Solat Sunat Terawih
Merupakan solat sunat 2 rakaat (berserta satu
salam) yang khusus pada bulan Ramadan sahaja. Ia merupakan salah satu anugerah
yang diberikan di dalam bulan Ramadan. Waktu untuk melakukan solat sunat
terawih ialah selepas waktu Isyak dan sebelum masuk waktu Subuh.
Antara solat yang tergolong dalam solat sunat yang muakkad
ialah:
1)
Solat tahajud
2)
Solat duha
3)
Solat terawih
DALIL
PENSYARIATAN
Aisyah
raidallahu ‘anha berkata Nabi SAW keluar ke masjid untuk bersolat pada
waktu malam (bulan Ramadan). Maka sahabat melihat baginda solat, lalu mereka
solat bersama-sama baginda SAW, sehingga semakin hari sahabat semakin ramai
(dikatakan masjid penuh). Pada hari ketiga atau keempat sahabat menunggu
kedatangan Nabi SAW, namun baginda SAW tidak keluar. Tatkala subuh, sahabat
menghadap Nabi SAW lalu baginda SAW bersabda,
أَمّا بَعْدُ إِنَّهُ لَمْ يَخِفْ عَلَيَّ
شَأْنُكُم اللَيْلَة وَلَكِنِّي خَشِيتُ أن تفْرضُ عَلَيْكُم صلاةُ الليل فَتُعْجِزُوا
عنها
"Sesungguhnya tidaklah ia menegah
akan aku untuk keluar (untuk solat terawih pada malam seterusnya) melainkan aku
bimbang kamu akan merasakan ia adalah fardu dan akhirnya kamu tidak akan mampu lakukannya."
(Ibnu Hibban)
Ini
adalah dalil yang menunjukkan solat sunat terawih dilakukan pada malam Ramadan.
Di dalam riwayat yang diceritakan oleh Aisyah raidallahu ‘anhu menunjukkan
solat terawih merupakan solat sunat dan bukannya fardhu kerana pada malam ke-3
atau ke-4, ketika
para sahabat sedang menunggu dengan kehadiran yang begitu ramai sehingga masjid
ketika itu menjadi sempit, Nabi Muhammad SAW tidak keluar kerana bimbang para
sahabat akan menganggap bahawa solat terawih merupakan suatu kewajipan ke atas
mereka pada setiap malam Ramadan.
Cara
melakukan solat sunat terawih
Solat
sunat terawih dilakukan khusus di dalam bulan Ramadan sahaja dan sudah dikira
melakukan solat terawih walaupun melakukannya berseorangan. Namun, disunatkan
untuk berjemaah di masjid. Dan sunat ketika solat terawih menghidupkan bacaan
al-Quran, selain daripada surah-surah lazim. Afdal menghabiskan satu juzuk satu
malam, untuk mengkhatamkan al-Quran di dalam solat terawih. Solat terawih
dilakukan 2 rakaat satu salam sehingga 8 rakaat atau 20 rakaat. Disunatkan juga
melakukan solat witir selepas solat terawih.
Bolehkah
melakukannya 4 rakaat satu salam?
Tidak
sah melakukan solat terawih dengan 4 rakaat (atau lebih) dengan satu salam
sekiranya orang tadi melakukannya dalam keadaan sengaja dan mengetahui bahawa
solat terawih itu dilakukan dengan 2 rakaat berserta satu salam. Sekiranya
tidak tahu, maka tidak mengapa dan solat yang dilakukannya tadi dikira sah.
Kisah
solat terawih di zaman Khalifah Sayidina Umar Radiallahu ‘Anhu
Pada
zaman khalifah Sayidina Umar raidallahu ‘anhu, ketika bulan Ramadan umat
Islam di Madinah yang berhimpun di masjid semakin ramai. Bahkan menjadi
berpuak-puak dalam satu masjid mengerjakan solat terawih. Kemudian bagi
menyelaraskan, Sayidina Umar raidallahu ‘anhu pada ketika itu
menghimpunkan supaya menjadi satu kelompok atau jemaah sahaja. Maka dihimpunkan orang Islam ketika itu di belakang
Ubai bin Ka'ab.
8
rakaat atau 20 rakaat?
