PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, December 25, 2012

Che Ku Iffah Nafeesah Che Ku Ahmad Saufi

Kaherah, 21 Disember- Pimpinan Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir sekali lagi mengadakan ziarah mahabbah sempena kelahiran puteri KPT. Ziarah kali ini diteruskan lagi dengan berkunjung ke rumah Saudari Munirah Sakinah binti Salleh dan pasangannya, Saudara Che Ku Ahmad Saufi.

Tanggal 18 Disember 2012, warga KPT menerima khabar gembira atas kelahiran Che Ku Iffah Nafeesah binti Che Ku Ahmad Saufi. Bayi seberat tiga kilogram ini disambut baik di Hospital Badru.

Sabda Rasulullah S.A.W:

"كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه"

Semoga pertambahan puteri ini menyerikan lagi hidup Saudari Munirah Sakinah sekeluarga serta membesar menjadi mujahidah harapan ummah.


KALAM PIMPINAN: MENELUSURI DUNIA IMTIHAN

Segala puji dan syukur dipanjatkan  ke hadrat Ilahi, Tuhan yang maha berkuasa ke atas segala sesuatu, dan dengan cahaya petunjukNya mengeluarkan manusia dari kekufuran kepada cahaya keimanan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah memerah keringat dan berkubang darah untuk memenangkan agama tercinta. Tanpa kesungguhan dan berkat kesabaran baginda, sudah tentu kita tidak dapat mengecapi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam.

قال الله تعالى : { يَرْفَعِ اللهُ الذِّينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ وَالذِّينَ أُوتُواْ العِلْمَ دَرَجَاتٍ }
[المجادلة، 58 : 11]

Berdasarkan ayat di atas, Allah  S.W.T mengangkat darjat orang-orang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. 

Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan kepada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam dalam urusan agama”.

Masa berlalu begitu pantas. Tanpa disedari, kita sudah pun memasuki fasa imtihan. Ketika ini, masing-masing sibuk menelaah kitab-kitab kuliah dan bahan rujukan lain sebagai persediaan menempuh imtihan sehingga merasakan bahawa masa yang diperuntukkan selama 24 jam tidak mencukupi. Sesungguhnya kewajipan kita melebihi masa yang ada. Ramai manusia tewas disebabkan tidak pandai memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya. 

Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, usia mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa senangmu sebelum papa, masa lapangmu sebelum sibuk, dan masa hidupmu sebelum mati”.


Antara persediaan lain yang harus ditekankan ialah persiapan dari sudut fizikal mahupun mental lebih-lebih lagi dalam musim sejuk ini. Ramai dalam kalangan kita mengalami selsema, batuk dan demam dek kesejukan. Hal ini perlu dirawat segera agar tidak berlanjutan sehingga hari peperiksaan. Kita juga perlu menghilangkan segala kekusutan serta gangguan emosi yang boleh menjejaskan mutu pembelajaran kita.

Selain itu, hubungan dengan Allah Taala serta sesama manusia haruslah dipelihara dengan baik. Marilah kita mewujudkan suasana solehah seperti melazimi solat berjemaah, tegur-menegur, ziarah-menziarahi dan sebagainya agar dapat menguatkan lagi ikatan ukhuwah yang telah terbina. Hilangkanlah segala sengketa dan permusuhan kerana kita semua adalah bersaudara. 

 
Untuk akhirnya, marilah sama-sama kita berusaha semaksima mungkin untuk mencapai kejayaan. Lakukanlah yang terbaik dalam peperiksaan supaya kejayaan yang bakal kita kecapi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam. Sesungguhnya keberkatan dalam menuntut ilmu dapat dilihat setelah kita mempraktikkan ilmu yang dimiliki walaupun sedikit.

Imam al-Ghazali pernah berkata: 

“Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia”.

Selamat melayari bahtera imtihan…

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

“BERILMU DAN BERAMAL”


NURUL BASYIRAH BINTI YAHAYA
Setiausaha,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.


Monday, December 17, 2012

Liqa' Fuad


Kaherah, 14 Disember- Unit Perancang Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPT telah mengadakan program Liqa’ Fuad yang menekankan dua objektif penting iaitu mendekatkan ahli dengan pimpinan dan mendengar permasalahan ahli. Program yang bermula jam 9.45 pagi itu dimulakan dengan ‘slide show’ khas oleh setiap AJK HEWI bagi memperkenalkan diri serta membentangkan bidang  tugas masing- masing. Seterusnya pihak pimpinan membuka ruang seluas-luasnya kepada semua yang hadir untuk berkongsi sebarang permasalahan dan melontarkan buah fikiran.

