PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, June 28, 2011

AGENDA PENDIDIKAN : USAHA PMRAM WAJAR CONTOHI

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mercu tanda penyatuan komuniti mahasiswa Islam Malaysia di Mesir. Kewujudannya sejak tahun 1930 telah banyak mencatat dan melakar memori gemilang sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam tertua di sini.

Kebajikan dan kecemerlangan mahasiswa menjadi agenda utama PMRAM untuk direalisasikan sebagaimana hasrat penubuhannya. Pengalaman PMRAM mengemudi bahtera gerakan mahasiswa Islam menjadikannya muncul sebagai wadah kesatuan mahasiswa di “Ardul Kinanah”.

Usaha yang bersungguh-sungguh menjadi bukti komitmen PMRAM untuk melahirkan generasi ilmuan Islam dan mampu menyampaikan dakwah Islam untuk ummah.

PMRAM sebelum ini dilihat telah beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Malaysia dan Universiti al-Azhar bagi membincangankan isu pendidikan mahasiswa Islam di bumi Mesir ini.

Majlis-majlis ilmu yang dianjurkan juga terus subur menjadi inspirasi buat mahasiswa menambah thaqafah di dada mereka sebagai persediaan untuk turun ke medan di tanah air kelak. Kesedaran terhadap menuntut ilmu sentiasa diterap dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah dijalankan.

Oleh kerana itu, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT Mesir) selaku PMRAM cawangan Terengganu sentiasa menyokong usaha murni yang telah diambil oleh pihak PMRAM Pusat sejak sekian lamanya.

“Usaha dan perhatian PMRAM bagi memastikan kejayaan dan kebajikan pendidikan mahasiswa sentiasa terbela, wajar diberi penghargaan dan dicontohi oleh semua pihak” tegas Yang Dipertua KPT Mesir, saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar ketika ditemui.

Ketua Biro Akademik KPT Mesir, saudara Mohd Zahani bin Abdul Ghani pula berkata, pihak KPT Mesir melalui Biro Akademik sentiasa komited bagi meningkatkan thaqafah di kalangan ahli bagi menyahut saranan PMRAM Pusat dan sejajar dengan kehendak agama Islam.

Semoga segala bentuk perencanaan pendidikan yang telah disusun dan dirancang oleh KPT Mesir dapat menghasilkan kejayaan yang cemerlang dalam kalangan mahasiswa Terengganu Mesir khususnya.

Akhirnya, pihak KPT Mesir mengucapkan sekalung penghargaan atas usaha PMRAM Pusat. Moga ia menjadi contoh buat semua pimpinan PMRAM di peringkat cawangan mahupun ahli.

Wednesday, June 22, 2011

BERSAMA MENGHAYATI PERISTIWA AGUNG ISRA MIRAJ

Alhamdulillah, memanjat setinggi-tinggi ke syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnianya masih diberi dua nikmat yang besar iaitu nikmat Iman dan Islam.


Kesempatan di bulan Rejab ini, PMRAM mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan kepada seluruh mahasiswa Pengajian Islam dan Perubatan di bumi Mesir.


Di samping kesibukan dalam menghadapi peperiksaan marilah kita sama-sama juga memperingati peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW.


Firman Allah SWT,

Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ”.
Surah Al-Isra’, ayat:1


Tanggal 27 Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah Al-Munawwarah mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan baginda SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad SAW pada malam hari dengan menuggang Burak bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.


Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi Muhammad SAW ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.


Sepanjang perjalanan israk Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:


1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.


2. Tempat yang berbau harum.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).


3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.


6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.


7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.


8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.


10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.


11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.


12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.


13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.


Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan seluruh para nabi dan rasul untuk mengerjakan solat dua rakaat.


Selepas itu, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Malaikat Jibrail AS dua gelas yang berisi arak dan susu. Baginda memilih susu lalu diminumnya. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Dan sepanjang perjalanan mikraj Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. baginda naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).


1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.


2. Langit Kedua: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa AS dan Nabi Yahya AS.


3. Langit Ketiga: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.


4. Langit Keempat: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris AS.


5. Langit Kelima: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.


6. Langit Keenam: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.


7. Langit Ketujuh: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim AS bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘la haula wa la quwwata illa billah’” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: ‘suhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim’. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke dalam Baitul-Makmur dan mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).


