PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Sunday, January 22, 2012

Urusan Visa : PMRAM Prihatin


KAHERAH, 22 Jan – Berikutan isu kesulitan yang dihadapi oleh Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang berurusan di Imegeresen Mesir untuk memperbaharui tempoh sah laku visa, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah melakukan perbincangan untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini.

Masalah kesulitan dan kesesakan yang berlaku adalah berikutan pihak Imegresen Mesir telah menetapkan hanya satu hari sahaja dalam seminggu untuk warganegara Malaysia memperbaharui tempoh sah laku visa mereka. Ini mengakibatkan mereka terpaksa beratur panjang untuk menyelesaikan urusan tersebut.

Atas kesulitan yang dihadapi, satu bancian akan dibuat di peringkat PMRAM untuk mengumpul maklumat penuh berkaitan bilangan mahasiswa dan mahasiswi yang telah tamat tempoh sah laku visa mereka. Maklumat yang diperlukan termasuklah:

1. Nama Penuh.
2. Nombor passport.
3. Tempoh tamat visa.

Bancian ini akan dilakukan selama lima hari bermula esok sehingga hari jumaat iaitu daripada tarikh 23 – 27 januari 2012.

Justeru, pihak PMRAM mengharapkan kerjasama daripada seluruh mahasiswa dan mahasiswi untuk memberikan maklumat yang diperlukan dengan merujuk terus kepada unit kebajikan di peringkat BKAN masing-masing supaya tindakan susulan di peringkat PMRAM dapat dilaksanakan.

‘Isu urusan visa merupakan isu kebajikan yang turut berkaitan secara langsung dengan isu keselamatan yang amat dititikberatkan oleh PMRAM. Oleh yang demikian, PMRAM sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah yang berlaku dan komitmen seluruh mahasiswa dan mahasiswi amat diharapkan’, ujar Saudara Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011.

Sumber : PMRAM Pusat