nas yang mengharamkannya. Hal ini demikian kerana ia melihat kepada hikmah dan tujuan. Sekiranya tujuan dan hikmah tersebut tidak bercanggah dengan syariat maka ia diharuskan. Contohnya, skim pinjaman yang ada pada hari ini dengan pelbagai nama yang tidak pernah wujud di zaman Nabi SAW. Maka sekiranya skim pinjaman yang ditawarkan tersebut tidak mengandungi unsur riba dan perkara-perkara yang bercanggah dengan syara’ maka ia dibolehkan walaupun dengan nama-nama skim yang ditawarkan tidak pernah wujud sebelum ini.

Maksud “Kamu Lebih Mengetahui Urusan Keduniaan Kamu”

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa suatu hari Nabi SAW berjalan ke suatu tempat di Madinah yang terdapat di situ satu kaum yang sedang menanam pokok tamar lalu mereka bertanya kepada baginda SAW mengenai cara yang sebenar dalam membiakkan pokok dengan lebih banyak dan baik. Lalu sabda baginda SAW :

أَنْتُم أَعْلَمُ بِأُمُورِ دُنْياكُم

“Kamu lebih mengetahui akan urusan keduniaan kamu.” – Muslim

Maka berdasarkan kepada hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa dalam urusan keduniaan, Nabi SAW menyerahkan kepada umatnya mengikut kemampuan dan kesesuaian zaman mereka. Walaupun baginda SAW tidak pernah melakukan, namun ia bukanlah menjadi hujah sebagai menghalang perkara-perkara baharu yang dilakukan dalam konteks urusan keduniaan. Hal ini demikian kerana wasilah adalah mengikut kesesuaian. Adapun perkara yang ditetapkan oleh nas maka ia mesti dilaksanakan.

Sebagai contoh, Allah mensyariatkan berperang kepada pihak musuh yang menzalimi dan menhalang dakwah Islam bagi memastikan kalimah Allah sentiasa tinggi. Adapun dari konteks urusan keduniaan dalam peperangan seperti jenis senjata, bentuk peperangan tidak ada ditetapkan malahan bergantung kepada kesesuaian zaman. Islam hanya meletakkan garis panduan agar umatnya tidak terlalu sempit dan terlampau. Islam tidaklah terlalu sempit dengan mewajibkan apabila berperang mestilah menggunakan panah, sekiranya menggunakan pistol maka ia dilarang. Islam mengawal agar tidak terlalu melampau sehingga apabila berperang boleh membunuh nyawa yang tidak berdosa. Senjata merupakan wasilah bagi pensyariatan berperang iaitu mempertahankan hak daripada kezaliman dan menjaga dakwah Islam.

Begitu juga dalam konteks urusan keduniaan yang lain jika diqiaskan seperti perubatan, pertanian, pemakaian dan sebagainya.

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang telah diperbincangkan, para ulama bersepakat bahawa “apa yang Nabi SAW tidak lakukan” bukanlah menjadi hujah untuk meghukumkan haram melainkan jika terdapat nas-nas yang memang mengharamkan perbuatan tersebut.

Al-Allamah As-Said Abdullah bin Sidiq Al-Ghamari menulis syair berkenaan permasalahan ini di awal syairnya bahawa :

“apa yang Nabi SAW tinggalkan (tidak lakukan) bukanlah menjadi satu hujah dalam syariat kita. Ia tidak menjatuhkan hokum haram mahupun wajib”

Justeru, dalam displin ilmu, maka dapat kita ketahui bahawa penghujahan di atas alasan “apa yang Nabi SAW tidak lakukan” adalah tidak boleh dijadikan hujah. Maka penilaian ke atas sesuatu permasalahan yang berlaku dalam melihat kepada hukumnya mestilah dilihat kepada rujukan-rujukan dalam Islam, samada yang sepakati oleh ulama iaitu 4 rujukan iaitu Al-Quran, hadis, ijma’ dan qias, atau rujukan-rujukan yang ulama berselisih mengenainya seperti istihsan, istishab, kalam sahabat, perbuatan penduduk madinah, hadis mursal dan sebagainya.

Sehubungan itu, apabila berhadapan dengan permasalahan yang tidak pernah timbul di zaman Nabi SAW seperti sistem demokrasi, demonstrasi, pilihanraya dan sebagainya maka tidak boleh untuk terus menolaknya dengan beralasan kepada “apa yang Nabi SAW tidak lakukan”. Ekoran itu ia mestilah dikaji dengan sumber-sumber yang menjadi rujukan sebagaimana dinyatakan sebentar tadi.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-      Al-Mutasyaddidun, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan Dar Al-Muqattam Lil An-Nasyri Wa At-Tauzi’
2-      Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan Dar Al-Muqattam Lil An-Nasyri Wa At-Tauzi’
3-      Jami’ Al-Ulum Wa Al-Hikam, oleh Ibnu Rajab Al-Hambali, cetakan Muassasah Ar-Risalah Nasyirun
4-      Dirasah Fi Fiqh Maqasid As-Syariah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar Al-Syurouk
5-      As-Sunnah Masdar Lil Makrifah Wa Al-Hadharah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar Al-Syurouk