8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” pada dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.

Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik pennjaganya.


9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW. masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT. Kemudian, Allah SWT memfardhukan solat 50 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat Islam.


Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS dan kemudian menemui Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Setelah daripada itu, Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula dan seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk pulang ke Makkah Al- Mukarramah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.


(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)


Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita hendaklah menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.


Sekiranya kita dapat menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa penting ini, kebarangkalian besar kita mampu mengelakkan diri kita daripada melakukan kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT dan berlumba-lumba untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang diperintah oleh Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj juga, untuk menguji umat Islam bahawa adakah percaya atau tidak akan peristiwa tersebut.


Orang kafir quraisy Makkah di zaman Nabi Muhammad SAW langsung tidak mempercayai peristiwa itu, malahan memperolok-olokkan baginda sesetelahnya bercerita kepada mereka dan ramai di kalangan umat Islam ketika itu murtad kerana tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj baginda SAW dalam tempoh masa yang singkat berlakunya dan tidak masuk akal. Tinggallah segelintir umat Islam yang keimanan mereka tinggi dan teguh yang membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh baginda SAW.


Pensyariatan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam merupakan pensyariatan secara langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW berbanding pensyariatan Islam yang lain dengan perantaraan Malaikat Jirail AS dan sebagainya.


Disediakan oleh :
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI
PMRAM 2011


SUMBER: www.pmram.org

Tuesday, June 21, 2011

AL-QURAN ADALAH REALITI BUKAN FANTASI

Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan ajaran Islam.

Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadamkannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan memadamkannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadamkan Surah Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.

Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini.

Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, ratq bermaksud 'bercantum' dan fataq yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan. Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun. Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.

Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.

Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat mengukur iaitu ilmu Fiqah. Ilmu Fiqah menyerupai ilmu Fizik di dalam sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal. Ini bermakna Fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.

Kebanyakkan saudara baru selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah dengan mengunakan peta Mercator, kemudian letakkan satu hujung pembaris ke arah si pencari berdiri dan satu hujung pembaris lagi pada arah Mekah, buat satu garisan menggunakan pen dan itulah arah kiblat.

Ramai juga muslim menggunakan konsep bulatan agung (Great Circle Concept) yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III, seorang Ahli Matematik.

Sepanjang sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan masa mereka untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti astrolabe, di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk pelayaran dan penjelajahan. Perlu diingati, kiblat pertama umat Islam sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jeruselam dan umat terdahulu berkongsi arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah kiblat telah berubah selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad SAW. Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat menjadi urat nadi umat Islam.

Persoalan arah kiblat menjadi mudah di negara di mana penduduknya adalah majoriti Islam kerana telah dijawab beratus tahun dahulu oleh nenek moyang mereka yang juga beragama Islam. Tetapi oleh kerana proses mobiliti dan penyebaran populasi yang dibawa oleh sejarah pengkolonian, pembaharuan oleh era globasisi dan penghijrahan umat Islam secara besar-besaran telah mencipta satu keperluan untuk menentukan arah kiblat yang lebih tepat di negara-negara yang mempunyai Islam minoriti seperi Amerika, Australia dan New Zealand.

Contohnya, kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit, Amerika, ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada tahun 1978 seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah mencadangkan bahawa arah kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut dan cadangan ini diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.

Saturday, June 18, 2011

KENYATAAN RASMI MANHAL PMRAM TERHADAP KARIKATUR UTUSAN


Merujuk karikatur yang dimuat dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usahamempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikitpun membela hak dan maruah manusia. Dalam surah al-Taubah, ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:-

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.(66)

Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keislaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah SWT.

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya. Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan qarinah untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.


Menurut Imam al-Jurjani dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28:-

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”.
Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti.


Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai pada zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru MANHAL PMRAM mencadangkan beberapa inisiatif bersama seperti berikut:-

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agam Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Rujukan:-

1) Tafsir Ayat al-Ahkam, Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni.
2) al-Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaili.
3) Majmu’ Syarah Muhazzab, Imam Nawawi disempurnakan oleh Syeikh Najib Muthi’iy.
4) Feqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili.
5) Feqh al-Sunnah, Sayyid Sabiq.
6) al-Nizam al-Qadha’ie Fi al-Feqh al-Islami, Dr. Muhammad Ra’fat Uthman.

