PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, December 31, 2010

PMRAM Kecewa Dengan Isu Yang Menimpa BKAN Melaka

KAHERAH 30 Disember – Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime melahirkan rasa kekecewaan teradap isu yang menimpa Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

Katanya, isu yang berlaku tersebut merupakan isu kemanusiaan yang perlu diketahui umum dan perlu mendapat perhatian di semua peringkat. Bukan hanya sekadar berlegar dikalangan mahasiswa-mahasiswi Melaka sahaja.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa isu seumpama ini pernah terjadi pada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) suatu ketika dahulu. Akan tetapi, sifat kesatuan yang ada pada ahli negeri terbabit menyebabkan persatuan baru yang ditubuhkan oleh pihak pegawai terkubur.

Katanya lagi, memahami sejarah yang pernah menimpa mahasiswa-mahasiswi Mesir, PMRAM mahukan sifat bersatu diterapkan di dalam seluruh jiwa mahasiswa-mahasiswi.

“Apabila sifat bersatu ini wujud di dalam jiwa umat Islam, maka tidak mudah bagi pihak musuh untuk menghancurkan kesatuan serta melaksanakan agenda jahat mereka. Dan inilah peranan PMRAM serta BKAN dan DPM bagi membentuk jati diri mahasiswa Islam di Mesir” Ujar beliau ketika memberi penjelasan isu di Rumah Kelantan Baru.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan terhadap ucapan Ketua Menteri Melaka Dato’ Seri Mohd Ali bin Rustam yang melemparkan fitnah terhadap PMRAM ketika sesi ramah mesra di rumah Melaka.

Justeru katanya, fitnah seperti yang dilemparkan oleh Ketua Menteri tersebut merupakan isu lapuk yang pernah PMRAM hadapi suatu ketika dahulu. Apa yang penting adalah PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang menjalankan aktiviti kebajikan, pendidikan serta meningkatkan pencapaian akademik di kalangan ahli.

Walaubagaimana pun katanya, PMRAM tetap mengambil sikap bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib bagi memudahkan urusan mahasiswa-mahasiswi yang belajar di bumi Mesir ini. Dan beliau menegaskan bahawa PMRAM merupakan persatuan yang bersifat profesional dan bukan persatuan yang melaksanakan tindakan dengan cara ‘kampung’.

Sesungguhnya fikrah dan kefahaman yang jelas di kalangan ahli mampu melahirkan jati diri dan integriti di dalam jiwa umat Islam.

Thursday, December 30, 2010

ZIARAH MAQAM BERI PENDEDAHAN MENGENALI ULAMA' LEBIH DEKAT


JUMAAT, 24 DIS - Bersempena Muzakarah Berkelompok Amali edisi gabungan, Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu di bawah kelolaan Unit Dakwah dengan kerjasama Unit Sambutan dan Rehlah telah menganjurkan ziarah maqam auliya’ sekitar Kaherah. Rombongan ini disertai 47 orang peserta akhawat yang memuatkan empat buah tremco. Rombongan bertolak tepat jam 8.30 pagi dari Hayyu Asyier.

Ustaz Abdul Malik bin Abdul Karim, mantan Badan Pengurus PMRAM sebagai pemberi taklimat berkenaan maqam-maqam yang dilawati. Bermula dari maqam pertama diziarahi iaitu Maqam Syeikh Muhammad Zaqiyudin Ibrahim. Seterusnya antara beberapa maqam lain yang dilawati ialah maqam Sayyidah Zainab, Imam As-Syafie, Sayyidi Syeikh Soleh Ja’fari dan hinggalah yang paling akhir di Jabal Muqottam, menziarahi Maqam Ibnu Atoillah Assakandari.

Hampir 20 atau labih maqam yang berjaya dilawati. Rombongan berhenti di Masjid Sultan Hassan untuk menunaikan solat Jumaat dan berhenti untuk rehat seketika dan makan di Masjid Sayyidi Ahmad bin Atoillah Assakandari. Program ziarah berakhir sekitar jam 4.30 petang setelah selesai menziarahi maqam-maqam sekitar Jabal Muqottam ini sebagai destinasi terakhir.

Semoga dengan menziarahi maqam ahli bait Rasulullah S.A.W dan para auliya’ akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T.

Tuesday, December 28, 2010

KES KECURIAN : AHLI DIMINTA UNTUK BERHATI-HATI

Kaherah, 26 Disember – Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menyeru agar seluruh ahli meningkatkan tahap keselamatan untuk kepentingan bersama.