Khilaf
di antara manusia pada zaman sekarang adalah berapakah rakaat sebenar bagi
solat terawih? Ada sesetengah yang mengatakan 8 rakaat kerana Rasulullah SAW hanya
melakukan 8 rakaat sahaja ketika bersama para sahabat. Sebahagian yang lain
pula mengatakan 20 rakaat.
Bagi
mereka yang mengatakan solat terawih adalah 8 rakaat, mereka mengambil hujah
daripada kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW melakukan solat terawih dan
para sahabat yang mengikutinya.
Namun
dalil dan hujah yang banyak menunjukkan solat terawih itu 20 rakaat. Akan disebut
sebahagian sahaja di sini. Antaranya ialah:
Di
dalam kitab fikah Hasyiah Baijuri, oleh Imam Baijuri menulis di dalam
kitabnya bahawa Nabi SAW dan para sahabat ketika itu melakukan solat terawih
sebanyak 20 rakaat dengan cara 8 rakaat secara berjemaah dan baki rakaat, baginda
SAW dan sahabat melakukannya di rumah masing-masing. Dikhabarkan sekiranya
melalui di tepi rumah-rumah mereka ketika itu, maka akan kedengaran seperti
bunyi lebah.
Di
dalam kitab Mausu'ah Yusufiah karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad,
beliau menyatakan bahawa pendapat daripada Mazhab Hanafi, Syafie dan Hanabilah
solat terawih di sisi mereka adalah 20 rakaat dengan menyatakan para sahabat di
zaman Umar, Usman dan Ali melakukan sebanyak 20 rakaat.
Imam
Syafi'e berkata, “Kami mendapati umat Islam di Makkah melakukan solat terawih
sebanyak 20 rakaat.
Daripada
Malik bin Anas daripada Yahya bin Abi Sa'id Al-Ansori berkata, “Sesungguhnya
Umar Al-Khattab mengarahkan manusia ketika itu untuk solat terawih sebanyak 20
rakaat.”
Daripada
Ibnu Abbas raidallahu ‘anhu berkata, “Adalah Nabi Muhammad SAW mengerjakan
solat terawih di dalam bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat dan solat witir.”
Justeru,
tiada masalah untuk melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat kerana terdapat
lagi banyak hujah yang jelas. Walaupun begitu, solat sunat terawih sudah
terhasil walaupun hanya melakukan 2 rakaat sahaja.
Tazkirah
mengiringi solat terawih
Berlaku
juga pertanyaan berkenaan dengan beberapa tempat yang melakukan solat terawih
dan diiringi dengan tazkirah sama ada sebelum solat, ketika rehat sebentar
selepas habis 4 rakaat atau 8 rakaat atau selepas 20 rakaat. Melakukan tazkirah
bukanlah satu masalah. Bahkan di antara tujuan solat itu sendiri dikerjakan adalah
cara mendidik jiwa manusia agar mencegah perkara maksiat dan keji.
Jika
kita lihat kembali, apa yang menjadi masalah untuk melakukan tazkirah? Bukannya
tazkirah tersebut dilakukan sewaktu sedang solat. Sekiranya dilakukan sewaktu
solat memanglah tidak boleh dan batalnya solat tersebut kerana dikira
berkata-kata apatah lagi dengan menggunakan bahasa Melayu. Maka tiada masalah
tazkirah dilakukan sama ada pada awal solat atau ketika rehat sebentar di
tengah-tengah solat atau selepas selesai 20 rakaat.
Bahkan,
tazkirah merupakan satu jalan untuk mengingatkan manusia yang sedang berhimpun dalam
solat terawih pada ketika itu. Hal ini kerana pada zaman sekarang, bukan semua
yang faham dan dapat mengambil iktibar daripada hasil bacaan imam ketika solat.
Rata-rata mereka tidak faham, lebih-lebih lagi mereka yang tidak menguasai
bahasa Arab. Maka, tazkirah yang dilakukan di luar ini merupakan satu alternatif
yang baik bagi mengajar dan mendidik manusia pada ketika itu. Tambahan pula,
tazkirah itu dapat disampaikan kepada orang ramai yang sedang berhimpun dan di
dalam bulan Ramadan.
"Oleh
itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran al-Quran),
kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna). Kerana orang yang
takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu.” (Surah
Al-'ala : 9-10)
Wallahu a'lam
** petikan daripada buku "Ramadhan : Puasa & Iktikaf" karangan Muhamad Zuhaili Saiman, cetakan pertama 2009, Izin Terbit Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)