PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, June 30, 2013

KRITIKAN; PELUNTUR VS PENCETUS SEMANGAT


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji dirafa’kan ke hadrat Allah S.W.T Tuhan sekalian alam, selawat dan salam dihadiahkan buat junjungan besar baginda  Nabi Muhammad SAW penyelamat ummat akhir zaman, serta buat para sahabat, tabi’ tabiin penerus perjuangan menegakkan Islam.

      Mutakhir ini, kita sering dihujum dengan kata-kata cemuhan dan tohmahan terhadap prestasi mahasiswa-mahasiswi keluaran timur tengah. Namun, adakah benar kata-kata ini atau sekadar retorik untuk menjatuhkan himmah kita sebagai penuntut ilmu agama yang akan pulang sebagai pembimbing ummah.

      Catatan perjuangan nabi Muhammad S.A.W, nabi-nabi terdahulu serta para sahabat tidak pernah sunyi daripada dihimpit dengan pelbagai tohmahan, cercaan,  ejekan dan kesukaran membuktikan bahawa itulah sunnah dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Malah perjuangan yang terlalu senang tanpa rintangan yang patut kita ragui, adakah di jalan yang benar atau sebaliknya. Ini terbukti dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.”
                                                                                                    (Surah Muhammad: ayat 31)
Saudara-saudari yang dirahmati Allah sekalian,

      Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang, jika tiada benar masakan berita dicanang. Cemuhan dan tohmahan ini perlu dikaji kesahihannya tanpa dibiarkan sepi tanpa tindakan. Ayuhlah kita bermuhasabah, adakah tohmahan ini berpunca daripada sikap kita yang semberono dalam menyampaikan ilmu tanpa berasaskan dasar yang kukuh atau tanpa kematangan ilmu yang sempurna  atau juga kerana sikap kita dalam berdakwah tanpa menitikberatkan cara dakwah dengan hikmah sepertimana yang dinyatakan di dalam firman Allah Taala yang bermaksud :

”Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik”.                                                                                                                                                                                                      (Surah An-Nahl: ayat 125)

      Situasi ini wajarlah kita hadapi dengan bijaksana sesuai dengan kedudukan kita sebagai tolibul ilm. Jadilah seperti perwira Islam yang sebenar, tidak lesu dek cemuhan, tidak termakan dek hasutan namun terus tegar menebar ilmu menabur jasa demi melihat kedaulatan Islam di tanah air tercinta. Manfaatkanlah waktu yang ada untuk memenuhkan dada dengan ilmu dan kemahiran. Elakkan membazir waktu dengan hiburan dan perdebatan. Satu pepatah arab: Al-qudwah qabla da’wah. Bersedialah sebagai daie mithali sebelum turun ke medan dakwah yang sebenar. Mantapkan akidah ketuhanan, cantikkan akhlak dan perlakuan, tambahkan ilmu pengetahuan dan ikhlaskanlah niat kerana Tuhan.

      Masyarakat celik melihat, dunia bijak menghukum. Andai baik persembahan kita, baik jugalah kata mereka, andai buruk perlakuan kita buruk jugalah pandangan mereka. Usah gentar dengan cemuhan si jahil, ambillah sebagai pembakar semangat untuk terus maju. Beramal dengan Islam di saat kejahilan bertebaran ibarat menongkah arus menerjang badai, namun kebenaran jua yang akan menang akhirnya. Itulah janji Allah yang pasti.

      Akhir kata, saya menyeru kepada semua agar bangkit bersatu menghadapi tohmahan ini dengan bijaksana. Hentikan perdebatan semata-mata untuk kelihatan hebat kerana itu akan membawa perpecahan. Ketahuilah tidaklah hebat seseorang itu dengan sekadar menang dalam perdebatan, namun orang yang hebat adalah orang yang berusaha memajukan diri dengan pelbagai cara dan ikhtiar. 

      Telah warid daripada hadis Rasulullah S.A.W tentang larangan berdebat atau berjidal. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

Tidaklah sesuatu kaum menjadi sesat setelah diberi petunjuk kecuali setelah mereka mendapati jidal.” Kemudian Rasulullah s.a.w membaca ayat, “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah sahaja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar.”                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     


“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

“JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN”


MARYAM BINTI ABDUL GHANI
Unit Kebajikan ,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.

