PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, February 28, 2013

|Dakwah; Jalan Kita|


بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون. أشهد أن لا اله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله. اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى اله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان الى يوم الدين,     أما بعد.

Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T, dengan rahmat dan kasih sayangNya atas nikmat-nikmat yang dihamparkan kepada hamba-hambaNya. Rahmat Allah Taala kepada manusia meliputi yang tunduk patuh kepadaNya termasuk juga yang tidak mahu beriman setelah keagungan demi keagungan yang dipersembahkan kepada mereka.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan tiada Kami (Allah) utus sebelummu seorang pun Rasul melainkan Kami
wahyukan kepadanya bahwa tiada Tuhan selain Daku. Kerana itu sembahlah
(taatilah) Aku”
                                                                                                            (Surah Al-Anbiya’: 25)
                                                                                                                                                                                                                                                            
Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengutuskan Rasulullah S.A.W kepada umat manusia supaya beriman kepadaNya serta menjauhkan manusia daripada azab api neraka. Namun begitu, masih ramai lagi yang tidak beriman dek  sifat egois diri yang tidak mengaku keesaaan Allah melebihi segalanya. Mereka tetap berpegang dengan kepercayaan yang dipupuk oleh nenek moyang mereka supaya meneruskan agama mereka dan tidak memperakui kebenaran Islam. 

Hari ini, penganut Islam sendiri ketandusan nilai-nilai Islam dalam diri mereka. Hakikat ini menjadi sebab golongan kafir tidak terpanggil untuk mengenal agama yang suci ini. Ini adalah muhasabah terbesar bagi yang bergelar muslim. Susurilah  jerit perih nabi Muhammad s.a.w  bersama para sahabat demi menegakkan Islam di muka bumi ini. Adakah pengorbanan itu demi kepentingan peribadi? Dan adakah susah payah perjuangan itu hanya untuk hidup selesa dan mewah? walhal, bukan itu tujuan baginda dan sahabat seperti yang dimomokkan oleh orientalis-orientalis barat. Bahkan, gerak kerja mereka adalah membawa manusia mengenal Allah S.W.T yang telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang hina menjadi insan mulia.

Sahabat dan sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,

Untuk menarik golongan kafir masuk kepada Islam suatu perkara yang amat susah. Ada yang berjaya berbuat demikian, tetapi tidak ramai yang berjaya seperti Rasulullah, para sahabat dan para mujahidin. Namun jika dikoreksi kembali, sesama muslim pun  tidak mampu melaksanakannya hatta dakwah fardhiyyah sendiri masih gagal. 

Ketahuilah, dakwah itu berpundak dibahu tholibul ilmi. Ramai yang menyangka usia muda ini hanyalah untuk menuntut ilmu sahaja, tetapi jika direnungkan kembali siapa yang mengenali jiwa muda seperti kalian? Adakah muda mudi pada era ini seperti pemuda di zaman Rasulullah? Sudah tentu tidak. Lihatlah pemuda dan pemudi zaman kini, dimana mereka? Siapa yang menjuarai meningkatkan bilangan anak zina? Siapa yang menyalurkan dana untuk kelab-kelab malam tumbuh bagai cendawan? 

Ada segelintir golongan yang menyatakan “ Eh, zaman sekarang tak sama macam dulu, semua orang dah kenal Islam…”. Ya, sahabat sahabiah sekalian, tetapi adakah ia akan kekal jika para da’ie tidak bekerja keras memahami mereka tentang Islam secara mendalam?

Sahabat dan sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,

Bekerjalah diposisi manapun diri kalian diletakkan. Kita tidak mahu melihat generasi akan datang rosak dek kerana tulang empat kerat ini tidak digunakan semaksima mungkin untuk tegakkan aqidah Islam dalam diri anak-anak muda. Fahamilah jiwa mereka tetapi awas! Jangan sampai terjebak sama, menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan. Para da’ie mestilah mengetahui uslub-uslub dakwah dan sedar bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. 

Darsawarsa ini, remaja dihamparkan hidangan nafsu oleh golongan barat yang sentiasa membanting tulang menyusun gerakan mereka untuk memusnahkan aqidah umat Islam. Dimana pemuda pemudi Islam yang bekerja menghalang golongan ini? Para da’ie harus yakin dan sedar bahawa merekalah yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan para kuffar ini.

Rasulullah telah menunjukkan garis panduan bagi menanam aqidah dan fikrah yang salim kepada umat manusia menerusi jalan dakwah antaranya usrah. Usrah amat penting bagi seorang da’ie bagi melahirkan fikrah yang jelas tentang Islam. Ini kerana mereka merupakan golongan yang menyalurkan fahaman Islam kepada mad’u.