Semalam, satu kes kecurian telah berlaku di Kompleks Darul Iman, Hayyu Asyir. Pencuri tersebut dipercayai menyelusuk masuk kedalam kompleks sekitar jam 1.00 – 2.00 petang (waktu mesir) ketika kebanyakan penghuni disitu tiada kerana mengikuti program ziarah maqom.

Kejadian itu dipercayai melibatkan warga arab tempatan yang menyamar dengan berpakaian kemas untuk berurusan dengan pihak pegawai. Namun, setelah dibuat pemeriksaan oleh pihak KPT Mesir sebuah laptop telah hilang dipercayai telah dibawa lari.

Pihak KPT Mesir mengigatkan sekali lagi kepada seluruh mahasiswa agar lebih berhati-hati dan meningkatkan langkah-langkat keselamatan. Oleh itu, beberapa garis panduan perlu dipatuhi:-

1) Dilarang membawa masuk warga asing ke dalam Kompleks Darul Iman atau rumah sewa demi keselamatan diri dan harta benda.

2) Memastikan rumah/kompleks sentiasa berkunci terutama ketika keluar.

3) Sentiasa peka dan perihatian terhadap keadaan sekeliling.

4) Memaklumkan segera jika terdapat perkara yang mencurigakan kepada pihak berwajib.

* Makluman lanjut, sila rujuk pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pihak KPT Mesir: http://www.infokpt.com/v3/?p=1187

“BERILMU DAN BERAMAL’

Disediakan oleh:
MOHD FAREZUAN BIN MAT AZAHAR
Ketua Biro Kebajikan,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

Wednesday, December 22, 2010

PERMATA HATI PENYERI KELUARGA

KAHERAH,15 Dis : Kehadiran si kecil menambah lagi keriuhan dalam keluarga.Rezeki dari Allah tidak boleh dibeli dengan wang atau kekayaan dunia meskipun bagi jutawan terkaya dunia. Anak-anak sebagai penyeri dalam institusi kekeluargaan. Kenakalan si kecil mengutuhkan lagi memori tatkala zaman kanak-kanak. Itulah yang dirasai oleh keluarga sepasang mutazawwijin Terengganu, Ustaz Mohd Razi Bin Musa dan Ustazah Rusiah binti Yunus. Bayi mereka selamat dilahirkan tanggal 15 Disember 2010 bersamaan 9 Muharram 1432H. Mereka dikurniakan seorang cahayamata perempuan dan alhamdulillah tatkala ini mereka telah dikurniakan cahayamata seramai 5 orang ( seorang mujahid dan empat mujahidah). Moga-moga dengan kehadiran cahayamata baru menambahkan lagi jiwa-jiwa sebagai penerus perjuangan agama Islam. Pihak HEWI KPT MESIR sesi 2010/2011 mengucapkan sekalung tahniah dan mabruk di atas rezeki yang dilimpahkan oleh Allah S.W.T ke atas pasangan Ustaz Mohd Razi Bin Musa dan pasangan, Ustazah Rusiah binti Yunus .


Monday, December 13, 2010

MAKLUMAN PENTING : PERMOHONAN ZAKAT MAIDAM SESI 2011

Adalah dimaklumkan bahawa permohonan baru Zakat MAIDAM Terengganu bagi sesi 2011 tidak diproses melalui pihak Pegawai Tadbir HEP Terengganu Mesir.

Pada awalnya, pihak KPT Mesir telah dimaklumkan oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) bahawa borang permohonan zakat perlu diserahkan sendiri oleh pemohon kepada pihak MAIDAM di Malaysia.

Akan tetapi, hasil perbincangan dengan pihak MAIDAM, pihak KPT Mesir mengambil inisiatif untuk mengumpulkan borang permohonan tersebut bagi memudahkan urusan penyerahannya kepada pihak MAIDAM.

Antara prosedur permohonan adalah seperti berikut:-

1) Dapatkan Borang Permohonan Zakat MAIDAM daripada pihak KPT Mesir.

2) Isi borang permohonan dengan lengkap.