Dalam program tersebut turut diadakan sesi taaruf untuk mahasiswi yang baru datang ke bumi anbiya’. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan ukhuwah serta lebih mengenali antara satu sama lain.

Kesungguhan ahli dan pimpinan dapat dilihat melalui perkongsian pandangan serta cadangan membina yang boleh dimanfaatkan untuk kesatuan KPT. Di samping itu, suasana yang lebih positif dapat dibina apabila ahli dan pimpinan saling menjaga adab dan akhlak dalam membuat teguran, cadangan dan sebagainya selari dengan tuntutan islam yang amat menitikberatkan soal akhlak.

Program ini berakhir pada jam 11.30 tengah hari. Semua mula bersurai untuk kendiri dan solat zohor  berjemaah. Semoga Allah menyatukan hati  anak-anak Terengganu dengan ikatanNya yang kukuh.

اَوثق عرى الإيمان : الحب في اللة والبغض في اللة.
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”.



Saturday, December 15, 2012

Ikatan Mahabbah Terpatri di Tanta


Tanta, 12 Disember- Pimpinan Hal Ehwal Wanita Islam  Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir telah mengadakan ziarah mahabbah sempena kelahiran cahaya mata Puan Anisah  binti Ahmad dan pasangan, Mohd Faizol bin Endut.

Ziarah ini turut disertai wakil HEWI PMRAM dan HEWI Selangor. Kunjungan sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan tuan rumah.

Putera yang diberi nama Abdullah As-Sofi bin Mohd Faizol telah selamat dilahirkan pada tanggal 28 November 2012 pada jam 4 petang. Bayi seberat 3.5 kilogram itu tidak menghadapi sebarang komplikasi.




Kunjungan berakhir sekitar jam 3 petang. Semoga dengan kehadiran mujahid ini dapat menyerikan lagi kehidupan Puan Anisah sekeluarga.



بارك الله لك في الموهوب, وشكرت الواهب, ورزقك الله بره, وبلغه رشده
 

Tuesday, December 11, 2012

Ibrah Para Auliya’



KAHERAH, 7 Disember 2012Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah mengadakan Ziarah Maqam Auliya sempena Liqo’ Gabungan di bawah seliaan Unit Sambutan dan Rehlah dengan kerjasama Unit Dakwah.

Program yang dianjurkan setiap tahun ini bertujuan untuk mengenali para Auliya’ dengan lebih mendalam. Di samping itu juga, dapat memupuk semangat ukhuwah antara mahasiswi baru dan lama sekaligus menjayakan usul KPT pada sesi ini.



Program ini juga dapat meningkatkan thaqafah dalam kalangan mahasiswi. Program ziarah ini bermula seawal jam 8.00 pagi disertai 49 orang mahasiswi KPT Mesir. Seterusnya, rombongan solat Jumaat di Masjid Amru ibn Al-Asr.

Antara  maqam yang diziarahi ialah:  

  • Maqam Sayyidi Syeikh Soleh Jaa’fari
  • Maqam Abd Ghani Soleh Jaa’fari 
  • Maqam Imam Abdul Wahab Sya’rani 
  • Maqam Sayyidi Ali Nuruddin Syuni 
  • Maqam Sayyidi Syihabuddin Ramli 
  • Maqam Sayyidi Umar ar-Ruknu 
  • Maqam Syeikh Zakaria al-Ansori 
  • Maqam Imam Ibnu Hisyam 
  • Maqam Sultan Hanafi 
  • Maqam Al-Imam as-Syafie 
  • Maqam Sayyidah Nafisah r.a 
  • Maqam Sayyidah Sukainah 
  • Maqam Sayyidah Ruqayyah 
  • Maqam Sayyidah Atikah 
  • Maqam Sayyidi Ali Ja’fari 
  • Maqam Imam Muhammad Ibnu Sirin 
  • Maqam Sayyidah Zainab 
  • Mihrab Sayyidah Nafisah 
  • Maqam Wali Soghir 
  • Maqam Syeikh Ibnu Atoillah


             
Program ini  berakhir pada jam 4.30 petang dengan harapan agar ahli HEWI dapat mengambil ibrah atau pengajaran daripada ziarah ini.