PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, March 27, 2013

SEPETANG DI BUMI ZAGAZIG MELAKAR CORETAN INDAH



ZAGAZIG, 23 Mac 2013- Mahasisiwi Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir telah berpeluang menziarahi saudara seperantauan di Zagazig. Perjalanan yang mengharungi kesibukan jalanraya mengambil masa dua jam lebih untuk tiba di destinasi. Ketibaan rombongan disambut ceria oleh mahasiswi perubatan Zagazig. Usai solat Asar,  rombongan terus ke Dewan Sukan Universiti Zagazig untuk  perlawanan futsal gabungan antara mahasiswi perubatan Zagazig dan mahasiswi pengajian Islam serta pergigian Kaherah. Perlawanan tersebut melahirkan rasa kebersamaan antara pemain sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara mereka. Kesungguhan setiap kumpulan dapat dilihat sepanjang perlawanan berlangsung dan diungguli oleh kumpulan dua. 

Selepas menunaikan solat di sana, rombongan meneruskan perjalanan menuju ke Dewan Perwakilan Zagazig. Majlis dimulakan dengan sesi taaruf saf kepimpinan Perubatan Cawangan Zagazig dan seterusnya saf kepimpinan HEWI KPT Mesir sesi 2012/2013. Antara perkongsian sepanjang sesi tersebut ialah mengenai tempat menarik di Zagazig, isu keselamatan  dan pemergian Saudara Faiz Izzudin.
 
Modul ukhuwah; “Seerat Simpulan Seintim Ukhuwah” menceriakan lagi malam itu sekaligus dapat mengeratkan lagi antara dua pihak terbabit. Rasa janggal berlalu pergi dan kasih sesama saudara terus mekar di bumi crepe

Selepas itu, penggambaran ringkas diadakan untuk merakamkan detik manis sepetang di bumi Zagazig. Seterusnya mereka menjamu selera beramai-ramai sambil saling bertukar-tukar cerita. Sebelum pulang, peserta rombongan sempat menikmati keenakan crepe di sana.

Malam yang dingin menghantar kepulangan kami ke Kota Kaherah. Pihak rombongan mengucapkan jutaan terima kasih kepada saf kepimpinan dan mahasiswi Zagazig kerana memberi layanan yang sangat baik. Semoga pertemuan ini tidak ternoktah disini sahaja bahkan akan bersua lagi pada masa akan datang.


Thursday, March 21, 2013

ILMU DAN PERJUANGAN


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, satu ungkapan dilafaz menandakan seribu kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas limpah dan kurniaNya kerana masih lagi memberi ruang dan peluang kepada hamba-hambaNya untuk terus hidup di muka bumi ini. Selawat dan salam dihadiahkan  kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W,  kekasih hati buat para daie yang memperjuangkan kedaulatan agama Islam di dunia ini.

Meminjam kalam Allah yang bermaksud :

“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara  mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya.”

(Surah at-Taubah ayat 122)

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W merupakan agama yang berdiri di atas prinsip dan dasar yang bersumberkan al-Quran dan as- Sunnah. Melalui firman Allah di atas, dapatlah difahami bahawa Islam sangat menitikberatkan soal ilmu pengetahuan dalam kalangan penganutnya memandangkan Islam adalah agama yang mencakupi seluruh skop kehidupan manusia. Hakikat ini dikuatkan lagi dengan penurunan wahyu pertama yang jelas menunjukkan peri pentingnya ilmu pengetahuan.

Dua item penting yang perlu diberi perhatian melalui petikan surah at-Taubah ayat 122 bagi mereka yang ingin menyambung jalan perjuangan yang diwariskan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Pertamanya, dapat dilihat betapa bernilainya ilmu pengetahuan dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan sumber cahaya yang menyuluh akal dan hati bagi mengenal Allah dan segala tuntutan-Nya. Carilah bekalan ilmu sebanyak mungkin selaku penuntut ilmu bagi mempersiapkan diri menjadi daie dan bakal ulama yang akan menerangi kehidupan masyarakat. Sekiranya ilmu tidak menjadi keutamaan dalam prinsip agama, tidaklah Allah mendatangkan tawaran untuk mengangkat darjat bagi orang yang berilmu di dalam firmanNya yang berbunyi:

.. يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت..)) ))

                                                                          (Surah Al-Mujaadilah: 11)
                             

           
Mereka yang mempelajari ilmu agama Allah dan memahami serta menghayati sepenuhnya merupakan ulama yang berkelana di atas muka bumi ini. Tugas untuk memimpin masyarakat ke arah kebenaran terpundak di atas bahu ulama memandangkan hanya mereka yang menjadi warisan tinggalan para nabi. Inilah item kedua yang perlu diberi perhatian selaku penuntut ilmu yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan ulama suatu hari nanti. Langkah pertama untuk merealisasikan dakwah di jalan Allah, tidak ada cara dan jalan yang lebih sempurna melainkan dengan menggabungkan diri dalam jamaah Islam atau organisasi yang kemas dan teratur.

Selaku pemegang ikon azhari dan azhariah, tugas menuntut ilmu dan menyampaikan kepada masyarakat apabila pulang kelak merupakan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah. Maka persediaan rapi perlu direncana dari sekarang bagi memastikan senjata utama dalam menggerakkan dakwah iaitu ilmu mampu disampaikan sekaligus berhasil menjentik hati-hati masyarakat supaya kembali ke pangkal jalan.

