Majlis ini dianjurkan bertujuan untuk memohon kehadrat Allah s.w.t agar dipermudahkan segala urusan penerima-penerima zakat MAIDAM bagi sesi ini yang dinafikan hak dan menanam kesedaran dikalangan mahasiswa Terengganu Mesir terhadap semangat kerjasama dan keprihatinan.
Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Ahmad Ulwan bin Hassim selaku Naib Setiausaha KPT Mesir dimulakan dengan penerangan tentang isu-isu yang berlaku dan kronologi isu zakat yang telah didokumentasikan.
Majlis seterusnya membuka peluang kepada mana-mana ahli untuk berkongsi masalah yang dihadapi dan beberapa aduan berkaitan sikap tidak professional pegawai. Antara aduan yang diluahkan semasa majlis tersebut adalah seperti berikut :
- Pengambilan zakat kali kedua bagi salah seorang mahasiswa dinafikan atas sebab keterlibatan beliau dalam Gerakan Tuntut Hak Asnaf Zakat (GERTHAK).
- Bayaran zakat yang sepatutnya diterima penuh (RM 5,000) dikurangkan dengan alasan mahasiswa muadalah tersebut melebih dari 2 tahun.
- Pegawai tidak membenarkan wakil bagi penerima zakat yang telah pulang ke Malaysia untuk mengambil wang zakat tersebut walaupun telah disertakan surat tawkil.
Beberapa cadangan turut dilontarkan yang membuktikan keprihatinan dan kesatuan ahli bagi membantu pihak KPT Mesir dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. Antara cadangan yang dilontarkan oleh mahasiswa pada malam tersebut adalah seperti berikut:
- Mendokumentasikan permasalahan-permasalahan ini dan menghantar memorandum terhadap salah laku pegawai kepada pihak berwajib antaranya SPRM, Menteri Besar Terengganu, MAIDAM, Yayasan Terengganu.
- Meminta khidmat nasihat guaman dan mengambil tindakan undang-undang.
Dalam masalah ini, pihak KPT Mesir menyarankan agar mahasiswa-mahasiswa yang terlibat agar melaporkan perkara ini kepada pihak yang berwajib dan tidak lupa mengisi borang aduan yang telah disediakan.
Pihak KPT Mesir juga berharap agar seluruh mahasiswa bersedia untuk berganding bahu bersama pihak kepimpinan KPT Mesir bagi menjayakan cadangan-cadangan ini dan berharap semua ahli bersabar, terus berdoa serta bijak dalam melakukan apa-apa tindakan.
Pihak KPT Mesir mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh mahasiswa yang telah melontarkan cadangan dan menunjukkan kebersamaan dalam menangani isu ini. Pihak KPT Mesir akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu ini dengan pihak berwajib.