PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, June 18, 2012

Sabar Menempuh Dugaan


“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan : “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi rajiuun”  [QS Al-Baqarah: 155 - 156]

Siswa siswi dirahmati Allah SWT, untuk mengatasi segala ujian dan cubaan ini, tatkala mendekati usia baligh manusia diberi dua kekuatan oleh Allah SWT. Kekuatan pertama ialah kekuatan hidayah untuk mengetahui kebenaran secara tepat. 

Manakala  kekuatan kedua adalah sabar sebagai pelengkap bagi kekuatan pertama yang akan membantu dan menampungnya untuk melawan  hawa nafsu dan godaan syaitan.  Sabar terbahagi kepada 3 bahagian: 

1. Sabar terhadap perintah, dengan jalan mentaatinya. 
Sabar dalam ketaatan merupakan sabar terhadap tugasan  yang amat berat. Seseorang yang taat dan patuh memerlukan sabar dalam tiga keadaan :

Pertama : Sabar sebelum ketaatan,  iaitu dengan mengikhlaskan niat, sepertimana yang selalu disarankan setiap kali sebelum bermulanya program oleh AJK disiplin. Juga sering kita praktikkannya sebelum mengangkat Takbiratul Ihram. Membulatkan tekad untuk terus jujur dan menepati janji ini amat berat bagi orang yang mengerti hakikat niat dan ikhlas untuk membangkitkan iman.  

Kedua :  Sabar ketika  melakukan, iaitu menjadikan hati  tidak lalai kepada  Allah dan tidak malas untuk menepati pelaksanaan peraturan dan hukum yang Allah perintahkan. Melakukan taat bukan untuk habuan tetapi kerana rasa cinta kepadaNya.  

Ketiga :  Selepas menunaikan taat, hati menuntut  kesabaran yang sangat tinggi  dengan tidak merasa bangga dan mendabik dada kerana  riak dan populariti, sehingga mengakibatkan hilangnya keikhlasan. 

2.  Sabar terhadap larangan dan kemungkaran dengan jalan menjauhinya.
Sentiasa sabar melawan kelemahan, kekesalan dan kepayahan  juga merupakan sabar yang amat berat. Seperti yang digambarkan dalam al-Quran berkenaan sabarnya Nabi  Yusuf AS dalam menghadapi godaan isteri al-‘Aziz itu lebih utama berbanding kesabarannya terhadap kejahatan dan tipu muslihat saudara-saudaranya yang mencampaknya ke dalam perigi.

3.  Sabar menghadapi takdir, dengan cara tidak berkeluh kesah
Seseorang tidak boleh merasa cukup dengan satu jenis kesabaran sahaja, kerena ia hidup di antara perintah-perintah yang wajib kita kerjakan dan larangan-larangan yang mesti kita tinggalkan.

Sebagaimana ia juga sentiasa berada di antara ketentuan-ketentuan takdir yang harus kita terima, serta nikmat yang wajib kita syukuri. Kita tidak pernah melepasi dari semua keadaan ini.

Maka sebagai seorang hamba, kesabaran tersebut harus sentiasa kita miliki sampai mati. Kesabaran merupakan satu keadaan  yang sukar dan perlu diusahakan dengan susah payah untuk merasai kemanisannya.

Al-Quran menggariskan  beberapa faktor  dalam  meringankan beban manusia, antaranya : 

1. Memahami erti kehidupan yang sebenar. 
Kehidupan dunia bukanlah syurga kebahagiaan atau tempat tinggal abadi, tetapi medan pelaksanaan tugas dalam menempuh ujian dan dugaan. Al Qur’an menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan dunia penuh kesulitan dan kepayahan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam susah payah.” (QS Al Balad: 4)  

Allah SWT menciptakan kehidupan dunia ini bercampur baur antara kesenangan dan kesusahan, antara kenikmatan dan penderitaan, antara  kebencian dan kecintaan. Tidak akan ada suka tanpa duka, tidak ada kesihatan tubuh tanpa penyakit, tiada istirehat  tanpa segunung lelah, atau pertemuan tanpa perpisahan, juga keamanan tanpa ketakutan. 

2. Yakin akan adanya pahala yang baik di sisi Allah kerana di dalam al-Qur’an tidak ada janji pahala dan ganjaran yang lebih besar melainkan pahala sabar. 
Firman Allah SWT: “Dan orang - orang  yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat yang tinggi dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal, (iaitu) yang sabar dan bertawakkal kepada Rabbnya.” (QS Al Ankabut: 58 - 59) 

3. Beriman kepada takdir dan sunatullah.
Apa yang menimpa diri seseorang bukanlah suatu kesalahan atau kekeliruan atau terjadi secara kebetulan. Semua yang sudah ditentukan takdirNya tidak mungkin salah atau meleset. Takdir Allah merupakan suatu kepastian, baik manusia itu rela menerimanya ataupun menzahirkan kemarahan. Menerima ketentuan, baik dengan sabar ataupun dengan resah gelisah.

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”  (QS Al Hadid: 22 - 23) 

4. Yakin adanya jalan keluar dari musibah
Yakin  bahawa akan datangnya kemenangan dari Allah bagi orang-orang beriman sebagai ganti terhadap ujian dan dugaan yang dialaminya, bakal menghilangkan kegusaran hati, menghapus jiwa putus asa, dan percaya akan hadirnya hari esok yang lebih cerah bakal menanti.

Allah mengurniakan setiap insan itu akal untuk berfikir dengan dipandu oleh iman yang sejahtera dalam menelusur sebuah kehidupan yang sementara menuju Sang Pencipta.