Sebagaimana Allah menjaga kekasihnya, Nabi Muhammad S.A.W ketika giat menyampaikan seruan dakwah kepada masyarakat jahiliyah, begitu juga Allah melindungi para ulama dan daie yang berusaha semampu mungkin untuk menarik kembali manusia moden yang kian hanyut dek kelalaian dunia. Jadi, mengapa kita masih merasa takut dan ragu-ragu untuk berada di jalan yang pernah dilalui oleh para nabi, ulama dan daie, dimana jalan tersebut menjanjikan seribu kebaikan di dalamnya. Sekiranya hasil kebaikan perjuangan tidak diperoleh didunia, pasti akan diganjarkan di akhirat kelak. Janji Allah untuk para pejuang agama adalah sesuatu yang pasti, hanya menunggu untuk kita menyahut atau memandangnya sepi.

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

“JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN”


SAMIHAH BINTI ISMAIL
Unit Akademik ,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.

Sunday, March 10, 2013

CINTA ASAS PERJUANGAN



     Bil : 04                                                                                                                         Februari 2013
 
CINTA ASAS PERJUANGAN

Manusia tidak jatuh ke dalam cinta dan tidak juga keluar dari cinta. Tetapi manusia tumbuh dan membesar dalam cinta. Lonjakan  cinta akan membawa sesuatu menjadi lebih baik dan sempurna. Ia  mengajarkan kita betapa besar kekuatan yang dihasilkannya.

Cinta mendidik  kita bagaimana cara  berlaku jujur dan berkorban, berjuang dan menerima, memberi dan mempertahankan. Islam bukan sahaja mengagungkan cinta bahkan memberi contoh mithali menerusi kehidupan insan mulia, Rasulullah s.a.w  yang tercinta.

Pagi itu, langit mulai menguning. Burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Rasulullah dengan suara tersekat-sekat memberi  wasiat, “Wahai umatku, kita semua adalah dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara kepada kalian, al-Quran dan sunnah. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintaiku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan  masuk syurga bersamaku.”

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang redup menatap sahabat baginda satu persatu.

Isyarat itu telah datang dan saatnya sudah tiba. “Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” bisik hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang  mengucapkan salam.
Malaikat maut datang menghampiri tetapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut menyertai. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

“Pintu-pintu langit telah terbuka dan para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata jibril. Tetapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega. Matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi.

“Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”

“Jangan khuwatir wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: “Kuharamkan syurga bagi siapa sahaja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik Izrail melakukan tugas semakin dekat. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik Tampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini.” Lirih Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril membuang muka. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik kerana sakit yang tidak tertahan lagi. “Ya Allah, dahsyatnya  maut ini, timpakan sahaja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibir baginda bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum, peliharalah solat dan santuni orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu, tangisan mulai bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya dan Ali kembali mendekatkan telinga ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

Ummatii, ummatii, ummatiii.” Akhirnya, insan mulia itu pergi mengadap kekasihNya. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?

                                                 *****************************************

Sebenarnya kita tidaklah semata-mata hanya memperingati dan merayakan kedatangan Rabiul Awal bulan kelahiran baginda kerana pada bulan ini juga Rasulullah diwafatkan. Namun,  apa yang lebih penting ialah iktibar daripada misi perjuangannya dalam membawa manusia berhijrah daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan taqwa kepada Allah s.w.t. 

Misi perubahan yang menjadi intipati perjuangan baginda adalah untuk menegakkan Islam. Islam yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t sesuai dengan peranan baginda sebagai  Rasul iaitu pesuruh Allah sepertimana yang ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya pada surah Ali Imran: ayat 144 yang bermaksud:

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) ..?"

Adalah penting terutamanya kepada pendokong dan daie gerakan Islam mengambil iktibar daripada peristiwa misi awal baginda pergi berdakwah ke Taif. Sambutan yang baginda terima daripada penduduk Taif sangat mengecewakan. Bukan sahaja mereka tidak ambil peduli ajakan baginda untuk membuat perubahan malah baginda dihujani dengan batu-batu hingga menyebabkan baginda luka berdarah. Melihatkan keadaan baginda yang terluka itu malaikat meminta baginda agar mengizinkannya untuk membalikkan batu-batu besar agar menghempap mereka semua ke dalam bumi.

Tapi apakah yang diminta oleh baginda ketika bermunajat kepada Allah? Baginda memohon Allah memberikan hidayah kepada mereka kerana mereka masih jahil. Sikap unggul penuh kesabaran dan ketabahan serta pemaaf ini perlu kita contohi dalam misi untuk membawa perubahan.  Baginda sesekali tidak menaruh dendam malah sentiasa memohon kepada Allah agar memberikan hidayah kepada mereka. Inilah salah satu contoh teladan yang patut kita ikuti di dalam komitmen kita berjemaah baik sesama anggota jemaah mahupun kepada sasaran dakwah kita.

Oleh itu, marilah sama-sama kita beriltizam membawa misi perubahan ke arah sebuah masyarakat yang adil dan berkebajikan untuk semua dengan mengambil contoh teladan daripada Rasulullah s.a.w.



 Disediakan Oleh :-
UNIT RISALAH
UNIT DAKWAH
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2012/2013