Fellow MANHAL yang terlibat:-

1) Mohamad Hanif Bin Haron.
2) Abdul Mu’izz Bin Muhammad.
3) Shahrizan Bin Mohd Hazime.
Sumber : MANHAL PMRAM

PELUANG TERBAIK BAGI MAHASISWA MATRIKULASI AL-AZHAR

KAHERAH, 17 Jun – Mahasiswa matrikulasi al-Azhar yang mengikuti Kursus Bahasa di Universiti al-Azhar, Hayyu 6 akan melanjutkan pelajaran mereka di bidang yang telah mereka pohon sebelum ini.

Ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa mereka akan dimasukkan ke Kuliah Ulum Islamiyah, Universiti al-Azhar yang telah ditubuhkan pada tahun 2008.

Setelah pertemuan pihak PMRAM bersama pihak pengurusan al-Azhar, maka inilah makluman yang berjaya diperolehi.

Bagi mahasiswa yang berada di tahap pencapaian sederhana dan rendah ketika mengikuti Kursus Bahasa tersebut, mereka akan mengikuti Kelas Intensif Musim Panas.

Untuk mahasiswa yang sudah menguasai pencapaian yang tinggi dalam Kursus Bahasa Matrikulasi al-Azhar pula akan terus melanjutkan pengajian mereka ke peringkat Sarjana Muda, Universiti al-Azhar mengikut bidang yang telah dipohon sebelum ini .

Begitu juga untuk mahasiswa baru sesi 2011/2012, mereka akan melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar dalam bidang dipohon dengan syarat mereka lulus dalam peperiksaan kelayakan yang diadakan.

Perkara ini telah disahkan oleh Prof. Madya Dr. Haji Suaidi bin Dato’ Haji Safei, Pengarah Education Malaysia Egypt (EME) ketika pertemuan yang diadakan bersama pihak PMRAM beberapa hari yang lepas.

“Ini merupakan peluang yang terbaik untuk mahasiswa Matrikulasi al-Azhar bagi membuktikan kesungguhan mereka dalam mencapai cita-cita”, ujar Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM 2011, Saudara Ahmad Daniel bin Mohmad Hassan menasihatkan kepada semua pelajar agar tidak berputus asa dalam perjuangan menuntut ilmu.

“Cabaran dan ujian yang dihidangkan untuk kita hari ini amatlah ringan jika dibandingkan dengan mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh ulama’ silam”, tambah beliau lagi.

Sumber : PMRAM

Thursday, June 16, 2011

GERHANA BULAN TANDA KEKUASAAN ALLAH


Tanggal 15 Jun 2011, bumi Mesir yang bertuah telah dipertontonkan satu fenomena alam yang cukup mengagumkan iaitu gerhana bulan penuh. Gerhana yang bermula pada jam 8.15 malam dan berakhir lebih kurang pada jam 10.30 malam waktu tempatan merupakan fenomena yang cukup istimewa bagi warga Mesir dan negara sekitarnya kerana dikatakan bahawa gerhana bulan penuh seumpama itu sudah 40 tahun tidak kelihatan di ruang langit bumi Mesir.

Gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. Kejadian ini cuma boleh berlaku ketika bulan purnama dan apabila matahari, bumi dan bulan terjajar pada satu barisan yang sama, atau sangat-sangat hampir.

Adapun penjelasan daripada sudut Islam pula, ia telah dijelaskan oleh Baginda Rasulullah – sollaAllahu `alayhi wa sallam – melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, hadis daripada Sayyidatina `Aisyah yang berbunyi:-

إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ

فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta dirikanlah solat”.

Sebagaimana pesanan para ulama’, perbanyakkan istighfar dan taubat serta perbanyakkan mengingati hari akhirat ketika berlakunya gerhana matahari atau bulan. Maka semua manusia perlu mengambil iktibar daripada fenomena hebat yang berlaku pada matahari, bumi dan bulan tersebut sebelum tibanya fenomena yang lebih dahsyat iaitu terbitnya matahari dari arah barat yang ketika itu tiada yang paling bernilai melainkan iman dan amal soleh.