"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Siti Hajar Aishah Binti Sakdon
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan
Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Monday, June 11, 2012

ISRA’ MIKRAJ, BAITUL MAQDIS & PERJUANGAN ISLAM




Tahun Kesedihan

Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada tahun ke-10 kenabian. Tahun tersebut dikenali sebagai tahun kesedihan ekoran kewafatan bapa saudara Nabi SAW iaitu Abu Talib dan juga kewafataan isteri baginda SAW yang kedua-duanya banyak memberikan bantuan serta pertolongan kepada Nabi SAW dalam menyebarkan dakwah Islam dan memperjuangkan Islam.

Tidak hanya dengan kesedihan kewafatan 2 tonggak besar dalam perjuangan baginda SAW, sebelum berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj, Nabi SAW disakiti apabila baginda SAW pergi ke Thaif untuk menyebarkan Islam dan dalam usaha mencari markaz baru di luar Mekah. Namun kedatangan baginda SAW ke Thaif disambut dengan batu yang dilontarkan oleh penduduk Thaif.

Ekoran cabaran yang begitu hebat diterima, satu demi satu cabaran yang menimpa baginda SAW ditambah lagi dengan halangan yang diterima di Thaif, maka ketika perjalana pulang dari Thaif, Nabi SAW mengadu kepada Allah SWT dengan satu doa yang begitu pilu :

“Ya Allah kepada-Mu jua aku mengadukan kelemahanku, kekuarangan penilaianku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkau-lah tuhan (tempat pergantungan) bagi orang yang lemah, Engkau tuhanku, kepada siapa hendak Engkau serahkan akan diriku? Kepada orang jauh yang bermuka masam denganku atau adakah musuh yang akan menguasai urusanku? Aku tidak kisah asalkan Engkau tidak murka kepadaku, sebab sungguh teramat luas pengampunan-Mu kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, agar Engkau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau murka kepadaku. Engkau-lah yang berhak menegurku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan kekuatan selain dengan-Mu.”

Justeru, tahun berlakunya peristiwa Isra’ Mikrak bukan sekadar tahun kesedihan atas kewafatan bapa saudara dan isteri baginda SAW, bahkan ditambah lagi dengan keperitan dalam perjuangan iaitu penolakan kaum Thaif dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW, dengan cara menyakiti Nabi SAW.

Tuesday, June 5, 2012

Kelahiran Permata KPT

KAHERAH, 2 JUN 2012- Warga Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) bertambah ceria dengan kehadiran seorang lagi permata cilik KPT. Anak kelahiran pasangan Ustazah Habsah Salleh dan Ustaz Saedin Sulong ini selamat dilahirkan pada jam 3.00 petang dengan berat 3.5 kilogram di Hospital Taufiqiah.

Seluruh anggota HEWI KPT Mesir mengucapkan sekalung tahniah buat Ustazah Habsah Salleh dan suami atas kehadiran seorang putera penyeri keluarga. Keadaan bayi dan ibu bayi dikhabarkan baik.

Semoga bayi sentiasa sihat dan membesar dengan baik dan menjadi permata yang menegakkan Islam kelak.


Sunday, June 3, 2012

Kawal Suhu Badan di Musim Panas




Musim panas kini kembali menemui sahabat-sahabat khususnya yang berada di Perlembahan Nil ini. Imtihan fasa dua juga mula rancak membuka tirainya.Ramai dikalangan sahabat-sahabat dilanda sakit seperti : demam, batuk, selesema dan lain-lain apabila tibanya musim ini. Berikut merupakan cara bagaimana mengawal dan menyejukkan suhu badan dimusim panas :-

1. Air sebagai senjata

Minum banyak air merupakan cara terbaik untuk menyejukkan badan dimusim panas. Malahan pakar pemakanan dan kesihatan menyarankan agar air diminum sebelum anda mula rasa dahaga. Oleh itu sebaiknya dimusim panas begini anda membawa sebotol air sebagai bekalan setiap kali keluar rumah. Jika dirumah pula, sediakan sebotol air dan letak ditempat yang mudah dilihat agar mudah untuk anda ingat dan minum setiap kali perlu.

2. Ambil buah-buahan dan sayuran yang mengandungi banyak air

Antara buah-buahan yang mengandungi banyak air ialah tembikai cina yang mengandungi 90% air, tembikai susu (honeydew), betik (mengandungi 91% air) dan nenas (84% air).  Kesemua buah-buahan ini adalah buah-buahan tropika yang memang mudah untuk kita dapatkan dan beli dimana-mana.

Bagi sayur-sayuran pula, timun, tomato dan lobak adalah baik untuk menyejukkan badan kerana ia mengandungi lebih dari 90% kandungan air. Anda juga digalakkan mengambil salad sebagai menu dihari panas bagi tujuan menyejukkan badan. Dan yang tidak kurang penting juga sayur-sayuran ini sememangnya bagus untuk diet yang sihat.


3. Minum jus buah-buahan

Bukanlah jus buah-buahan yang sudah ditambah gula/susu tetapi jus buah-buahan asli. Sebaiknya elakkan dari mengambil minuman bergas, beralkohol dan mengandungi gula yang tinggi.

4. Makan yogurt

Selain dari kaya dengan kalsium dan probiotik (untuk usus dan sistem penghadaman) yogurt juga sebenarnya boleh membantu menyejukkan badan anda.

Dan jangan lupa cuaca panas juga boleh menyebabkan anda sakit kepala. Bagi mereka yang ada migrain pula,amat mudah untuk anda terkena serangan di musim ini. Beware!

Akhir kata, jaga kesihatan, jaga keselamatan, pelihara iman.





Disediakan oleh :-
UNIT KEBAJIKAN
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012