PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, September 20, 2013

Ukhuwah; Strength Of Islam

http://infohewikpt.blogspot.com

KAHERAH,15 September– Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu sesi 2012/2013 di bawah kendalian Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan telah mengadakan program Relaks dan Ribat (R&R) siri kedua.

Program ini bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 malam. Seawal jam 9.30 pagi program dimulai dengan majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM sesi 2013, Saudari Siti Sarah bt Bushari. Seterusnya, majlis diserikan dengan acara memotong kek sebagai gimik perasmian R&R siri kedua pada kali ini.

Program diteruskan dengan slot forum yang bertajuk “Antara Aku dan Dia”  yang menekankan tentang ukhuwah dan isu semasa. Forum ini menampilkan barisan ahli panel yang terkenal dalam kalangan mahasiswi iaitu Ustazah Siti Sarah bt Bushari dan Ustazah Rusiah bt Yunus serta Ustazah Samihah bt Ismail sebagai moderator.

R&R siri kedua kali ini membawa sedikit perbezaan daripada siri pertama iaitu siri kali ini menyediakan pelbagai acara menarik untuk ahli. Antaranya ialah acara permainan seperti Draw and Be The Winner, Aina Ante, Saya Kata, Dam Gajah dan yang paling menambat hati permainan ialah Unta Bisik.

Pada petangnya, acara Explorace telah berlangsung dengan jayanya. Kebanyakan soalan Explorace adalah berkaitan dengan KPT & PMRAM, isu semasa dan fikrah yang mana dapat menambahkan thaqafah ahli terutamanya mahasiswi baru.

Pada malamnya,  diadakan acara kemuncak iaitu persembahan daripada setiap ahli kumpulan. Majlis dimulai dengan persembahan nasyid daripada mahasiswi baru sebagai persembahan pembukaan. Persembahan setiap kumpulan telah disusun bertemakan ukhuwah, isu semasa dan kemerdekaan. Persembahan berakhir dengan persembahan khas daripada barisan HEWI KPT yang membawa mesej berkaitan usul KPT.

Program R&R siri kedua kali ini diakhiri dengan kalam penutup daripada penasihat KPT, Saudari Fatimah Salwani bt Abdullah. Beliau mengucapkan syabas kepada HEWI KPT kerana berjaya menjayakan program yang mampu mengukuhkan ukhuwah sesama ahli dalam usaha menjayakan usul KPT sesi ini.

HEWI KPT sesi 2012/2013 mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan ahli yang menjayakan program R&R siri kedua pada kali ini. Semoga program ini dapat meribatkan lagi ukhuwah anak-anak Terengganu di bawah kesatuan KPT dan PMRAM.


Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir
















Siti Fatimah Azzahra binti Bahari,
Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan,
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI),
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir,
Sesi 2012/2013.

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

“BERILMU DAN BERAMAL”












Saturday, September 7, 2013

Ziarah Mujahid Ummah

5 September, Kaherah- Sempena kelahiran anak ketiga bagi pasangan Ustaz Mohd Zahari bin Ali dan pasangannya Ustazah Jamaliah binti Yusoff, wakil saf kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam HEWI KPT Mesir sesi 2012/2013 turut hadir menziarahi puan Jamaliah sekeluarga.

Bayi ini diberi nama Muhammad Al-Arifi bin Mohd Zahari. Dilahirkan pada 1 September 2013 baru-baru ini seberat 2.7 kg, sekitar jam 2.30 – 3.00pm di Hospital Taufiqiah.

HEWI KPT mewakili anak-anak Terengganu di Mesir mengucapkan sekalung tahniah atas anugerah daripada Ilahi ini. Doa dipanjatkan agar Muhammad Al-Arifi sentiasa mendapat limpahan rahmat dan kasih-sayang dari Allah.

بارك الله في الموهوب وشكرت الواهب ورزقك الله بره وبلغه رشده

محمد العريفي بن محمد زهاري

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

"BERILMU DAN BERAMAL"





HEWI PMRAM BERSAMA MAHASISWI BARU TERENGGANU

Kepimpinan HEWI PMRAM terus komited dalam menjayakan agenda kebajikan yang merupakan denyut nadi bersama seluruh ahli PMRAM Cawangan. Pada kali ini, barisan kepimpinan berpeluang untuk beramah mesra dengan mahasiswi baru PMRAM Cawangan Terengganu seramai 8 orang yang bertempat di Kompleks Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu, Hayyu Asyir, Kaherah. Mereka selamat tiba di Mesir tanggal 14 Ogos 2013 di mana ketika itu berlaku pergolakan menolak rampasan kuasa di Mesir.

