PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, September 20, 2013

Ukhuwah; Strength Of Islam

http://infohewikpt.blogspot.com

KAHERAH,15 September– Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu sesi 2012/2013 di bawah kendalian Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan telah mengadakan program Relaks dan Ribat (R&R) siri kedua.

Program ini bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 malam. Seawal jam 9.30 pagi program dimulai dengan majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM sesi 2013, Saudari Siti Sarah bt Bushari. Seterusnya, majlis diserikan dengan acara memotong kek sebagai gimik perasmian R&R siri kedua pada kali ini.

Program diteruskan dengan slot forum yang bertajuk “Antara Aku dan Dia”  yang menekankan tentang ukhuwah dan isu semasa. Forum ini menampilkan barisan ahli panel yang terkenal dalam kalangan mahasiswi iaitu Ustazah Siti Sarah bt Bushari dan Ustazah Rusiah bt Yunus serta Ustazah Samihah bt Ismail sebagai moderator.

R&R siri kedua kali ini membawa sedikit perbezaan daripada siri pertama iaitu siri kali ini menyediakan pelbagai acara menarik untuk ahli. Antaranya ialah acara permainan seperti Draw and Be The Winner, Aina Ante, Saya Kata, Dam Gajah dan yang paling menambat hati permainan ialah Unta Bisik.

Pada petangnya, acara Explorace telah berlangsung dengan jayanya. Kebanyakan soalan Explorace adalah berkaitan dengan KPT & PMRAM, isu semasa dan fikrah yang mana dapat menambahkan thaqafah ahli terutamanya mahasiswi baru.

Pada malamnya,  diadakan acara kemuncak iaitu persembahan daripada setiap ahli kumpulan. Majlis dimulai dengan persembahan nasyid daripada mahasiswi baru sebagai persembahan pembukaan. Persembahan setiap kumpulan telah disusun bertemakan ukhuwah, isu semasa dan kemerdekaan. Persembahan berakhir dengan persembahan khas daripada barisan HEWI KPT yang membawa mesej berkaitan usul KPT.

Program R&R siri kedua kali ini diakhiri dengan kalam penutup daripada penasihat KPT, Saudari Fatimah Salwani bt Abdullah. Beliau mengucapkan syabas kepada HEWI KPT kerana berjaya menjayakan program yang mampu mengukuhkan ukhuwah sesama ahli dalam usaha menjayakan usul KPT sesi ini.

HEWI KPT sesi 2012/2013 mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan ahli yang menjayakan program R&R siri kedua pada kali ini. Semoga program ini dapat meribatkan lagi ukhuwah anak-anak Terengganu di bawah kesatuan KPT dan PMRAM.


Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir
















Siti Fatimah Azzahra binti Bahari,
Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan,
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI),
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir,
Sesi 2012/2013.

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

“BERILMU DAN BERAMAL”