KPT MESIR KOMITED JAYAKAN AGENDA PENDIDIKAN

Assalamualaikum, puji-pujian hanya bagi Allah SWT; Tuhan Pencipta alam semesta. Selawat dan salam buat Junjungan mulia; Nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam, keluarga dan para sahabat baginda.

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) sentiasa komited menjayakan agenda kecemerlangan mahasiswa Islam dalam meningkatkan pencapaian akademik dan thaqafah.

Sesuai dengan kesinambungan tema PMRAM pada tahun ini; “Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah”, maka pihak KPT Mesir telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menjana minda mahasiswa Islam sebagaimana sifat Islam itu sendiri yang syumul merangkumi segala aspek kehidupan.

Agenda kecemerlangan dan pendidikan merupakan antara matlamat penubuhan KPT Mesir dengan meningkatkan ilmu pengetahuan, kefahaman dan kesedaran dalam kalangan ahli KPT Mesir.

Sehubungan dengan itu, KPT Mesir melalui Biro dan Unit Akademik pada tahun ini telah menggariskan beberapa langkah selari dengan pendekatan PMRAM Pusat “Misi Mumtaz Imtihan” (MMI). Antara fokus yang ingin dicapai adalah:-

§ Hidupkan Budaya Membaca

§ Lazimi Study Group

§ Jom Ke Kuliah

§ Sifar Rasib

§ Mantapkan Bahasa Arab

Selain itu, penerapan thaqafah kepada ahli sentiasa dipupuk dari semasa ke semasa melalui forum ilmiah, kelas tafaquh fiddin, majlis motivasi imtihan dan lain-lain lagi.

KPT Mesir menyeru kepada seluruh mahasiswa Islam agar menumpukan perhatian dan membuat persediaan sebaiknya untuk menghadapi imtihan. Pengurusan diri dan disiplin terhadap waktu perlu diambil perhatian agar tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah serta hubungan sesama manusia.

Mutiara Kata:-

“Selagi kita mencuba dan berusaha, selagi itulah kita akan beroleh apa yang kita hajati. Seseorang menganggap ujian sebagai batu penghalang, sedangkan orang lain menganggapnya sebagai batu lonjatan”.

SALAM MUJAHADAH BUAT PEJUANG….

Sekian, wassalam.

“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD ZAHANI BIN ABDUL GHANI
Ketua Biro Akademik,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),
Sesi 2010/2011.

Monday, June 13, 2011

HEWI KPT Mesir Ziarah Ahli Yang Menghidap Penyakit Tibi


ISKANDARIAH, 10 Jun – Timbalan Pengerusi Hewi KPT Mesir, Saudari Tengku Fathimah Tengku Hashim telah turun ke Iskandariah untuk menziarahi Saudari Aisyah Noraini Mohamad Nor, mahasiswi Perubatan Tahun 4 di Iskandariah yang disahkan menghidap penyakit tibi. Antara AJKT HEWI yang turut sama menziarahi beliau ialah Saudari Shazazierra Sharif selaku Ketua Unit Kebajikan KPT Mesir, Saudari Nuraini Abdullah dan Saudari Nur Farhana Hanafi.


Pada pertemuan tersebut, Saudari Aisyah Noraini kelihatan lebih sihat dan bertenaga berbanding daripada sebelumnya. Beliau juga sempat berbual dan beramah mesra dengan pelawat-pelawat yang hadir pada hari itu. Pihak kami juga dimaklumkan bahawa beliau akan dikuarantinkan di hospital berkenaan selama sebulan bagi memastikan kesihatannya benar-benar kembali pulih.



Dalam situasi ini, Pengerusi DPM Iskandariah, Saudari Norliza memaklumkan bahawa pihak DPM Iskandariah sentiasa menziarahi dan membuat jadual harian khusus bagi menjaga Saudari Aisyah Noraini. Pihak DPM Iskandariah juga menghantar makanan kepada beliau setiap hari selepas waktu Zohor.


Memetik kata-kata Ketua Unit Kebajikan KPT Mesir, “Walaupun sekarang merupakan musim peperiksaan, pihak KPT Mesir tetap memandang serius hal kebajikan ahli yang ditimpa musibah kerana kebajikan ahli merupakan objektif dan agenda utama dalam sesebuah persatuan”.


