PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, January 25, 2012

SECANGKIR TINTA : NAIB PENGERUSI HEWI

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala yang bersifat pemurah ke atas hamba-hambaNya yang memberi nikmat sebelum hambaNya meminta terutama nikmat Iman dan Islam yang hanya dikecapi oleh manusia yang dipilih oleh Allah Taala. Moga-moga kita tergolong dalam manusia yang dipilih oleh Allah Taala kerana tanpa kedua-dua nikmat yang besar ini, tiada makna hidup di atas muka bumi Allah Taala. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shollalahu’alaihi wasallam pamberi syafaat di akhirat kelak. Cintai baginda bererti cinta kepada Allah Taala.



Fasa imtihan melabuhkan tirainya, akan bermula fasa baru yang bakal menyaksikan adakah ‘kerajinan’ dalam segala aspek baik ibadah mahupun pembacaan semata-mata kerana imtihan ataupun kesedaran terhadap kepentingan ilmu dan keikhlasan semata-mata kerana Allah Taala. Tepuk dada tanya iman, tergolong dalam kategori manakah kita?

Allah Taala berfirman yang bermaksud :
“…niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…”  (Al-Mujaadilah: 11) 


Berdasarkan ayat di atas Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang berilmu dengan kemuliaan di dunia dan pahala di akhirat. Beruntunglah bagi siapa yang dipilih oleh Allah Taala untuk berada di bumi Mesir khususnya untuk menuntut ilmu dengan duduk bersama-sama para ulama’, lagi beruntung bila ilmu itu dikongsikan dan amat beruntung apabila ilmu itu diamalkan. Tetapi  dalam medan manakah ilmu itu dapat dikongsi dan diamalkan? Tidak dapat tidak adalah melalui hidup bermasyarakat. Semua itu akan mendapat ganjaran dari Allah Taala apabila seiring dengan keikhlasan semata-mata keranaNya bukan kerana ingin dipuji dan disanjung oleh manusia.    
                                                
                                                
Dan berkata pula Sayyidina Ali Karramallahuwajhah : “Apabila Allah Taala ingin menghina sesorang hamba maka Allah Taala akan mengharamkan ilmu ke atas dirinya”. 

Dapat dikaitkan ayat 11 surah Al-Mujaadilah dengan kalam Sayyidina Ali Karramallahuwajhah bahawasanya mulia dan hinanya seseorang berdasarkan ilmunya kerana apabila manusia itu berilmu, mereka akan bertaqwa kepada Allah Taala dan apabila manusia itu mencari ilmu bukan kerana Allah Taala tetapi inginkan pujian manusia dan habuan dunia mereka sama seperti orang yang tidak berilmu. Rebutlah peluang bagi yang dipilih oleh Allah Taala menjejakkan kaki  di bumi yang dipenuhi permata-permata berharga dan dalam masa yang sama permata yang diperolehi digunakan untuk kepentingan Islam.Wallahu’alam.