Wednesday, June 26, 2013

Tamarrud : Langkah Berjaga-jaga Sempena 30 Jun



Berikutan kempen golongan penentang kerajaan yang akan melakukan himpunan besar-besaran yang dinamakan " Tamarrud " untuk mengggulingkan Presiden Mesir, Dr Muhammad Mursi pada 30 Jun ini, dengan ini Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menasihati kepada seluruh warganegara Malaysia di sini agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Sebagai persediaan menghadapi situasi pada hari tersebut, PMRAM mengharapkan agar semua rakyat Malaysia mengambil langkah keselamatan sebagaimana berikut :

1. Menghentikan segala aktiviti rehlah dan percutian ke semua tempat bermula daripada 28 Jun.
2. Tidak membenarkan mana-mana mahasiswa terlibat dan menghampiri sebarang himpunan yang diadakan sama ada di Kaherah mahupun muhafazah dalam tempoh waktu tersebut.
3. Dinasihatkan kepada mereka yang akan pulang ke Malaysia agar tidak memilih tarikh tersebut. Bagi yang tinggal di muhafazah dinasihatkan untuk datang awal ke Kaherah.
4. Meningkatkan tahap keselamatan diri masing-masing dan mengurangkan aktiviti luar.
5. Mematuhi makluman dan pekeliling keselamtan yang telah dikeluarkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah (KBMK).
6. Sekiranya berlaku sebarang masalah sila laporkan kepada Yang Dipertua Badan Kebajikan Negeri  (BKAN) atau Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) atau terus menghubungi Tuan Presiden PMRAM ditalian 0111-3771841.

PMRAM mengharapkan agar seluruh mahasiswa dan mahasiswi sentiasa peka dan mengikuti  perkembangan keadaan semasa dan mematuhi segala arahan yang akan dikeluarkan oleh pihak PMRAM dan KBMK dari masa ke semasa melalui medium penerangan lawan web dan facebook rasmi PMRAM.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Abdul Aziz Bin Ali
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013

|MAKLUMAN|

Assalamu'alaikum WBT.

Sukacitanya dimaklumkan bahawa pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir Sesi 2012/2013 telah bersetuju melantik Pengarah & Timbalan Pengarah Unit Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) PMRAM Cawangan Terengganu 2013, sebagaimana berikut : -

1. Pengarah iaitu : Saudara Wan Mohd Khairuddin bin Wan Isa.
(Timbalan Yang Dipertua KPT Mesir 2012/2013)
+2011 4043 5469 atau email : khairuddin_25@yahoo.com.my

2. Timbalan Pengarah iaitu : Saudari Samihah binti Ismail.
(Ketua Unit Akademik Hal Ehwal Wanita Islam KPT Mesir 2012/2013)
+2011 4245 2944 atau email : srikandi_mia91@yahoo.com

Oleh itu, segala makluman dan permasalahan yang berkaitan terutama kepada Mahasiswa Baru bagi Sesi 2013/2014 boleh merujuk kepada Pengarah (ikhwah) & Timbalan Pengarah (akhawat) yang telah dilantik.

Sekian, wassalam.

“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”

“BERILMU DAN BERAMAL”

Hormat dari saya,

ABDUL MU’IZ BIN AZHAR
Setiausaha,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.

Permata KPT Nik Nur Aliya Syakirah

Kaherah, 23 Jun- Pimpinan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPT Mesir telah menziarahi pasangan Ustazah Noorul Bariah binti Sulaiman dan Ustaz Nik Rosdi bin Nik Jusoh atas kelahiran bayi perempuan seberat 2.25 kg. Bayi perempuan yang diberi nama Nik Nur Aliya Syakirah binti Nik Rosdi selamat dilahirkan secara normal di Hospital Taufiqiah.