Ziarah sulung ini disambut baik oleh AJK HEWI KPT MESIR bersama mahasiswi-mahasiswa baru Terengganu pada jam 4.30 petang. Pertemuan ini dimulakan dengan sedikit suai kenal dan diteruskan dengan pelbagai lontaran pertanyaaan dari tunas harapan mahasiswi baru. Tidak ketinggalan juga barisan kepimpinan HEWI turut berkongsi pengalaman sebagai motivasi dan pembakar semangat untuk terus tekun meneruskan cita-cita menuntut ilmu di Ardhil Kinanah ini.

Mengakhiri ziarah pada kali ini, sedikit kalam taujihat telah disampaikan oleh Saudari Siti Sarah bt Bushari, Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM 2013. Beliau menasihati agar mahasiswi-mahasiswi ini sentiasa optimis dengan segala perancangan Allah SWT dan terus thabat mengharungi segala ranjau dan onak berduri sepanjang menuntut ilmu di bumi Mesir ini.

Semoga kunjungan mahabbah ini menjadi titik permulaan ke arah mengukuhkan kesatuan bersama dan juga perintis untuk melahirkan genarasi terulung dalam mewarisi kesinambungan mahasiswi baru di sini.

"JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN"

Tuesday, September 3, 2013

Lebih 150 warga Malaysia menyertai Futsal Merdeka PMRAM



Kaherah, 31 Ogos 2013 - Situasi bergolak di Mesir sekarang tidak menghalang untuk mengadakan aktiviti demi memberi pengisian yang terbaik buat warga Malaysia yang tinggal di Mesir. Dengan itu, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir  (PMRAM) menyusun beberapa pengisian bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-56. Program yang berlangsung di Padang Gunners, Hayyu Sadis dan dihadiri lebih kurang 150 orang warga Malaysia yang masih menetap di bumi Mesir ini.

Program ini bermula jam 4.00 petang sehingga 7.00 malam. Program dimulakan dengan permainan futsal ukhuwah, seterusnya solat maghrib dan solat hajat secara berjemaah.

Turut serta dalam program Futsal Merdeka PMRAM 2013 ini ialah Ustaz Mohammad Farid Bin Mohammad Zainal selaku Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) Selangor Mesir.

"Alhamdulillah, kita tidak sangka kehadiran seramai ini. Selain itu, terima kasih diucapkan atas kerjasama disemua peringkat, program yang telah disusun berjalan dengan lancar." Ujar Saudara Ahmad Anas Bin Che Yusof selaku pengarah program Futsal Merdeka PMRAM 2013.

PMRAM mengucapkan ribuan terima kasih diatas sokongan semua pihak yang menjayakan Futsal Merdeka pada tahun ini. Bersama meribatkan kesatuan sesama anak-anak Malaysia di sini dibawah kesatuan PMRAM.

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Sunday, September 1, 2013

Mahasiswa Dan Mahasiswi Baru Terengganu Selamat Tiba di Kota Kaherah

Kaherah , 16 Ogos 2013 - Rombongan mahasiswa dan mahasiswi baru Terengganu seramai 28 orang selamat tiba di Kota Seribu Menara, Kaherah pada 14 Ogos 2013 dan kehadiran mereka disambut oleh ahli jawatankuasa  Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB '13) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dengan kerjasama PMRAM Cawangan Terengganu di lapangan terbang antarabangsa Kaherah .
 
Walaubagaimanapun , ketibaan mereka pada waktu itu yang diisiytiharkan oleh kerajaan sementara Mesir sebagai waktu perintah berkurung bermula jam 7 malam hingga 6 pagi menyebabkan mereka terpaksa bermalam di lapangan terbang untuk seketika sahaja sementara tempoh perintah berkurung tamat jam 6 pagi. Bas yang akan membawa pulang mahasiswa dari lapangan terbang tiba jam 7.45 pagi di lapangan terbang antarabangsa Kaherah dan selamat tiba di Kompleks Kediaman Pelajar Malaysia, Hayyu Asyir pada pukul 8.30 pagi. Kesemua mahasiswa dan mahasiswi baru ditempatkan di Kompleks Asrama Pelajar Terengganu, hayyu Asyir di bawah seliaan dan pantauan ahli jawatankuasa PMRAM cawangan Terengganu .
 