3) Lampirkan semua salinan dokumen yang diperlukan (selepas disahkan) seperti berikut:-

  • a) Surat Tawaran Belajar (Pengesahan Kuliah)
  • b) Sijil Kelahiran
  • c) Sijil Permastautin
  • d) Sijil-sijil Akademik (sijil/keputusan akademik terakhir)
  • e) Kad Pengenalan Pemohon & Ibu Bapa/Penjaga
  • f) Pasport & visa pertama tiba di Mesir
  • g) Surat Penolakan Yayasan Terengganu (bagi yang belum ada, boleh minta daripada Pegawai Tadbir HEP Terengganu Mesir).
  • h) Salinan Slip Gaji Ibu Bapa/Penjaga
  • i) Lain-lain Dokumen Yang Berkaitan

4) Dapatkan tandatangan pihak Education Malaysia (EM) (atau nama lamanya Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah JPMK).

5) Hantarkan borang tersebut kepada Mas-ul/ah KPT Mesir di Kompleks Terengganu, Hayyu 10, Kaherah sebagaimana ketetapan berikut:-

Tempat : Tingkat 2 (surau/maktabah) Kompleks Terengganu

Hari : Ahad hingga Khamis

Masa : 1.00 petang hingga 4.00 petang

Borang yang telah lengkap boleh diserahkan kepada pihak KPT Mesir bermula pada 14 Disember 2010 (Selasa) hingga 28 Disember 2010 (Selasa). Selepas daripada tarikh tersebut, borang permohonan perlu dihantar oleh pemohon sendiri kepada pihak MAIDAM.

Wakil tidak dibenarkan untuk menyerahkan borang permohonan tersebut. Jika ada sebarang permasalahan, sila rujuk :-

Yang Dipertua KPT Mesir : 011-5263796 (bagi siswa)

Naib Pengerusi HEWI : 011-6035409 (bagi siswi)

Diharapkan seluruh mahasiswa Terengganu di Mesir dapat mengambil perhatian yang sewajarnya terhadap makluman di atas. Segala kerjasama yang diberikan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

“BERILMU DAN BERAMAL”

Yang Menjalankan Amanah,

ABDULLAH HARIS BIN ZAKARIA
Setiausaha,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

Saturday, December 11, 2010

TAKZIAH ATAS PEMERGIAN ADIK SOFIYATUL ULYA

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) mengucapkan takziah kepada Saudara Mohd Faizol Endut; mahasiswa Terengganu (Mantan Pengerusi DPM Tanta) dan isteri beliau; Saudari Siti Anisah Ahmad (Mantan Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM) atas pemergian puteri tersayang; Adik Sofiyatul Ulya.

Bayi tersebut sebelum ini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan disahkan menghidap penyakit pneumonia (jangkitan pada paru-paru). Beliau meninggal dunia pada hari Khamis; 9 Disember 2010.

Jenazah al-marhumah dikebumikan di Tanah Perkuburan Keledang, Kaherah dan sebelum itu telah disembahyangkan di Dataran Kompleks Hayyu Asyir pada jam 9.00 pagi.

Majlis pengebumian tersebut turut dihadiri oleh Presiden PMRAM; Saudara Shahrizan Mohd Hazime, Yang Dipertua KPT Mesir; Saudara Mohd Riduan Abu Bakar serta pimpinan PMRAM pusat dan cawangan.

Tuesday, December 7, 2010

PERISTIWA 30 NOVEMBER : KPT MESIR KESAL SIKAP TIDAK PROFESIONAL PEGAWAI HEP TERENGGANU

Hayyu Asyier, 4 Disember 2010: Pada 30 November yang lalu, sebahagian mahasiswa Terengganu telah berkumpul secara aman di sekitar pejabat HEP Terengganu Mesir bagi menuntut hak penerimaan zakat yang telah dinafikan.

Sikap pegawai HEP Terengganu Mesir yang menghalau mahasiswa yang ingin berurusan mengenai zakat dan pinjaman tanpa alasan yang kukuh adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku kepada seorang penjawat awam.

Selain itu juga, mahasiswa Terengganu telah berusaha untuk berunding dengan pihak pegawai agar memberikan hak yang sepatutnya kepada penerima zakat yang layak menerimanya.

Pihak KPT Mesir melahirkan rasa kecewa dengan sikap pegawai HEP yang bertindak secara tidak profesional kerana menafikan hak penerimaan zakat kepada sebahagian mahasiswa dengan tuduhan mahasiswa tersebut lantang membantah sikap pegawai yang sering melanggar etika sebagai penjawat awam.

Apa yang dikesalkan juga adalah sikap pegawai HEP Melaka yang datang seolah-olah ingin menimbulkan kontroversi sekali lagi menimbulkan kemarahan mahasiswa yang telah hampir 11 jam menuntut hak mereka.

