PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Saturday, August 31, 2013

Merdeka Tiada Makna



Pendidikan

Merdeka tidak membawa apa-apa makna jika disambut dengan hiburan yang melalaikan. Sambutlah untuk kali ke sejuta tahun sekalipun, tapi kalau generasi pewaris ini tidak di didik, malah di ajar pula menyambutnya dengan konsert, pesta liar, mereka tidak akan memahami erti sebenar kemerdekaan. Buang masa, duit, dan tenaga.


Mengapa semangat cintakan negara, semangat kibarkan jalur gemilang semakin pudar kepada rakyat Malaysia? Mungkin kerana mereka tidak merasakan Malaysia itu negara mereka, atau mungkin tidak mendapat manfaat dalam erti kata yang sebenar daripada hasil kekayaan negara.


Cinta Itu Memberi Dan Menerima

Jika mereka ini penat bekerja saban hari, tapi hidup tidak pernah senang dengan kenaikan kos harga barang, peningkatan kadar jenayah dan keruntuhan sistem kekeluargaan. Mungkin ia menjadi faktor mengapa rakyat Malaysia kurang bersemangat menyambut hari penuh bersejarah negara kita. Terbaru kita dikejutkan dengan puluhan kongsi gelap.


Kemerdekaan Melalui Perspektif Islam

Kita sebenarnya tidak pernah merdeka dalam erti kata bebas daripada ketaatan, kepatuhan dan kehambaan kepada Allah. Merdeka mungkin dari sudut luaran, penjajahan. Namun jiwa, pemikiran dan aqidah kita tidak boleh merdeka daripada Islam dan hukum-hakamnya.


Kita Merdeka jika berjaya membebaskan rasa kehambaan kita kepada dunia, manusia kepada ketaatan dan kepatuhan kepada Allah dan undang-undangnya.


Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Malaysia ke-56, semoga Allah SWT pelihara negara kita daripada sebarang anasir yang boleh mengancam kedaulatan dan keamanan negara. Semoga Malaysia terus dipelihara Allah dan tunduk kepada hukum hakamnya.

Kata Al-Imam Al-Ghazali:

"Kalaulah tidak kerana hakim dan ulama yang jahat pastinya akan berkurangan kejahatan / keburukkan pemerintah kerana ia (pemerintah ) takut penolakkan mereka yakni (hakim dan ulama). Tapi apabila hakim/ulama yang ada jahat maka pemerintah tidak akan takut kepada penentangan hakim / ulama. Maka bertambah kerosakkan."
Dunia hari ini telah membuktikan, kemajuan, keamanan dan kemewahan dunia yang berlandaskan pemikiran dan kehendak manusia semata-mata tidak akan membawa apa-apa makna dan akhirnya tamadun ini akan musnah. Apa yang lebih penting selaku orang yang beriman adalah mencari keredhaan Allah SWT serta melaksanakan suruhannya.
Seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Sabaa' ayat 15:

بلدة طيبة ورب غفور

Maksudnya : Negara yang baik dan mendapat keampunan daripada Allah SWT.
Maka, PMRAM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia di seluruh peringkat untuk sama-sama kita menghayati erti sebenar kemerdekaan, mensyukuri nikmat keamanan, serta bersama bersatu membangun, memajukan negara Malaysia yang kita cintai dalam masa yang sama mendapatkan keredhaan Allah SWT.


"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"


Muhammad Al-Amin Bin Hj. Salleh
Setiausaha Agung
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013

Thursday, August 1, 2013

Merealisasikan Momentum Tarbiah Ramadan

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah : 183)
 
Segelintir berpendapat Ramadan adalah bulan menambah kekuatan rohani atau spiritual, dan ia merupakan satu bukti kelebihan berpuasa di bulan Ramadan. Di bulan yang mulia ini, umat Islam lebih mudah melakukan ibadah puasa yang mungkin sukar dilakukan pada waktu-waktu lain. Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti istiqamah solat berjamaah dalam setiap waktu dan meninggalkan dosa-dosa kecil
 
Namun terkadang keghairahan ini dirasai pada permulaan Ramadan sahaja. Apabila bulan mulai mengecil, semangat dan keghairahan merebut keberkatan kian Ramadan pudar, lebih-lebih lagi dengan kekerapan lagu-lagu raya didendangkan berbanding alunan suci ayat Al-Quran.
 
Implikasi daripada tarbiah  madrasah Ramadan boleh kita rasai sehingga pengakhiran bulan malah dapat menjadi benteng bagi 11 bulan yang berbaki kerana dengan berpuasa selama sebulan diikuti enam hari dalam bulan Syawal adalah ibarat berpuasa selama setahun.
 
Alangkah berertinya jika sebulan Ramadan ini kita sama-sama membina saf kesatuan yang padu hanya untuk-Nya, bukan sekadar tajarrud kepada Ramadan atau imtihan yang nyata untuk kepentingan diri sendiri yang bersifat sementara kerana kita diciptakan bukan untuk menjadi hamba Ramadan dan imtihan tetapi menjadi khalifah, hamba kepada Sang Khaliq.
 
Dalam memastikan pemenjaraan syaitan yang telah bersumpah setia untuk memperdayakan anak-anak Adam sehingga hari kiamat ini benar-benar terealisasi dalam diri kita, momentum sepertiga malam perlu ditanam dan disemai kerana semboyan jihad telah lama dicanangkan dalam memerangi godaan syaitan.
 
Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita hamba yang lebih bertaqwa ke arah pembinaan perisai nan kukuh dalam menghadapi sang syaitan pabila menyingsing fajar lebaran nanti
 
"JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN"