PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, July 29, 2014

KONSEP TAAKHI SUNNAH RASULULLAH S.A.W




KAHERAH, 25 Julai 2014 – Pihak Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu (KPT) Mesir sesi 2013/2014 telah mengadakan program sempena ketibaan 10 malam terakhir di bulan Ramadan dibawah seliaan IHTIRAM ’14 yang bertempat di Musolla Darul Iman, Hayyu ‘Asyir.
             
         Untuk memaknakan lagi program ini, pihak KPT Mesir telah menjemput saf kepimpinan  daripada BKAN taakhi iaitu BKAN Kedah dan BKAN Wilayah  untuk sama-sama menjayakan program ini.
            
         Program ini dimulai dengan ibadah Qiamullail sebelum sahur jamaie bersama taakhi. Kemudian majlis menjemput mantan Bendahari Kehormat PMRAM, Saudara Ahmad Qutaibah Bin Mohamed untuk menyampaikan tazkirah khas seusai sahaja solat subuh berjemaah bagi mengisi jiwa mereka yang hadir dengan santapan rohani setelah diisi dengan santapan jasmani.
           
           Diantara objektif program ini diadakan adalah untuk meribatkan lagi ukhwah yang telah terjalin terutamanya dalam kalangan mahasiswa/wi Mesir dan ia juga merupakan salah satu usaha untuk menjayakan konsep taakhi sepertimana yang telah diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam.
           
           Dengan ini, pihak KPT Mesir mengucapkan jutaan ucapan terima kasih kepada saf kepimpinan BKAN taakhi kerana sudi menerima jemputan daripada KPT Mesir dengan harapan agar kesatuan ini terus kukuh sehingga ke generasi seterusnya agar sinaran cahaya islam terus menyinar dan berkembang.



“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”
“BERILMU & BERAMAL”


Tuesday, March 25, 2014

Muktamar Sanawi PMRAM Kali Ke-81


KAHERAH, 24 Mac 2014– Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) baru-baru ini telah mengadakan Muktamar Sanawi PMRAM Kali Ke-81 yang bertempat di Dewan Nadi Riadi. Pada kali ini, pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu telah menghantar seramai 57 pewakilan iaitu ikhwah seramai 33 orang dan akhowat seramai 24 orang .
                Muktamar Sanawi PMRAM Kali ini menerima 2 usul yang dibawa oleh Ustaz Abdul Mun’im Bin Abdul Sukor daripada PMRAM Cawangan Selangor dengan matan usul yang berbunyi “Menggesa pihak berwajib untuk lebih serius dalam menangani permasalahan pelajar”  dan usul yang dibawa oleh Ustaz Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa daripada PMRAM Cawangan Johor dengan matan usul yang berbunyi “Mengukuhkan kebersamaan ahli di setiap peringkat melalui slogan ‘’Satu Fikrah Satu Amal’’. Dengan perbahasan yang rancak dan hangat, akhirnya seluruh perwakilan sebulat suara bersetuju dengan 2 usul yang telah dibentangkan.
                Sebelum berakhir Muktamar Sanawi PMRAM pada kali ini, Presiden PMRAM bagi sesi 2014 iaitu Al-Fadhil Ustaz HanifulFuad Bin Hussin telah mengutarakan tema baru yang ingin  dibawa oleh PMRAM sesi ini ialah “Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”.        
                Akhirnya, Saf Kepimpinan AJKT & AJK HEWI KPT Mesir merakamkan ucapan tahniah dan takziah  kepada seluruh kepimpinan Badan Pengurus dan AJKT HEWI PMRAM sesi 2014. Semoga saf kepimpinan Badan Pengurus dan AJKT HEWI PMRAM sesi 2014 ini, dapat merancang yang terbaik dalam mengkaderkan generasi pemuda hari ini.

Thursday, January 2, 2014

MENGGENGGAM AMANAH ILMU


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Ribuan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang untuk berada di atmosfera Islam dan bernafas di bumiNya. Selawat dan salam diucapkan kepada baginda Rasulullah SAW utusan Allah memancarkan sinar Islam di pelusuk dunia. Sabda Nabi Muhammad SAW;

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

“Sesiapa yang ingin Allah berikan kebaikan padaNya akan diberi kefaqihan dalam agama”

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

            Musim imtihan kembali menjengah mahasiswa mahasiswi di Perlembahan Nil. Medan peperiksaan wajar dijadikan sebagai salah satu platform menekuni setiap ilmu yang diperoleh di samping mengukur kefahaman masing-masing.

            Kefahaman merupakan elemen penting dalam melaksanakan gerak kerja Islam sehingga Imam Hasan al-Banna meletakkan al-Fahmu sebagai rukun baiah yang pertama. Apabila telah tertanam kefahaman di dalam diri, maka disitulah titik pemula untuk kita bergerak menjulang Islam sehingga ia kembali berada di puncak tertinggi. Memetik satu kalam yang dinukilkan oleh Imam Syafie;      
"Aku mampu berhujah dengan sepuluh orang yang berilmu tapi aku pasti kalah berhujah dengan seorang yang jahil kerana seorang yang jahil tidak pernah faham landasan ilmu."

Sahabat-sahabat sekalian,

Ingatlah bahawasanya di bahu kalian terpundak satu amanah yang besar sebagai duta di tempat masing-masing kelak. Perjalanan menggali ilmu wajar didasari dengan usaha yang gigih dan keikhlasan dalam meruntuhkan benteng kejahilan yang bersarang dalam diri. Sahutlah seruan Allah melalui firmanNya;

فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”

(Surah at-Taubah 9:122)

Melihat kepada fenomena masyarakat semasa, maka kita akan menyedari kepentingan melaksanakan tanggungjawab ini kerana kurangnya para penuntut ilmu bergerak di lapangan mereka. Sorotilah perjuangan para sahabat yang menjadi utusan menyebarluaskan ajaran Islam.  Amru bin al-Asr dan Abdullah bin Huzafah adalah nama-nama yang dirakam di langit sejarah dalam menjadi ejen pengenalan Islam kepada umat manusia.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Suka saya menyeru kepada semua agar menyahut subtopik yang kelima dalam ucaptama Yang Dipertua; “Kecemerlangan Akademik Dan Thaqafah Teras Mahasiswa Berkredibiliti”. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah meningkatkan ubudiah kepada Allah dan menambah ilmu di dalam diri selaras dengan tujuan penubuhan KPT Mesir iaitu; Meningkatkan ilmu pengetahuan, kefahaman dan kesedaran dalam kalangan anggota. Pasakkan azam di dalam diri demi melihat lahirnya generasi terbilang yang mampu mengulangi sejarah kegemilangan tamadun ilmu zaman Abbasiah yang pernah berkilau suatu masa dahulu. Namun aspek kemasyarakatan jangan pernah dilupa kerana itu antara sumber kekuatan yang kian sirna.

Ayuh laksanakan pecutan memacu tali kefahaman untuk diterjemahkan ke dalam medan yang ada. Jangan lupa meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada pemilik segala kekuasaan.  Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Katakanlah (wahai Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Padamu kekuasaan untuk mengurniakan kebaikan, sesungguhnya Engkaulah yang meliputi segala kekuatan."

(Surah Ali Imran 3:26)

 “Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
“Berilmu dan Beramal”


SITI AMINAH ISMAIL,
NAIB PENGERUSI,
HAL EHWAL WANITA ISLAM,
KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU MESIR,

SESI 2013/2014.