Dengan inisiatif pihak pimpinan KPT Mesir, kemarahan mahasiswa dapat dikawal dan jalan rundingan dicari antara mahasiswa dan pegawai HEP Terengganu Mesir. Hasil rundingan yang dilakukan penafian hak penerimaan zakat dikembalikan.

Walaubagaimanapun, sekali lagi ditegaskan bahawa pihak KPT Mesir tetap akan meneruskan usaha dan jalinan kerjasama dengan pihak berwajib demi menjaga kebajikan mahasiswa Mesir.

Saudara Aliff Mahari sedang berbincang dengan Encik Khairi Jalalluddin (Atase Pendidikan, JPMK) sambil diperhatikan saudara Shahrizan Hazimie (Presiden PMRAM)


Thursday, December 2, 2010

NOTIS MAKLUMAN ZAKAT MAIDAM TERENGGANU

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) telah mendapat pejelasan tentang isu zakat daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) adalah seperti berikut:

1. Kadar Zakat bagi mahasiswa muadalah adalah RM 5,000 bagi sesi ini. Polisi baru bagi mahasiswa muadalah (50% daripada jumlah penuh) yang melebihi dua tahun adalah berkuatkuasa pada sesi akan datang (sesi 2011).

2. Mahasiswa yang tidak menghadiri Kursus Bina Insan Gemilang anjuran MAIDAM tanpa menyatakan surat sebab akan diberi 50% sahaja zakat.

3. Segala urusan zakat perlu dibuat di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia, Mohandesein, Kaherah.

4. Urusan zakat tidak dibenarkan untuk diwakilkan.

5. Permohonan zakat untuk sesi 2011 perlu dibuat melalui pegawai HEP Terengganu.

Sekirannya terdapat sebarang permasalahan sila rujuk kepada pihak KPT Mesir.

Sekian, wassalam.

“BERILMU DAN BERAMAL”

“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR

Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),
Sesi 2010/2011
Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.

YDP KPT MESIR : MAHASISWA DINASIHATKAN BERSABAR

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, yang menjadikan manusia dengan sebaik-baik kesempurnaan. Selawat dan Salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu A’laihi Wasallam. Kesejahteraan juga buat para pengikut dan juga para pewaris perjuangan Nabi Muhammad Sallallahu A’laihi Wasallam.

Kebelakangan ini mahasiswa Islam Terengganu di Mesir telah berhadapan dengan permasalahan berkaitan isu agihan wang Zakat dan sikap tidak profesional pegawai HEP terhadap kebajikan mahasiswa.

Untuk itu, pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) telah berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan permasalahan ini dengan sebaik yang mungkin sebagai Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang bernaung dibawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Pihak KPT Mesir juga, telah menghubungi pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) untuk mendapatkan penjelasan tentang permasalahan zakat yang dihadapi oleh mahasiswa. Selain itu, usaha-usaha menyelesaikan permasalahan ini akan diteruskan supaya ianya tidak berpanjangan.

Oleh itu, pihak KPT Mesir mengingatkan juga supaya mahasiswa Terengganu menumpukan kepada persediaan imtihan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Segala permasalahan dan tindakan untuk penyelesaian kepada permasalahan ini diserahkan kepada pihak pimpinan.

Sukacita juga dimaklumkan bahawa pihak KPT Mesir akan mengadakan Majlis Penerangan Isu Zakat pada 4 Disember 2010 hari Sabtu ini bertempat di Dewan Darul Iman, Hayyu Asyier. Seluruh Mahasiswa Terengganu dijemput hadir.

Akhirnya, pihak KPT Mesir menyeru kepada seluruh Mahasiswa agar terus bersabar diatas segala kesulitan yang berlaku dengan bertindak secara rasional sebagai Mahasiswa Islam dan tidak mengambil sebarang tindakan tanpa merujuk kepada pihak KPT serta berdoa agar dipermudahkan segala urusan.

“BERILMU DAN BERAMAL”

“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR

Yang Dipertua,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),

Sesi 2010/2011

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,

Hayyu Asyir, Kaherah.

Wednesday, December 1, 2010

KUNJUNGAN HEWI KE RUMAH AHLI DI MANSURAH

27 NOV – HEWI KPT telah mengadakan satu perjumpaan bersama ahli perubatan dan pengajian islam di Mansurah. Pertemuan tersebut diketuai oleh Naib Pengerusi HEWI, Ustazah Tengku Fathimah binti Tengku Hashim yang juga merupakan HEWI angkat bagi pelajar perubatan Mansurah.

