PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, December 1, 2010

KUNJUNGAN HEWI KE RUMAH AHLI DI MANSURAH

27 NOV – HEWI KPT telah mengadakan satu perjumpaan bersama ahli perubatan dan pengajian islam di Mansurah. Pertemuan tersebut diketuai oleh Naib Pengerusi HEWI, Ustazah Tengku Fathimah binti Tengku Hashim yang juga merupakan HEWI angkat bagi pelajar perubatan Mansurah.

Destinasi pertama yang dikunjungi HEWI KPT ialah bangunan Yayasan Terengganu Malaysia di Mansurah, bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tahun satu perubatan di sini berkenaan Badan Kebajikan Anak Negeri dan persatuan-persatuan lain yang tumbuh di bumi Mesir ini. Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh mandubah perubatan Mansurah, Saudari Nordalila binti Ghazali serta Naib Pengerusi Perubatan Yayasan Terengganu Mansurah, Saudari Wan Munirah binti Wan Isa.

Perjumpaan bermula sekitar jam 9.30 malam dan dipengerusikan oleh Saudari Khairun Nabihah binti Nordin selaku Naib Pengerusi II, Asrama Yayasan Terengganu Mansurah. Agenda yang dibawa adalah ; sesi taaruf kepimpinan HEWI KPT dan AJKT Asrama Yayasan Terengganu Mansurah, kemudian taaruf ahli yang hadir, dan seterusnya dibuka sedikit perbincangan mengenai permasalahan yang dihadapi. Ramai yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran sewa bulanan yang sangat tinggi melebihi 50 USD dan yuran makan untuk sebulan adalah LE 540. Selain itu, ketidak lengkapan peralatan rumah seperti pemanas air tidak disediakan, sebaliknya menyediakan televisyen yang tidak dirasakan perlu.

Hal ini akan segera diperbincangkan di peringkat atasan bagi menjamin keselesaan ahli untuk mendiami asrama tersebut dan dapat belajar dengan tenang serta lebih fokus. Justeru, memikirkan jalan penyelesaian bersama-sama adalah resolusi mengatasi masalah ini.

Pertemuan berakhir kira-kira jam 10.30 malam setelah mendengarkan sedikit kalam-kalam emas dari barisan kepimpinan HEWI KPT sebagai pembangkit semangat untuk terus mengharungi arus kehidupan dunia ini. Sedikit cenderamata, risalah dakwah, risalah akademik, dan borang keahlian turut diedarkan di akhir pertemuan tersebut.

Barisan Kepimpinan HEWI KPT sesi 2010/2011 mengucapkan sekalung penghargaan buat seluruh mahasiswi Universiti Mansurah yang menginap di Asrama Yayasan Terengganu Mansurah yang menyambut kedatangan kami dengan penuh meriah. Tidak lupa, AJKT Asrama YT, Mandubah dan Naib Pengerusi Perubatan YT Mansurah yang sama-sama turun dalam pertemuan ini dan menyediakan tempat menginap serta jamuan makan.

Rombongan HEWI KPT kemudian bergerak ke destinasi seterusnya pada keesokan hari ke kawasan ‘Utubis Gadid’ dan bersua muka dengan pelajar pengajian islam, bertempat di Markaz II HEWI Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansurah (DPMM). Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Naib Pengerusi I Mansurah, Saudari Nur Zailin dan ahli KPT di Mansurah seramai 10 orang yang diketuai oleh Saudari Farah binti Mohd Ja’far sebagai mandubah pengajian islam Mansurah.

Dimulakan dengan sesi taaruf ahli dan barisan HEWI KPT dan diteruskan dengan membuka peluang kepada ahli untuk mengajukan sebarang permasalahan atau cadangan yang ingin diajukan kepada pihak KPT. Zakat dan pinjaman dijadikan perbincangan dalam pertemuan bersama ahli pengajian Islam Mansurah kali ini.

Segala permasalahan yang dihadapi, pihak pimpinan cuba mencari jalan keluar bagi memastikan masalah-masalah tidak berpanjangan. Pihak HEWI juga tidak ketinggalan memaklumkan program terdekat yang bakal dianjurkan oleh pihak KPT dalam masa terdekat, iaitu Motivasi sempena Imtihan yang bakal diadakan pada 4 Disember ini. Petemuan singkat ini berakhir dengan jamuan oleh ahli KPT Mansurah tepat masuknya waktu solat zohor.

Sekalung terima kasih dari Kepimpinan HEWI KPT buat seluruh tenaga yang terlibat secara langsung atau tidak dalam meraikan kedatangan kami ke DPMM, Naib Pengerusi I HEWI DPMM, Mandubah pengajian Islam Mansurah, dan seluruh ahli KPT di Mansurah. Jazakumullahu Khairan Kathira.