PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, March 8, 2013

KITA PMRAM; SATU HATI

KAHERAH, 31 Januari – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir telah menganjurkan Program Satu Hati PMRAM pada 29 Januari baru-baru ini. Ianya merupakan sebuah program kepimpinan yang menggabungkan seluruh barisan pimpinan daripada peringkat PMRAM Pusat dan PMRAM Cawangan.

Program tersebut telah diadakan secara berasingan yang menempatkan seramai 159 orang pimpinan ikhwah di Mukhayyam Daim, dan 108 orang pimpinan akhawat di Nadi Syabab, Musallas. Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir berjaya menghantar 7 orang pimpinan akhawat ke program tersebut.

Antara objektif yang disasarkan ialah menerapkan nilai ukhuwah dan kebersamaan barisan kepimpinan dalam menghadapi tribulasi kerja dakwah, di samping menerapkan kefahaman yang utuh mengenai sejarah, dasar, misi dan visi perjuangan di peringkat masing-masing.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula seawal jam 8.30 pagi menyaksikan komitmen yang baik daripada setiap peserta.

Pelbagai pengisian menarik telah disediakan antaranya Polisi Pimpinan Islam, Jiwa Kita, Paradigma Jundi, Qudwah Kita dan sebagainya. Program ini turut memberi penekanan berkaitan Gerak Kerja Berkumpulan(GKB). Selain itu, para peserta juga telah diberikan kalam motivasi pembakar semangat dalam slot Tazkirah Pejuang yang telah disampaikan oleh ikon pendakwah muda daripada Malaysia, Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofree.

Majlis diakhiri dengan Ucapan Penutup oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM, Saudari Nurul Hasanah binti Yahuza. Semoga Program Satu Hati ini menjadi suntikan semangat kepada pimpinan untuk meningkatkan lagi mutu kerja di peringkat masing-masing.