Destinasi pertama yang dikunjungi HEWI KPT ialah bangunan Yayasan Terengganu Malaysia di Mansurah, bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tahun satu perubatan di sini berkenaan Badan Kebajikan Anak Negeri dan persatuan-persatuan lain yang tumbuh di bumi Mesir ini. Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh mandubah perubatan Mansurah, Saudari Nordalila binti Ghazali serta Naib Pengerusi Perubatan Yayasan Terengganu Mansurah, Saudari Wan Munirah binti Wan Isa.

Perjumpaan bermula sekitar jam 9.30 malam dan dipengerusikan oleh Saudari Khairun Nabihah binti Nordin selaku Naib Pengerusi II, Asrama Yayasan Terengganu Mansurah. Agenda yang dibawa adalah ; sesi taaruf kepimpinan HEWI KPT dan AJKT Asrama Yayasan Terengganu Mansurah, kemudian taaruf ahli yang hadir, dan seterusnya dibuka sedikit perbincangan mengenai permasalahan yang dihadapi. Ramai yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran sewa bulanan yang sangat tinggi melebihi 50 USD dan yuran makan untuk sebulan adalah LE 540. Selain itu, ketidak lengkapan peralatan rumah seperti pemanas air tidak disediakan, sebaliknya menyediakan televisyen yang tidak dirasakan perlu.

Hal ini akan segera diperbincangkan di peringkat atasan bagi menjamin keselesaan ahli untuk mendiami asrama tersebut dan dapat belajar dengan tenang serta lebih fokus. Justeru, memikirkan jalan penyelesaian bersama-sama adalah resolusi mengatasi masalah ini.

Pertemuan berakhir kira-kira jam 10.30 malam setelah mendengarkan sedikit kalam-kalam emas dari barisan kepimpinan HEWI KPT sebagai pembangkit semangat untuk terus mengharungi arus kehidupan dunia ini. Sedikit cenderamata, risalah dakwah, risalah akademik, dan borang keahlian turut diedarkan di akhir pertemuan tersebut.

Barisan Kepimpinan HEWI KPT sesi 2010/2011 mengucapkan sekalung penghargaan buat seluruh mahasiswi Universiti Mansurah yang menginap di Asrama Yayasan Terengganu Mansurah yang menyambut kedatangan kami dengan penuh meriah. Tidak lupa, AJKT Asrama YT, Mandubah dan Naib Pengerusi Perubatan YT Mansurah yang sama-sama turun dalam pertemuan ini dan menyediakan tempat menginap serta jamuan makan.

Rombongan HEWI KPT kemudian bergerak ke destinasi seterusnya pada keesokan hari ke kawasan ‘Utubis Gadid’ dan bersua muka dengan pelajar pengajian islam, bertempat di Markaz II HEWI Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansurah (DPMM). Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Naib Pengerusi I Mansurah, Saudari Nur Zailin dan ahli KPT di Mansurah seramai 10 orang yang diketuai oleh Saudari Farah binti Mohd Ja’far sebagai mandubah pengajian islam Mansurah.

Dimulakan dengan sesi taaruf ahli dan barisan HEWI KPT dan diteruskan dengan membuka peluang kepada ahli untuk mengajukan sebarang permasalahan atau cadangan yang ingin diajukan kepada pihak KPT. Zakat dan pinjaman dijadikan perbincangan dalam pertemuan bersama ahli pengajian Islam Mansurah kali ini.

Segala permasalahan yang dihadapi, pihak pimpinan cuba mencari jalan keluar bagi memastikan masalah-masalah tidak berpanjangan. Pihak HEWI juga tidak ketinggalan memaklumkan program terdekat yang bakal dianjurkan oleh pihak KPT dalam masa terdekat, iaitu Motivasi sempena Imtihan yang bakal diadakan pada 4 Disember ini. Petemuan singkat ini berakhir dengan jamuan oleh ahli KPT Mansurah tepat masuknya waktu solat zohor.

Sekalung terima kasih dari Kepimpinan HEWI KPT buat seluruh tenaga yang terlibat secara langsung atau tidak dalam meraikan kedatangan kami ke DPMM, Naib Pengerusi I HEWI DPMM, Mandubah pengajian Islam Mansurah, dan seluruh ahli KPT di Mansurah. Jazakumullahu Khairan Kathira.