Pihak Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB '13) Cawangan Terengganu telah menyusun beberapa aktiviti dan program bagi memberi pengisian dan taklimat berkenaan bumi Mesir sementara mengisi masa terluang yang ada lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang tidak mengizinkan mereka keluar dari kawasan kediaman
 
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Identiti Muslimah Kehormatan Wanita Sebenar

Mengimbau kembali sejarah, tidak dinafikan wanita telah sekian lama dilabelkan sebagai kaum yang lemah dan tidak mempunyai kepentingan dalam masyarakat. Sehinggalah Islam datang menjernihkan semula martabat wanita dan membawa ke peringkat tinggi seiring syariat yang muliakan di sisi Allah SWT
 
Nabi Muhammad SAW menjadi contoh ikutan kita semua. Nabi SAW menyeru agar kaum wanita menutup aurat bukanlah bagi mengurangkan hak wanita untuk menayangkan keindahan ciptaannya tetapi meninggikan martabat wanita beriman itu menjadi seumpama mutiara yang tidak ternilai. Daripada Anas ra, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
 
Kata Syeikh Sayyid Qutub, tokoh ulama terkemuka Mesir mengenai wanita: “Islam memberikan hak kepada wanita sebagaimana besarnya kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Pendapat kaum wanita dihargai serta kelemahannya pula akan dilindungi”. Untuk meneguhkan kedudukan wanita yang tinggi, tercantumlah  kewajipan, taggungjawab dan peranan wanita dalam satu surah yang panjang dalam Al-Quran iaitu surah An Nisaa (Wanita). Surah ini khusus membahas segala hal serta aspek terkait dengan kaum wanita. 
 
Sebilangan wanita kini tidak segan silu menggayakan pakaian bagaikan pengantin baru apabila setiap kali keluar daripada kediaman. Mereka mengenakan pemakaian mengikut fesyen terkini yang menjolok mata dan menyalahi syariat. Ada yang memakai baju  terlalu nipis hingga terbayang bentuk ukuran badan, berpakaian separuh telanjang, menyimpan kuku panjang, terikut dengan budaya hidup yang bebas dan sebagainya. Cara yang demikian itu adalah meniru orang yang buta akan hal-hal terlarang.
 
Hakikatnya, sebagai insan yang bergelar wanita, mereka mempunyai kewajipan untuk memperkuatkan hubungannya dengan Allah dan menyucikan fikirannya serta wataknya dari sisa-sisa pengaruh barat. Wanita harus bijak agar tidak terpengaruh oleh sikap dan perilaku wanita non-Muslim dan fahaman-fahaman dari Barat. Golongan ini tidak terikat pada perkara halal dan haram, baik dan buruk  sebagaimana garis panduan yang Islam tetapkan kepada wanita.
 
Muslimah yang dikasihi,
 
“Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah”
 
Bersempena Sambutan Hari Wanita 2013 peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 25 Ogos di PWTC yang lalu, HEWI PMRAM mewakili mahasiswi sama ada pengajian Islam dan sains kesihatan menyeru agar seluruh ahli di pelbagai peringkat tidak mengira bangsa agar menyedari peri pentingnya menjaga kehormatan diri sebagaimana diterapkan di dalam agama Islam. Wanita akan dihormati sekiranya mereka memelihara diri mereka sendiri. Para Mujahidin di Syria, Mesir dan negara arab yang lain memiliki jiwa yang besar dan semangat juang yang tinggi kerana mereka dididik oleh wanita yang memiliki kehormatan dan maruah. Jadi, wanita perlu memelihara diri dengan sebaiknya kerana mereka akan mendidik generasi yang akan menghiasi arena perjuangan akan datang. Di sebalik kejayaan seorang lelaki itu, terselit di sana semangat seorang wanita yang berjiwa besar. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.
 
"JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN"
 
Siti Sarah Bt Bushari
Timbalan Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013