Saf kepimpinan mengambil kesempatan tersebut untuk mengucapkan sekalung tahniah atas kelahiran anak kedua yang merupakan anugerah berharga dari Allah buat mereka. Pihak kepimpinan turut meluahkan rasa gembira dapat meluangkan masa menjenguk bayi yang sihat dan comel itu.


Anak adalah amanah daripada Allah. Peranan ibu bapalah yang mencorakkan anaknya menjadi insan yang berguna untuk ummah. Sehubungan itu, HEWI KPT Mesir mewakili anak-anak Terengganu di Perlembahan Nil ini mendoakan agar Nik Nur Aliya Syakirah membesar sihat dan menjadi mujahidah yang solehah kebanggaan ummah.


#Nik Nur Aliya Syakirah binti Nik Rosdi#

KENYATAAN RASMI YDP MENGENAI ISU MAHASISWA TERENGGANU MESIR



          
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada kepada Allah SWT atas kurniaan Iman dan Islam serta peluang dalam melaksanakan tugas selaku hamba, selawat dan salam buat Junjungan Besar Baginda s.a.w. sebagai ikutan dan tauladan ummat sepanjang zaman, dan kaum kerabat serta para sahabat yang bersama-sama dalam medan perjuangan Islam yang penuh dengan cabaran serta mehnah dan tribulasi yang mendatang.

Sesungguhnya, saya selaku wakil pimpinan persatuan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) Mesir sesi 2012/2013 menafikan tuduhan terhadap mahasiswa Terengganu di Mesir dan melahirkan rasa kekesalan dengan ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad bin Said dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu kali pertama baru-baru ini.

Antara ucapan yang mengguriskan hati kami seluruh penuntut ilmu yang berada di Mesir, baik yang statusnya berwarganegara Malaysia amnya dan khusus kepada Mahasiswa/wi Terengganu dengan mengatakan bahawa sistem pembelajaran Al-Azhar adalah lemah dan juga tuduhan-tuduhan kepada Mahasiswa/wi anak Terengganu yang tidak berasas.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat enam, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Pihak KPT Mesir ingin menyatakan bahawa mahasiswa Terengganu di Mesir sedang terkehadapan dalam pelbagai bidang dan berjaya memanfaatkan ilmu yang dipelajari di Al-Azhar untuk pelbagai latar belakang masyarakat samada di Mesir mahupun di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, KPT Mesir mengharapkan agar kerajaan negeri Terengganu dapat mempertimbangkan semula penghantaran pelajar Terengganu ke Mesir samada dalam bidang pengajian Islam mahupun Perubatan. 

Selain itu, KPT Mesir yang menaungi seluruh anak-anak Terengganu di Mesir ini memohon jasa baik kerajaan negeri Terengganu dapat memberikan perhatian yang lebih baik lagi dalam aspek kebajikan dan pendidikan buat mahasiswa/wi Islam di Mesir. Walaubagaimanapun, KPT Mesir bersikap terbuka dengan apa yang dikatakan tersebut sebagai satu nasihat kasih sayang seorang ayah kepada anaknya yang inginkan kemajuan ketamadunan anak jati Terengganu itu sendiri.


“BERILMU DAN BERAMAL”

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN” 

Hormat dari saya,

MOHD ZAHANI BIN ABDUL GHANI
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.

Tuesday, June 11, 2013

Ziarah Tanda Ingatan

TANTA, 03 Jun- Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah mengambil peluang turun ke muhafazah Tanta untuk menziarahi Puan Nurul Hidayah binti Musilehat dan pasangan, Ustaz Abdullah Mukhlis bin Abdul Rahman sempena kelahiran cahaya mata ketiga mereka.

Alhamdulillah, putera  tersebut selamat dilahirkan pada 30 Mei 2013 jam 11.30 pagi tanpa mengalami sebarang masalah.

Dalam kunjungan tersebut, pihak HEWI KPT Mesir sempat bertanya khabar serta beramah mesra dengan tuan rumah. Kunjungan tersebut berakhir sekitar jam 5.00 petang. Pihak HEWI mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Nurul Hidayah sekeluarga di atas layanan baik yang telah diberikan.

Semoga bayi yang dilahirkan ini membesar dengan sihat dan menjadi mujahid buat ummah.