PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, June 13, 2011

HEWI KPT Mesir Ziarah Ahli Yang Menghidap Penyakit Tibi


ISKANDARIAH, 10 Jun – Timbalan Pengerusi Hewi KPT Mesir, Saudari Tengku Fathimah Tengku Hashim telah turun ke Iskandariah untuk menziarahi Saudari Aisyah Noraini Mohamad Nor, mahasiswi Perubatan Tahun 4 di Iskandariah yang disahkan menghidap penyakit tibi. Antara AJKT HEWI yang turut sama menziarahi beliau ialah Saudari Shazazierra Sharif selaku Ketua Unit Kebajikan KPT Mesir, Saudari Nuraini Abdullah dan Saudari Nur Farhana Hanafi.


Pada pertemuan tersebut, Saudari Aisyah Noraini kelihatan lebih sihat dan bertenaga berbanding daripada sebelumnya. Beliau juga sempat berbual dan beramah mesra dengan pelawat-pelawat yang hadir pada hari itu. Pihak kami juga dimaklumkan bahawa beliau akan dikuarantinkan di hospital berkenaan selama sebulan bagi memastikan kesihatannya benar-benar kembali pulih.



Dalam situasi ini, Pengerusi DPM Iskandariah, Saudari Norliza memaklumkan bahawa pihak DPM Iskandariah sentiasa menziarahi dan membuat jadual harian khusus bagi menjaga Saudari Aisyah Noraini. Pihak DPM Iskandariah juga menghantar makanan kepada beliau setiap hari selepas waktu Zohor.


Memetik kata-kata Ketua Unit Kebajikan KPT Mesir, “Walaupun sekarang merupakan musim peperiksaan, pihak KPT Mesir tetap memandang serius hal kebajikan ahli yang ditimpa musibah kerana kebajikan ahli merupakan objektif dan agenda utama dalam sesebuah persatuan”.


Di akhir pertemuan, Saudari Tengku Fathimah memberi sedikit kata-kata semangat kepada Saudari Aisyah Noraini agar sentiasa sabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang menimpa beliau serta memperbanyakkan doa kepada Allah S.W.T. Di kesempatan itu, Timbalan Pengerusi HEWI turut menghulurkan sedikit sumbangan sebagai tanda prihatin daripada pihak KPT Mesir kepada beliau.