Di akhir pertemuan, Saudari Tengku Fathimah memberi sedikit kata-kata semangat kepada Saudari Aisyah Noraini agar sentiasa sabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang menimpa beliau serta memperbanyakkan doa kepada Allah S.W.T. Di kesempatan itu, Timbalan Pengerusi HEWI turut menghulurkan sedikit sumbangan sebagai tanda prihatin daripada pihak KPT Mesir kepada beliau.

Friday, June 10, 2011

ISU MAHASISWA TERENGGANU : KPT MESIR MOHON PENJELASAN

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) telah menghantar surat untuk memohon penjelasan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) terhadap isu mahasiswa Terengganu Mesir yang ditimbulkan baru-baru ini.

Perkara tersebut telah dibangkitkan ketika majlis penyerahan wang dermasiswa yang diadakan pada 30 Mei 2011 di Kuala Terengganu.

Antara isu yang ditimbulkan:-

  • Mahasiswa menyalahgunakan wang dermasiswa
  • Mahasiswa berkahwin awal
  • Mahasiswa tidak menyambut kehadiran pegawai
  • Mahasiswa tidak dibenarkan terlibat dengan persatuan

Pihak KPT Mesir memandang serius terhadap isu yang telah ditimbulkan dan mendapati perkara tersebut kurang tepat dan perlu kepada penelitian yang lebih jelas.

Selain itu, ia juga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan mahasiswa Islam Terengganu di Mesir.

Oleh itu, pihak KPT Mesir telah mengambil keputusan untuk memohon penjelasan yang sewajarnya dan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu tersebut secara bijaksana.

KPT Mesir menggesa agar mahasiswa tidak mengambil tindakan yang melanggar syariat Islam bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Mahasiswa juga diseru agar memberikan fokus dan persediaan yang sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang sedang berjalan.

Namun pihak KPT Mesir juga ingin menegaskan bahawa pihak kami akan tetap memberikan kerjasama kepada pihak berwajib bagi memastikan kebajikan dan kecemerlangan akademik mahasiswa terus diutamakan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri Terengganu.

Kami doakan kejayaan yang cemerlang buat seluruh mahasiswa Terengganu Mesir di dunia dan akhirat.

Sekian, wassalam.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),
Sesi 2010/2011.

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.

Wednesday, June 8, 2011

MUNAJAT PERDANA MAHASISWA TERENGGANU

CAKNA KESIHATAN DAN IMTIHAN

Sempena musim imtihan yang dihadapi oleh warga mahasiswa, maka pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menyeru seluruh mahasiswa mengambil berat terhadap kesihatan diri sama ada dari sudut rohani dan jasmani.

Untuk makluman, seorang mahasiswi perubatan tahun 4 di Iskandariah telah dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti sakit tibi.

Pihak KPT Mesir telah mengadakan solat hajat memohon Allah SWT mengurniakan kesihatan kepada beliau. Ketika dihubungi oleh pihak KPT Mesir hari ini, keadaan beliau dilaporkan stabil.

Selain itu, mahasiswa juga diingatkan untuk mengambil perhatian terhadap segala urusan yang berkaitan dengan imtihan bagi persediaan menghadapinya.

Sekian, wassalam.

“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”

“BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD FAREZUAN BIN MAT AZAHAR
Ketua Biro Kebajikan,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

KEJAYAAN SERATUS PERATUS MAHASISWI QIRAAT

KAHERAH, 5 Jun – Keputusan peperiksaan bagi tahun ini menunjukkan peningkatan yang amat memberansangkan bagi mahasiswi Qiraat Mansurah.

Kelulusan didalam peperiksaan seratus peratus yang dicapai baru-baru ini menunjukkan kemampuan pelajar-pelajar kita bagi menempa kejayaan yang begitu membanggakan.

“Kejayaan ini menjadi motivasi kepada semua mahasiswa di bumi Mesir sekaligus membuktikan generasi Azhari juga adalah aset yang berkualiti dalam menaikkan nama Malaysia ke seantero dunia ” ujar Saudara Ahmad Daniel B Mohmad Hassan Ketua Badan Pendidikan dan Komunukasi Bahasa PMRAM ketika ditemui di Pejabat PMRAM hari ini.

Beliau juga menambah agar seluruh mahasiswa di bumi Mesir dapat menjadikan kejayaan tersebut sebagai satu batu loncatan didalam menempa kejayaan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Sumber : www.pmram.org