Pada zaman Rasulullah, mereka yang sempat berusrah dengan baginda digelar “rijaalul aqidah” yang mana golongan ini membawa fahaman aqidah yang mantap dan disalurkan kepada umat Islam yang lain. Dan hasilnya dapat dilihat pada setiap zaman akan lahir golongan-golongan yang menegakkan Islam. Mereka berjuang tanpa mengenal penat dan lelah, dicaci dan dihina demi melihat agama suci ini terpasak teguh di muka bumi Allah. 

Justeru itu, para da’ie hendaklah memiliki sifat-sifat seorang yang mendukung agama Allah dengan menghayati Islam itu dalam kehidupan seharian mereka. Malah kewajipan ke atas mereka menyebarkan risalah Islam serta fikrah yang jelas kepada umat manusia supaya mentauhidkan serta mengagungkan kalimah Allah. Tidak ada agama yang suci lagi tulus melainkan “addinul islam” yang diwahyukan kepada junjungan besar kekasih Allah Sayyidina Muhammad sollahualaihiwassalam dan diteruskan kepada para sahabat sehinggalah kepada generasi pendukung Islam yang ada kini. Wallahua’alam.    

Wahai muslimin duhai muslimah, 
 carilah hikmah yang sudah hilang,
sucikan hati mantapkan fikrah, 
 dakwah gemilang Islam terbilang.


"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

"BERILMU DAN BERAMAL" 

  
NASUHA HUSNA MOHD NORDIN
Unit Dakwah,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluara Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2013/2013.


Mansoura Meaningful Date (MOMENT’13)



Mansoura, 6 Februari- Pertemuan antara anak-anak Terengganu di Mansoura bersama saf kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPT Mesir sesi 2012/2013 berjaya diadakan. 

Dalam pertemuan tersebut, diadakan perlawanan bola jaring anjuran barisan HEWI dengan kerjasama anak-anak Terengganu Mansoura. Perlawanan ini dapat dilaksanakan dengan baik walaupun pada mulanya berlaku beberapa kesulitan dengan pihak pengurus gelanggang.

Perlawanan bola jaring mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak Terengganu Mansoura. Malah, perlawanan tersebut turut disertai beberapa orang anak negeri lain sekaligus melahirkan rasa kebersamaaan dan membenihkan kemesraaan antara pihak terbabit.

Pertemuan singkat diakhiri dengan penutup MOMENT’13 yang berkonsepkan santai dengan memberi penekanan tentang kepentingan ukhuwwah antara anak-anak Terengganu yang berada di Mesir samada yang dekat mahupun yang jauh.

Jamuan ringan disediakan bagi meraikan pemain bola jaring dan penonton yang hadir. Sebelum bersurai, para pemain dan penonton sempat merakam kenangan manis dalam sesi fotografi.
Sesungguhnya, ukhuwwah Islamiyyah adalah ikatan persaudaraan atas dasar aqidah iaitu Islam. Tanggungjawab seorang saudara adalah mengajak saudaranya berbuat kebaikan dan sentiasa mengambil berat perihal saudaranya dikala susah mahupun senang.

Saf kepimpinan HEWI KPT mengharapkan semua anak-anak Terengganu membudayakan ziarah antara satu sama lain agar ikatan aqidah yang terpatri lebih subur dan kekal sekaligus menunjukkan kebersamaan di bumi Anbiya’ ini.


Disediakan Oleh:
Unit Perumahan,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.



Saturday, February 9, 2013

Relax Minda





KAHERAH, 25 Januari -  Hal Ehwal Wanita Islam KPT Mesir sesi 2012/2013 di bawah seliaan Jabatan Fasilitator telah mengadakan Liqa’ Gabungan sempena Muzakarah Berkelompok Amali bertempat di Nadi Syabab, Musallas, Hayyu Asyier.

Liqa’ yang bermula seawal jam 7 pagi ini dimulai dengan pengisian rohani oleh Mantan Raisah sesi 2010/2011 iaitu Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim dan seterusnya memberikan amanat beliau yang terakhir sebelum pulang ke Malaysia.

Liqa’ diteruskan lagi dengan perlawanan bola jaring peringkat persahabatan secara liga yang melibatkan tiga kumpulan. Seramai 38 orang ahli KPT yang hadir di Musallas. Seterusnya, perlawanan bola beracun dan bola selipar.

Antara objektif yang dapat dicapai adalah mengeratkan ukhuwah antara ahli HEWI KPT dan memberi kecergasan fizikal kepada ahli menerusi permainan yang telah dijalankan. Program berakhir pada jam 12 tengahari.

Harapan HEWI, semoga ahli HEWI KPT dapat melazimi Muzakarah Berkelompok kerana usrah adalah tunjang tarbiyah.